Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Press Releases

curve

TalentCorp Lantik Biruntha Mooruthi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan untuk Menerajui Strategi Bakat Berasaskan Pelaksanaan

15 April 2026

YB Dato' Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia Meneyerahkan Watikah Pelantikan Kepada Puan Biruntha Mooruthi

KUALA LUMPUR, 15 April 2026 – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) mengumumkan pelantikan Puan Biruntha Mooruthi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, berkuat kuasa hari ini, sejajar dengan usaha organisasi untuk memperkukuh pelaksanaan strategi bakat negara yang lebih berfokus, sejajar dengan keperluan industri serta memberi impak yang boleh diukur.

Dengan pengalaman kepimpinan melebihi 20 tahun dalam sektor kerajaan, akademia dan industri, Puan Biruntha memiliki rekod yang kukuh dalam menerajui inisiatif nasional, memperkasa agenda inovasi serta memperkukuh keupayaan sesebuah institusi. Kekuatan beliau terserlah dalam menterjemahkan strategi kepada hasil yang praktikal, berimpak tinggi dan memenuhi keperluan pasaran semasa.

Sebelum menyertai TalentCorp, beliau telah memegang beberapa jawatan kepimpinan kanan seperti  di PlaTCOM Ventures di bawah Agensi Inovasi Malaysia, Universiti Tenaga Nasional, di mana beliau juga merupakan seorang Fellow, serta British Telecom. Pengalaman tersebut memperkukuh kepakaran beliau dalam menerajui program berskala besar yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, khususnya dalam pengkomersialan teknologi, kerjasama industri-akademia dan pelaksanaan inovasi dalam sektor tenaga, teknologi serta kelestarian yang mendalam.

Antara pencapaian signifikan beliau termasuk menerajui program pembiayaan inovasi di peringkat nasional serta mempercepat usaha pengkomersialan teknologi yang memberi manfaat kepada ratusan perusahaan di Malaysia. Beliau turut memainkan peranan penting dalam membina kerjasama strategik bersama pihak industri bagi merapatkan jurang antara penyelidikan dan penerimaan pasaran. Di samping itu, beliau juga telah membimbing dan melatih lebih 5,000 usahawan, inovator dan perniagaan di seluruh negara.

Pelantikan ini amat signifikan pada ketika TalentCorp terus memperkukuh peranannya sebagai badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA). Dalam melaksanakan mandat tersebut, TalentCorp akan terus memberi tumpuan kepada penyampaian penyelesaian bakat selaras dengan keperluan industri, memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja, serta memastikan dasar yang dirangka dapat diterjemah kepada impak ekonomi yang nyata dan mampan.

Beliau juga merupakan pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Victoria University serta Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Sains Komputer daripada Coventry University.

Puan Biruntha akan menggantikan Edward Ling, yang telah menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.TalentCorp turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Edward Ling atas kepimpinan serta sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya.

 

Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad

15 April 2026