Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Press Releases

curve

TalentCorp Terus Perkasa Literasi AI Rakyat Menerusi Jelajah AI MyMahir

23 May 2026

 

YB Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah bersama tetamu kehormat Jelajah AI MyMahir TalentCorp Edisi Paya Besar yang mengumpulkan 450 peserta dari pelbagai latar belakang

  • Inisiatif Kerajaan Persekutuan melalui KESUMA dan TalentCorp bawa kemahiran AI terus kepada rakyat

GAMBANG, 23 Mei 2026 – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), terus memperkasa literasi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan rakyat menerusi Jelajah AI MyMahir (JAM), sebuah inisiatif Kerajaan Persekutuan yang membawa kemahiran AI, digital dan masa depan secara lebih dekat, praktikal dan mudah difahami oleh komuniti setempat.

JAM TalentCorp dirangka sebagai platform pembelajaran yang praktikal, interaktif dan bersasar, dengan pendekatan yang disesuaikan mengikut latar belakang serta keperluan peserta. Melalui latihan secara amali dan bimbingan langsung, peserta bukan sahaja diberi pendedahan tentang AI, malah turut dibimbing untuk mencuba dan menggunakan teknologi ini dalam konteks pekerjaan, pembelajaran, perniagaan, pembangunan kerjaya serta kehidupan seharian.

Program yang berlangsung di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini menghimpunkan 450 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuklah mahasiswa, pelajar sekolah, guru, usahawan, suri rumah, wanita, belia Felda, pencari kerja, komuniti setempat dan orang awam, dengan kerjasama rakan strategik termasuk EY Malaysia dan UMPSA.

YB Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah semasa ucaptama beliau

Menurut Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah, pelaksanaan JAM di seluruh negara membuktikan bahawa agenda teknologi dan kemahiran masa depan perlu sampai kepada rakyat secara praktikal, bukan hanya dibincangkan di peringkat dasar.

“AI bukan lagi hanya untuk pakar teknologi. Apa yang penting ialah bagaimana ilmu ini dapat diterjemahkan kepada kegunaan harian segenap lapisan rakyat bagi menyelesaikan cabaran harian yang kompleks dengan lebih cekap.

Melalui Jelajah AI MyMahir, Kerajaan Persekutuan membawa ilmu masa depan terus kepada rakyat. Pendekatan ini penting kerana rakyat bukan sahaja perlu tahu tentang AI, tetapi perlu dibimbing untuk mencuba, memahami dan menggunakannya dengan yakin,” katanya.

Puan Biruntha Mooruthi menyampaikan ucapan aluan semasa majlis perasmian JAM Edisi Paya Besar

Puan Biruntha Mooruthi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, berkata JAM menekankan pembelajaran berkualiti yang praktikal, berfokus dan boleh terus diaplikasikan oleh peserta.

“Bagi TalentCorp, kekuatan utama JAM terletak pada pendekatan pembelajaran yang bersasar, praktikal dan disesuaikan mengikut keperluan peserta. Melalui modul seperti AI di Hujung Jari, asas prompt AI, AI untuk produktiviti kerja, pembinaan kerjaya, usahawan kecil, pembelajaran kendiri dan pengekodan, peserta dibimbing untuk memahami AI melalui contoh yang dekat dengan realiti harian mereka.

Kita mahu rakyat bukan sekadar tahu tentang AI, tetapi berani mencuba dan menggunakannya secara praktikal dalam pekerjaan, pembelajaran, perniagaan dan kehidupan seharian,” katanya.

Para peserta JAM Paya Besar

Terdahulu, siri Jelajah AI MyMahir telah dilaksanakan di lapan kawasan Parlimen termasuk Kota Kinabalu, Sepanggar, Papar, Bangi, Sungai Buloh, Kluang, Parit Sulong dan Sekijang.

Program Jelajah AI MyMahir TalentCorp akan terus digerakkan ke kawasan-kawasan Parlimen di seluruh negara sebagai usaha memperluas literasi AI secara inklusif, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk membina rakyat dan tenaga kerja masa depan yang lebih celik digital, berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan dunia pekerjaan.

Untuk makluman lanjut berhubung Jelajah AI MyMahir TalentCorp, layari: www.talentcorp.com.my/jam

 

Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad

23 Mei 2026