KESUMA, MINDEF PERKUKUH KERJAYA KEDUA ANGGOTA DAN VETERAN ATM MELALUI MYBAKAT VETERAN

(Dari kiri) Puan Biruntha Mooruthi, Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Datuk Azman bin Yusof, Ketua Setiausaha KESUMA, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Dato’ Seri Khaled Nordin, Menteri Pertahanan, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Haji Malek Razak bin Sulaiman, Panglima Angkatan Tentera dan Yang Berbahagia, Datuk Lokman Hakim bin Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan melancarkan Laluan Pengiktirafan Kemahiran MyBakat Veteran
KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2026 – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini memeterai Nota Kerjasama bagi memperkukuh peluang kerjaya kedua anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui MyBakat Veteran, dengan menghubungkan kepakaran ketenteraan kepada keperluan industri dan peluang pekerjaan awam.
Kerjasama yang diselaraskan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), agensi dan badan pemikir strategik di bawah KESUMA, menyasarkan lebih 15,000 anggota dan veteran ATM menjelang 2030 melalui persediaan kerjaya, pembangunan kemahiran dan sokongan pekerjaan berasaskan keperluan industri.

Nota Kerjasama tersebut ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KESUMA, YBhg. Datuk Azman bin Mohd Yusof, dan Ketua Setiausaha MINDEF, YBhg. Datuk Lokman Hakim bin Ali, disaksikan oleh Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, dan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.
YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan berkata pembangunan tenaga kerja mahir negara perlu mengambil kira kepakaran sedia ada dan memastikan kemahiran terus relevan dengan keperluan industri.
“Anggota dan veteran ATM mempunyai pelbagai kemahiran serta pengalaman yang bernilai kepada industri. Kepakaran ini perlu dikenal pasti, diiktiraf dan diperkukuh melalui pembangunan kemahiran yang berpandukan keperluan sebenar pasaran pekerjaan.
“Melalui MyBakat Veteran, kita bukan sahaja membuka peluang kerjaya kedua, tetapi turut memastikan Malaysia terus memanfaatkan bakat mahir yang kita miliki untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara,” katanya.

YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia menyampaikan ucapan Majlis Pemeteraian Nota Kerjasama Serta Pelancaran Laluan Pengiktirafan Kemahiran di Bawah Inisiatif Mybakat Veteran KESUMA–MINDEF
Sementara itu, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerjasama ini mencerminkan perubahan pendekatan MINDEF dalam menyediakan peluang kerjaya kedua kepada anggota dan veteran ATM.
“Kita beranjak daripada pendekatan ‘melatih dahulu, kemudian mencari pekerjaan’ kepada pendekatan memadankan secara langsung kompetensi anggota dengan keperluan industri, latihan bersesuaian dan peluang kerjaya sebenar.
“Kerjasama ini sangat penting kerana MyBakat Veteran bertujuan membentuk ekosistem peralihan kerjaya Veteran ATM yang lebih bersepadu dengan memanfaatkan kepakaran dan program agensi-agensi di bawah KESUMA,” katanya.

YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pertahanan, menyampaikan ucapan
Dengan jumlah antara 5,000 hingga 7,000 anggota ATM menamatkan perkhidmatan setiap tahun, MyBakat Veteran memberi tumpuan kepada persediaan kerjaya sekurang-kurangnya dua tahun sebelum persaraan, termasuk pemprofilan kompetensi dan latihan tambahan.
TalentCorp menerajui penyelarasan MyBakat Veteran dengan menghubungkan agensi kerajaan, ATM dan industri. Melalui MyMahir serta rangkaian 18 Future Skills Talent Councils (FSTC), TalentCorp membantu menyelaraskan kemahiran anggota ATM dengan keperluan industri dan memperluas penglibatan majikan dalam menyediakan peluang kerjaya kedua.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran Laluan Pengiktirafan Kemahiran dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), yang membolehkan kursus, latihan dan pengalaman ketenteraan dipetakan kepada Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) bagi membuka akses kepada pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), tertakluk kepada penilaian kompetensi dan syarat kelayakan.
Pelaksanaan rintis melibatkan tiga kumpulan ATM, iaitu Kor Infantri, Rejimen Askar Jurutera Diraja dan Kor Perkhidmatan Am (Pendidikan).
Di bawah kerjasama ini, MINDEF dan ATM mengenal pasti anggota yang bakal bersara, JPK menyokong pengiktirafan kompetensi, manakala Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) melaksanakan latihan peralihan kerjaya. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyediakan sokongan pekerjaan melalui MYFutureJobs, dengan penglibatan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) dan HRD Corp dalam bidang berkaitan.
Pelaksanaan kerjasama ini dipantau melalui Jawatankuasa Kerja Bersama Kerjaya Kedua Anggota ATM, dengan TalentCorp bertindak sebagai sekretariat bagi menyelaras pelaksanaan dan penglibatan industri.
Untuk maklumat lanjut mengenai MyBakat Veteran dan kerjasama industri, hubungi TalentCorp melalui veteran@talentcorp.com.my.
Dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia
14 Oktober 2026






