Pemain Piano Malaysia Bertaraf Antarabangsa Magdalene Ho Beri Inspirasi kepada Generasi Muda Menerusi Inisiatif MyHeart TalentCorp

Magdalene Ho, seorang pemain piano muzik klasik berusia 22 tahun dari Johor Bahru, telah meraih pelbagai anugerah antarabangsa atas bakat dan persembahannya yang luar biasa
KUALA LUMPUR, 22 Julai 2026 – Pemain piano Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, Magdalene Ho, kembali ke tanah air untuk berkongsi pengalaman dan memberi inspirasi kepada generasi muda pemuzik menerusi program In Conversation with Magdalene Ho: Lecture-Recital. Program anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) di bawah inisiatif Malaysia@Heart (MyHeart) itu berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.
Semasa keberadaannya di Malaysia, Magdalene bertemu dan berinteraksi dengan lebih 300 pelajar, pendidik, pemuzik serta orang awam menerusi persembahan dan sesi perkongsian di UiTM dan UCSI Institute of Music. Program ini memberi peluang kepada para peserta untuk memperoleh pandangan dan pengalaman secara langsung daripada salah seorang pemuzik klasik muda Malaysia yang telah menempa nama di peringkat antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Puan Biruntha Mooruthi, berkata komuniti bakat Malaysia di seluruh dunia merupakan aset penting negara. Usaha menghubungkan mereka dengan peluang untuk menyumbang kembali mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan kepakaran rakyat Malaysia, di mana sahaja mereka berada, dapat dimanfaatkan bagi pembangunan negara.
“Sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI, Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan TalentCorp memperkukuh hubungan antara Malaysia dengan komuniti bakat negara di peringkat global. Menerusi MyHeart, kami menyediakan platform yang tersusun untuk rakyat Malaysia di luar negara berkongsi kepakaran, memperluas rangkaian dan membawa pulang perspektif antarabangsa kepada generasi seterusnya di tanah air.
“Manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh pelajar, institusi pendidikan dan ekosistem bakat negara melalui akses kepada ilmu, bimbingan serta pengalaman global. Setiap sumbangan ini membantu membina bakat tempatan yang lebih yakin, berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada masa depan Malaysia,” katanya.
Penglibatan Magdalene merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI melalui KESUMA dan TalentCorp menerusi inisiatif MyHeart, yang menghubungkan rakyat Malaysia berkemahiran dan berpengalaman di seluruh dunia dengan peluang untuk menyumbang kepakaran serta perspektif global kepada negara. Pendekatan ini membuka akses kepada pengetahuan, bimbingan dan jaringan antarabangsa dalam bidang seperti penyelidikan, pendidikan, teknologi, industri kreatif dan sektor strategik lain.
Menerusi persembahan dan sesi interaktif, para peserta berpeluang mendengar sendiri pengalaman Magdalene membina kerjaya sebagai pemuzik di peringkat antarabangsa. Perkongsian beliau turut mengetengahkan kepentingan daya tahan, disiplin, komitmen dan pembelajaran sepanjang hayat dalam mencapai kecemerlangan. Pada masa yang sama, sesi ini menggalakkan anak muda Malaysia untuk mengejar cita-cita dengan yakin, sambil terus menghargai akar dan jati diri mereka.

Pensyarah Kanan Fakulti Muzik, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr. Yeoh Pei-Ann dan Magdalene Ho di Dewan Seri Budiman, UiTM semasa acara *In Conversation with Magdalene Ho: Lecture-Recital* pada 17 Julai 2026.
Pada usia 22 tahun, Magdalene mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Muzik di Royal College of Music, London, menerusi biasiswa penuh. Beliau memenangi Clara Haskil International Piano Competition pada 2023 dan menjadi penerima wanita pertama International German Piano Award pada 2024, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemuzik klasik muda Malaysia yang paling berjaya.
Kunjungan ini turut menghimpunkan pemuzik Malaysia yang berpangkalan di dalam dan luar negara menerusi persembahan muzik bersama pemain selo diaspora Malaysia, Sinjo Yap, serta pemain biola Malaysia, Alyssa Chong.
Seperti sesi MyHeart terdahulu yang menampilkan rakyat Malaysia bertaraf antarabangsa, termasuk pakar kecerdasan buatan Prof. Dr. Saberi Mohamad dan pemuzik Vincent Ong, program ini mencerminkan usaha berterusan TalentCorp untuk menghubungkan bakat Malaysia di seluruh dunia dengan peluang yang bermakna untuk menyumbang kembali kepada negara.
Magdalene berkata, "Saya amat gembira kerana kembali berpeluang untuk membuat persembahan di Malaysia selepas hampir tiga tahun berada di luar negara. Saya juga berasa bertuah dapat bekerjasama dengan pemuzik tempatan yang berbakat serta berinteraksi dengan para pelajar dan masyarakat melalui muzik. Terima kasih TalentCorp dan Rondo Production kerana mewujudkan peluang ini dan menjadikan keseluruhan pengalaman ini begitu bermakna.
“Malah, kepulangan kali ini amat bermakna kerana saya berpeluang meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan yang sudah lama tidak ditemui. Saya berharap perkongsian dan persembahan ini dapat menyuntik semangat kepada lebih ramai anak muda Malaysia untuk berani mengejar impian, melangkah ke pentas dunia dan pada masa yang sama terus menghargai hubungan dengan tanah air,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai MyHeart oleh TalentCorp, layari www.myheart.my.
Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)
22 Julai 2026






