Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Press Releases

curve

KESUMA BAWA KECERIAAN DEEPAVALI KEPADA LEBIH 100,000 RAKYAT MENERUSI 18,000 BAKUL MAKANAN MADANI

27 October 2026

YB Dato' Sri Ramanan Ramakrishnan mengagihkan barangan kepada keluarga India yang memerlukan, semasa majlis pelepasan di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak, hari ini.

KUALA LUMPUR,  28 OKTOBER 2026 - Kegembiraan Deepavali tahun ini bakal dikongsi bersama lebih 100,000 rakyat apabila Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menggerakkan pengagihan 18,000 bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan di seluruh negara menerusi Program Sumbangan Bakul Makanan MADANI.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen KESUMA untuk membawa keceriaan perayaan kepada masyarakat, khususnya keluarga yang berdepan kekangan kewangan, di samping membantu meringankan perbelanjaan mereka menjelang Deepavali.

Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan

Menteri Sumber Manusia, YB Dato' Sri Ramanan Ramakrishnan, hari ini menyempurnakan pelepasan Konvoi Program Sumbangan Bakul Makanan MADANI sempena Deepavali, yang dilaksanakan dengan kerjasama lima agensi di bawah KESUMA, iaitu Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

YB Dato' Sri Ramanan berkata, sambutan Deepavali yang melambangkan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan membawa mesej tentang harapan, kasih sayang dan kepentingan mengambil berat terhadap kesejahteraan orang lain.

"Dalam kita membuat persiapan menyambut Deepavali, ada keluarga yang mungkin sedang memikirkan bagaimana hendak menyediakan keperluan asas untuk anak-anak dan orang tersayang."

"Melalui sumbangan ini, kita mahu meringankan sedikit beban mereka supaya ibu bapa dapat membuat persiapan dengan lebih tenang dan anak-anak turut merasai kegembiraan perayaan. Inilah semangat Ihsan MADANI yang kita mahu terjemahkan melalui tindakan," katanya.

Sebanyak 18,000 bakul makanan akan diagihkan kepada keluarga yang dikenal pasti di seluruh negara. Berdasarkan anggaran purata enam ahli bagi setiap isi rumah, sumbangan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 108,000 orang.

Program sempena Deepavali ini merupakan kesinambungan Konvoi Ziarah MADANI yang dilancarkan KESUMA pada 14 Mac 2026 bersempena Aidilfitri, apabila sebanyak 16,500 bakul makanan diagihkan di seluruh negara dan dianggarkan memberi manfaat kepada hampir 100,000 orang.

Secara keseluruhan, kedua-dua inisiatif sempena Aidilfitri dan Deepavali tahun ini melibatkan pengagihan sebanyak 34,500 bakul makanan, dengan manfaat yang dianggarkan dapat dirasai oleh lebih 200,000 rakyat di seluruh negara.

Pelaksanaan program ini turut memperlihatkan kerjasama erat antara agensi-agensi di bawah KESUMA dalam menggerakkan sumber dan tenaga bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada keluarga yang memerlukan.

(Dari kiri) Datuk Haji Ayop bin Salleh, Pengarah Eksekutif NIOSH; Datuk Mohamed Shamir bin Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp; Puan Biruntha Mooruthi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp; Dr Haji Mohd Shaharin bin Umar, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA); YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Sumber Manusia; YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia; Datuk Haji Azman bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA); Tuan Raveendran Nair a/l K. Kesavan Nair, Ketua Pengarah MITRA; Tuan Haji Abdul Rahim bin Ahmad Kasdi, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar (Menteri Besar) Selangor; dan Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Aziz Mohammed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO (PERKESO).

Menurut YB Dato' Sri Ramanan, usaha membantu rakyat perlu diteruskan melalui pendekatan yang menyeluruh, termasuk menyediakan peluang kepada mereka untuk meningkatkan pendapatan dan membina kehidupan yang lebih baik.

"KESUMA akan terus memainkan peranan dalam membuka peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran dan membantu rakyat memperbaiki taraf kehidupan. Pada masa yang sama, kita mahu menjadi kementerian yang dekat dengan rakyat, memahami keperluan mereka dan hadir apabila mereka memerlukan sokongan."

"Kita mahu setiap usaha yang dilaksanakan membawa manfaat yang dapat dirasai oleh masyarakat. Sempena Deepavali ini, semoga sumbangan yang diberikan dapat membawa sedikit kelegaan, kegembiraan dan harapan kepada keluarga yang menerimanya," katanya.

Program Sumbangan Bakul Makanan MADANI mencerminkan komitmen berterusan KESUMA dan agensi-agensinya dalam menyantuni masyarakat melalui inisiatif yang membawa manfaat secara langsung, di samping menyemarakkan semangat perpaduan, keprihatinan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)

27 Oktober 2026