TalentCorp, UN Women dan LeadWomen Perluas Kerjasama bagi Memperkukuh Penyertaan Wanita dalam Tenaga Kerja Malaysia

Para penerima Anugerah Prinsip Pemerkasaan Wanita (WEPs) Malaysia 2026 meraikan pencapaian mereka pada majlis penganugerahan peringkat kebangsaan, yang mengiktiraf kepimpinan korporat dalam memajukan kesaksamaan jantina serta amalan tempat kerja yang inklusif di seluruh Malaysia.
KUALA LUMPUR, 17 November 2026 – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), dengan kerjasama UN Women dan rakan strategik, terus mempergiat usaha membantu majikan di Malaysia mewujudkan persekitaran kerja yang membolehkan lebih ramai wanita memasuki, kekal dan maju dalam pekerjaan.
Kerjasama ini telah diterjemahkan kepada tindakan nyata menerusi pelaksanaan sulung Makmal Tindakan Korporat Prinsip Pemerkasaan Wanita (WEPsCAL), di bawah inisiatif Makmal Tindakan Gender UN Women yang disokong oleh Kerajaan Australia. Sebanyak 11 organisasi yang mengambil bahagian telah membangunkan atau menyesuaikan 31 inisiatif tempat kerja yang berpotensi memberi manfaat kepada kira-kira 23,000 pekerja.
Pencapaian ini diketengahkan sempena Sidang Kemuncak Prinsip Pemerkasaan Wanita Malaysia 2026 (WEPs Summit), yang turut menyeru lebih banyak syarikat tempatan menyertai WEPsCAL Kohort 2 dan mengambil tindakan ke arah mewujudkan tempat kerja yang lebih inklusif serta sedia masa hadapan. Sidang kemuncak ini turut meraikan Anugerah Prinsip Pemerkasaan Wanita Malaysia 2026 (WEPs Awards), sebahagian daripada platform Anugerah Prinsip Pemerkasaan Wanita UN Women Asia-Pasifik, bagi mengiktiraf syarikat yang berjaya menterjemahkan komitmen terhadap kesaksamaan gender kepada tindakan bermakna di tempat kerja.
Bertemakan “Accelerating Inclusive Workplaces for a More Prosperous Malaysia”, sidang kemuncak ini menghimpunkan wakil kerajaan, sektor perniagaan, organisasi antarabangsa dan rakan industri bagi berkongsi pendekatan praktikal untuk memperkukuh penyertaan wanita dalam ekonomi negara.
Membantu Majikan Mengekalkan dan Membangunkan Bakat Wanita
Malaysia sedang berusaha mencapai sasaran Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Wanita sebanyak 60 peratus menjelang 2030. Bagi merealisasikan sasaran ini, halangan di tempat kerja yang menjejaskan keupayaan wanita untuk kekal bekerja, kembali bekerja selepas berehat daripada kerjaya serta meningkat maju ke jawatan kepimpinan dan bidang kepakaran perlu ditangani.
Sebagai badan pemikir strategik KESUMA, TalentCorp bekerjasama dengan pihak industri bagi menangani cabaran tenaga kerja negara, termasuk keperluan mengekalkan bakat berpengalaman dan memperkukuh penyertaan dalam pasaran buruh Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Biruntha Mooruthi, berkata majikan memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang membolehkan lebih ramai wanita menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
“Apabila wanita berpengalaman meninggalkan alam pekerjaan kerana persekitaran kerja tidak dapat mengambil kira keperluan dan keadaan mereka, majikan turut kehilangan kemahiran serta pengalaman yang amat bernilai. Ketika Malaysia bersedia menghadapi perubahan keperluan industri, kita perlu menyedari kepentingan mengekalkan bakat ini serta menyediakan peluang yang bermakna untuk wanita terus berkembang dalam kerjaya.
“Di bawah agenda pembangunan tenaga kerja KESUMA, TalentCorp bekerjasama dengan UN Women, LeadWomen dan rakan industri bagi membantu majikan membangunkan penyelesaian praktikal. Sebanyak 31 inisiatif yang telah diaktifkan menerusi WEPsCAL membuktikan hasil yang boleh dicapai apabila syarikat memainkan peranan aktif dalam menangani cabaran tenaga kerja. Kami mahu memperluas pencapaian ini dengan menggalakkan lebih ramai majikan tampil mengambil bahagian,” katanya.

