TalentCorp Perkukuh Kesiapsiagaan AI Mahasiswa dan Pelajar TVET di Hang Tuah Jaya

YB Adam Adli bersama En Siva Kumeren, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan TalentCorp bersama peserta Jelajah AI MyMahir TalentCorp edisi Hang Tuah Jaya
Melaka, 25 Julai 2026 – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), agensi dan badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), terus memperkukuh literasi kecerdasan buatan (AI) dan kemahiran masa hadapan dalam kalangan mahasiswa, pelajar TVET dan belia menerusi Jelajah AI MyMahir (JAM) TalentCorp Edisi Hang Tuah Jaya.
Program yang berlangsung di Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), dirasmikan oleh YB Adam Adli bin Abd Halim, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
JAM TalentCorp Edisi ke-13 ini memberi tumpuan kepada usaha mempersiapkan bakat muda untuk menghadapi perubahan dunia pekerjaan melalui pendedahan AI, latihan amali, pembinaan laluan kerjaya dan pemahaman terhadap keperluan industri. Edisi kali ini telah menghimpunkan seramai 150 orang peserta daripada pelbagai lapisan Masyarakat termasuk mahasiswa dan pelajar TVET.
Program ini merupakan sebahagian daripada agenda Kerajaan MADANI melalui KESUMA untuk memperluas akses kepada kemahiran AI dan digital serta membina tenaga kerja yang lebih produktif, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa hadapan.
Bagi edisi Hang Tuah Jaya, peserta bukan sekadar diperkenalkan kepada asas AI, tetapi dibimbing untuk memahami bagaimana teknologi tersebut boleh digunakan dalam pembelajaran, projek, latihan industri dan pekerjaan.

YB Adam Adli, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi menyampaikan ucapan perasmian
YB Adam Adli, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata pendedahan kepada teknologi perlu dilengkapi dengan laluan yang membolehkan mahasiswa dan pelajar TVET mengaplikasikan kemahiran dalam persekitaran sebenar.
“Mahasiswa dan pelajar TVET perlu diberikan peluang untuk memahami bagaimana AI digunakan dalam industri, bukan sekadar mempelajarinya sebagai satu konsep teori. Pendedahan ini perlu disokong oleh ekosistem pembelajaran dan latihan industri yang kukuh supaya pelajar dapat menguji kemahiran, membina pengalaman dan memahami jangkaan sebenar majikan sebelum memasuki dunia pekerjaan.
“Inilah pendekatan Kerajaan MADANI, iaitu memastikan pendidikan, pembangunan kemahiran dan keperluan industri bergerak seiring bagi membuka laluan yang lebih baik kepada generasi muda,” katanya.
Antara modul yang diketengahkan ialah pengenalan kepada asas AI, AI di Hujung Jari, dan perspektif industri mengenai penggunaan AI dalam perniagaan, serta pembinaan laluan kerjaya.
Peserta turut dibimibing secara langsung dalam enam bidang utama yang berfokus, iaitu AI berautonomi atau agentic AI, keselamatan siber dan pencegahan penggodaman, AI untuk pengekodan, kreativiti, pembelajaran pintar serta asas robotik. Keseluruhan modul ini dirangka untuk membantu peserta memahami penggunaan AI secara menyeluruh, daripada pengetahuan asas hingga kepada aplikasi sebenar mengikut keperluan pembelajaran, kerjaya dan pekerjaan.

En Siva Kumeren, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan TalentCorp menyampaikan ucapan alu-aluan
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan TalentCorp, Encik Siva Kumeren A Narayanan, berkata pembangunan bakat muda memerlukan hubungan yang lebih rapat antara pembelajaran, latihan industri dan peluang pekerjaan.
“Bagi TalentCorp, penguasaan kemahiran perlu disokong oleh peluang untuk mengaplikasikannya dalam persekitaran kerja sebenar. Ekosistem latihan industri yang berkesan memerlukan kerjasama erat antara institusi pendidikan dan majikan supaya pelajar mendapat pengalaman yang berstruktur, relevan dan selaras dengan keperluan pasaran kerja.
“Jelajah AI MyMahir membantu peserta membina asas tersebut dengan memberi pendedahan kepada teknologi, laluan kerjaya dan aplikasi sebenar yang boleh menyokong persediaan mereka sebelum memasuki alam pekerjaan,” katanya.
TalentCorp turut menyokong pengukuhan ekosistem latihan industri melalui kerjasama dengan kerajaan, institusi pendidikan dan majikan bagi memperluas akses kepada pengalaman kerja yang berkualiti. Pendekatan ini membantu pelajar menghubungkan pengetahuan yang dipelajari dengan tugasan sebenar, memperkukuh kemahiran praktikal dan membuat peralihan yang lebih lancar daripada pendidikan kepada pekerjaan.
Pelaksanaan Jelajah AI MyMahir menyokong aspirasi KESUMA di bawah kepimpinan YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia, untuk membina saluran bakat yang lebih kukuh dan melahirkan tenaga kerja yang mampu berkembang seiring dengan perubahan teknologi.
Sebelum Hang Tuah Jaya, program ini telah dilaksanakan di Kota Kinabalu, Sepanggar, Papar, Bangi, Sungai Buloh, Kluang, Parit Sulong, Sekijang, Paya Besar, Alor Gajah, Port Dickson dan Bandar Tun Razak. Siri Jelajah AI MyMahir TalentCorp seterusnya akan berlangsung di Kota Melaka pada 26 Julai 2026, diikuti Batu Sapi dan Damansara, sebagai sebahagian daripada usaha TalentCorp memperluas akses kepada kemahiran AI di seluruh negara.
Untuk maklumat lanjut mengenai Jelajah AI MyMahir TalentCorp, layari www.talentcorp.com.my/jam
Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)
25 Julai 2026






