Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Press Releases

curve

TalentCorp Bawa Kemahiran AI Terus Kepada Komuniti Sabah Melalui JAM Batu Sapi

31 July 2026

Pemenang Pertandingan AI Future Vision 

SANDAKAN, 31 Julai 2026 – Lebih 300 warga Sabah, merangkumi pelajar sekolah, pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidik, pencari kerja, usahawan serta anggota komuniti setempat, berhimpun di Sandakan hari ini bagi menyertai edisi ke-15 Jelajah AI MyMahir (JAM) TalentCorp, yang membawa pembelajaran AI secara praktikal dan kemahiran masa hadapan terus kepada masyarakat Batu Sapi.

Program anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), agensi dan badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan akses kepada kemahiran masa hadapan tidak hanya tertumpu di bandar-bandar utama, sebaliknya diperluas kepada masyarakat di seluruh negara.

Timbalan Pengerusi TalentCorp, Encik Mohd Khuzzan bin Abu Bakar

Program yang dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, Encik Mohd Khuzzan bin Abu Bakar mewakili YB Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan, Timbalan Menteri Sumber Manusia, ini melengkapkan peserta dengan pengetahuan AI secara praktikal yang boleh digunakan dalam pembelajaran, pekerjaan, keusahawanan dan kehidupan seharian. Inisiatif ini turut menyokong aspirasi Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (2026–2030) dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) untuk meningkatkan daya saing, produktiviti serta kesediaan penggunaan teknologi digital.

YB Datuk Khairul Firdaus berkata setiap rakyat Malaysia perlu diberi peluang yang saksama untuk mempersiapkan diri menghadapi ekonomi masa hadapan, tanpa mengira lokasi mereka.

“Transformasi negara tidak akan mencapai matlamatnya sekiranya manfaat pembangunan hanya tertumpu di bandar-bandar utama. Kerajaan MADANI komited untuk memastikan pembangunan modal insan sampai kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira lokasi.

“Sama ada di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu mahupun Batu Sapi, setiap individu berhak mendapat peluang yang sama untuk meningkatkan kemahiran dan membina masa hadapan yang lebih baik.

“Melalui inisiatif seperti Jelajah AI MyMahir TalentCorp, KESUMA membawa akses kepada ilmu baharu dan kemahiran masa hadapan lebih dekat kepada komuniti di seluruh negara, termasuk Sabah, supaya lebih ramai rakyat Malaysia bersedia merebut peluang yang terhasil daripada perubahan teknologi,” katanya.

Dalam program yang sama, seramai lima pelajar sekolah menengah telah menerima komputer riba selepas muncul sebagai pemenang Pertandingan AI Future Vision. Pertandingan itu memberi peluang kepada para peserta meneroka bagaimana AI boleh dimanfaatkan secara kreatif dan melalui pemikiran kritis untuk membantu menyelesaikan cabaran sebenar dalam kalangan masyarakat. Hadiah tersebut telah disampaikan oleh YB Datuk Khairul Firdaus.

Pertandingan berkenaan melengkapkan usaha pembangunan bakat TalentCorp yang lebih menyeluruh di Batu Sapi. Sebelum penganjuran JAM TalentCorp Edisi Batu Sapi ini, TalentCorp telah menganjurkan program YES! Rock the School di lima buah sekolah menengah dalam kawasan Parlimen Batu Sapi bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai bidang STEM, TVET dan laluan kerjaya masa hadapan. JAM TalentCorp seterusnya memperkukuh para peserta dengan pembelajaran melalui pengalaman AI secara praktikal.

Peserta turut didedahkan kepada asas AI serta penggunaannya dalam pembelajaran, pembangunan kerjaya, produktiviti, kreativiti, keselamatan siber dan robotik. Mereka juga meneroka potensi AI dalam menyokong sektor utama Sabah, termasuk pelancongan, pertanian, perikanan, pembuatan, perkhidmatan dan perusahaan kecil.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Puan Biruntha Mooruthi

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Puan Biruntha Mooruthi, berkata TalentCorp komited untuk memastikan rakyat Malaysia memiliki kemahiran, pengetahuan dan akses kepada peluang yang diperlukan untuk berkembang maju dalam dunia pekerjaan masa hadapan. Menurut beliau, inisiatif seperti Jelajah AI MyMahir membawa matlamat tersebut terus kepada masyarakat di seluruh negara.

“TalentCorp percaya pembangunan bakat bukan sekadar membina kemahiran, tetapi juga menghubungkan individu dengan peluang.

“Melalui Jelajah AI MyMahir, kami membantu rakyat Malaysia memahami AI, membina keupayaan praktikal dan meningkatkan kesiapsiagaan mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, membangunkan perniagaan yang lebih kukuh serta menyumbang kepada pembentukan tenaga kerja yang lebih berdaya tahan.

“Tidak kira di mana mereka berada, setiap rakyat Malaysia perlu diberi peluang untuk menterjemahkan kemahiran kepada peluang. Inilah peranan yang terus digerakkan oleh TalentCorp,” katanya.

Batu Sapi merupakan lokasi ke-15 penganjuran Jelajah AI MyMahir TalentCorp, selepas siri terdahulu dilaksanakan di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Inisiatif nasional ini akan diteruskan ke lebih banyak kawasan Parlimen bagi memperluas akses rakyat kepada pengetahuan AI dan kemahiran masa hadapan.

Untuk maklumat lanjut mengenai Jelajah AI MyMahir TalentCorp,layari  www.talentcorp.com.my/jam

 

Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)

31 Julai 2026