Para peserta dan rakan kongsi strategik berkumpul semasa pembentangan Ringkasan Pembelajaran Kohort 1 WEPsCAL, yang mengetengahkan 31 inisiatif di tempat kerja—sama ada dibangunkan atau diadaptasi oleh 11 organisasi—yang berpotensi memberi manfaat kepada kira-kira 23,000 orang pekerja.
Menterjemahkan Kepakaran Antarabangsa kepada Penyelesaian Praktikal di Tempat Kerja
Dilaksanakan melalui kerjasama TalentCorp, UN Women dan LeadWomen, WEPs Corporate Action Lab merupakan inisiatif utama di bawah Makmal Tindakan Gender yang menggabungkan kepakaran antarabangsa dan pengalaman syarikat tempatan bagi membantu majikan mengenal pasti cabaran serta membangunkan penyelesaian tempat kerja yang inovatif.
WEPsCAL Malaysia Kohort 1 yang berlangsung dari Jun 2025 hingga Mac 2026 memberi peluang kepada syarikat peserta meneliti pendekatan untuk memperkukuh amalan tempat kerja yang inklusif dan mesra keluarga, termasuk langkah menyokong penyertaan, pengekalan dan kemajuan kerjaya wanita.
Ringkasan Pembelajaran WEPsCAL Kohort 1 yang dibentangkan pada sidang kemuncak ini menunjukkan bahawa 81 peratus organisasi peserta telah merintis inisiatif baharu di tempat kerja, manakala 69 peratus telah memperkukuh dasar tempat kerja sedia ada.
Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Nikolas Myint, berkata, usaha mencapai kesaksamaan gender memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Kerajaan, sektor perniagaan, masyarakat sivil dan rakan pembangunan masing-masing mempunyai peranan penting untuk dimainkan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berbesar hati berganding bahu dengan UN Women, Kerajaan Malaysia, Kerajaan Australia dan pemimpin sektor swasta dalam memperkasakan ekonomi wanita.
“Melalui inisiatif seperti WEPs Corporate Action Lab, syarikat di seluruh Malaysia membuktikan bahawa inovasi dan kerjasama mampu membantu menghapuskan halangan terhadap penyertaan wanita dalam ekonomi, sekali gus mempercepat kemajuan ke arah ekonomi yang lebih inklusif, berdaya tahan dan makmur.”
Sidang kemuncak ini turut menyaksikan pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) antara TalentCorp dan UN Women Asia and the Pacific, sekali gus memperkukuh kesinambungan kerjasama dalam membangunkan amalan tempat kerja inklusif, penglibatan industri dan penyelesaian berasaskan bukti, khususnya menerusi pelancaran WEPs Corporate Action Lab Kohort 2 pada awal 2027.
Kaunselor Politik dan Ekonomi di Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia, Medina Hajdarevic, berkata, “Australia berbangga dapat bekerjasama dengan UN Women, TalentCorp, LeadWomen dan pemimpin sektor swasta bagi memperkukuh pemerkasaan ekonomi wanita di Malaysia. Pelaksanaan WEPs Corporate Action Lab yang pertama di Malaysia telah membuktikan bagaimana syarikat dapat menterjemahkan komitmen kepada tindakan, dengan 31 inisiatif tempat kerja diaktifkan melibatkan 11 organisasi.
“Kami berbesar hati untuk terus menyokong dan mengikuti perkembangan kohort kedua dalam membantu syarikat membangunkan penyelesaian praktikal serta inovatif yang menyokong penyertaan, pengekalan dan kepimpinan wanita dalam tenaga kerja.
“Bersama-sama, kita mampu membina tempat kerja yang lebih inklusif dan sedia masa hadapan, sekali gus memanfaatkan sepenuhnya potensi bakat Malaysia.”
Syarikat Malaysia Diiktiraf atas Kepimpinan dalam Memacu Perubahan
Anugerah WEPs Malaysia 2026 mengiktiraf organisasi dan individu yang menunjukkan kepimpinan dalam memperkukuh kesaksamaan gender di tempat kerja, pasaran dan komuniti.
Antara pemenang peringkat kebangsaan ialah Allianz Malaysia Berhad bagi kategori Tempat Kerja Inklusif Gender, Messengerco bagi kategori Perolehan Inklusif, Oopus Organics bagi kategori Penglibatan dan Kerjasama Komuniti, UnBound Sdn Bhd bagi kategori Teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI) untuk Kesaksamaan Gender serta Mastrak Sdn Bhd bagi kategori Juara Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) – Tempat Kerja Inklusif Gender.
Majidah Hashim, Ketua Kelestarian di Port of Tanjung Pelepas, pula menerima Anugerah Komitmen Kepimpinan.
Organisasi lain yang turut menerima pengiktirafan sebagai naib juara ialah Wipro Unza Consumer Care, Maybank, Micron Technology Malaysia, People Systems Consultancy Sdn Bhd, Axiata Group Berhad, Above Creative Events dan Scubatex Resources Sdn Bhd.
Datuk Ng Wei Wei daripada United Overseas Bank (Malaysia) Bhd dan See Toh Wai Yu daripada Central Force International Sdn Bhd turut menerima pengiktirafan dalam kategori Komitmen Kepimpinan.
Malaysia merupakan antara sembilan negara yang menganjurkan Anugerah WEPs peringkat kebangsaan pada 2026, dengan pemenang kebangsaan secara automatik disenarai pendek untuk Anugerah WEPs peringkat Asia-Pasifik pada Disember ini.
Pengurus Serantau Makmal Tindakan Gender merangkap Pakar Program Pemerkasaan Ekonomi Wanita, Pejabat Serantau UN Women bagi Asia dan Pasifik, Amy Baum, berkata:
“Pembaharuan kerjasama kami dengan TalentCorp mencerminkan komitmen berterusan untuk bekerjasama dengan sektor perniagaan dalam menterjemahkan Prinsip Pemerkasaan Wanita kepada tindakan yang konkrit dan boleh diukur.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua penerima Anugerah WEPs Malaysia kerana memperlihatkan contoh kepimpinan korporat yang bermakna dalam memperkukuh kesaksamaan gender. Saya juga berharap dapat mempererat kerjasama dengan para penerima anugerah dan syarikat lain di Malaysia bagi mempercepat inovasi serta menghasilkan pencapaian yang menyokong penyertaan wanita secara penuh dan saksama dalam ekonomi.”

Puan Hajah Mahuran Saro Sariki (kiri), Naib Presiden Kanan TalentCorp, dan Amy Baum (kanan), Pengurus Serantau Makmal Tindakan Gender Wanita PBB.
Menggalakkan Lebih Banyak Majikan Menyertai Fasa Seterusnya
Berdasarkan pencapaian kohort pertama, sidang kemuncak ini turut menyeru lebih banyak syarikat menyertai WEPsCAL Malaysia Kohort 2, yang akan dilaksanakan dengan tema “Transforming the Corporate Ecosystem Through Inclusive Workplaces and Future-Ready Workplace Practices”.
Fasa seterusnya akan menggalakkan lebih banyak majikan membangunkan penyelesaian bagi menangani tanggungjawab penjagaan keluarga, kepelbagaian tenaga kerja dan perubahan keperluan di tempat kerja, dengan memberi perhatian kepada wanita daripada pelbagai latar belakang, keadaan dan peringkat kehidupan.
Kerjasama ini turut melengkapi usaha lebih luas TalentCorp di bawah KESUMA dalam memperkukuh penyertaan wanita dalam tenaga kerja, kemajuan kerjaya serta amalan pekerjaan yang inklusif.
Majikan di Malaysia yang berminat menyertai WEPsCAL Kohort 2 boleh mengemukakan permohonan selewat-lewatnya pada 30 November 2026 melalui www.talentcorp.com.my/wepscal.
Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad
17 November 2026






