TalentCorp Perkasa Lebih 400 Rakyat Malaysia dengan Kemahiran AI menerusi Edisi Terbesar Jelajah AI MyMahir

Jelajah AI MyMahir TalentCorp Edisi Damansara turut memberi manfaat kepada warga emas
Petaling Jaya, 8 Ogos 2026 – Lebih 400 rakyat Malaysia menyertai edisi ke-16 Jelajah AI MyMahir (JAM) TalentCorp hari ini, sekali gus menjadikannya penganjuran terbesar setakat ini dan mencerminkan minat masyarakat yang semakin meningkat terhadap kemahiran kecerdasan buatan (AI) secara praktikal.
Program yang berlangsung di SJK (C) Puay Chai 2, Bandar Utama, JAM TalentCorp Edisi Damansara menghimpunkan pelajar, pendidik, pencari kerja, pekerja, usahawan, pesara serta anggota komuniti untuk meneroka penggunaan AI secara praktikal dalam pembelajaran, pekerjaan, perniagaan dan kehidupan seharian.
Program anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), agensi dan badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), ini telah dirasmikan oleh YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital. Penganjuran ini mencerminkan kerjasama erat antara Kementerian Digital, KESUMA dan TalentCorp dalam memperkukuh agenda pembangunan bakat AI negara, serta memastikan kemajuan teknologi disokong oleh tenaga kerja yang mempunyai kemahiran untuk memanfaatkannya.
Kerjasama strategik tersebut telah berkembang melalui beberapa inisiatif nasional yang menghubungkan pembangunan tenaga kerja dengan agenda transformasi digital negara.
Pada 2024, TalentCorp melancarkan Kajian Impak AI, Digital dan Ekonomi Hijau terhadap Tenaga Kerja Malaysia, yang memberikan gambaran menyeluruh mengenai kesan AI, pendigitalan dan teknologi baharu terhadap pekerjaan serta kemahiran tenaga kerja negara.
Kerjasama ini diperkukuh pada 2025 melalui penubuhan MyMahir–National AI Council for Industry (MyMahir-NAICI), hasil kolaborasi strategik antara TalentCorp dan AI Malaysia Berhad, yang sebelum ini dikenali sebagai Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) di bawah Kementerian Digital.
Kepentingan MyMahir-NAICI turut diperkukuh apabila YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan menerusi Belanjawan 2026 bahawa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) layak menikmati potongan cukai sebanyak 50 peratus bagi latihan AI dan keselamatan siber yang diiktiraf di bawah MyMahir-NAICI.
Pengumuman tersebut mencerminkan peranan MyMahir-NAICI sebagai salah satu mekanisme penting dalam mempercepat penerimagunaan AI oleh industri, sambil memastikan pembangunan kemahiran tenaga kerja bergerak seiring dengan perubahan teknologi.

Menteri Digital, Yang Berhormat Gobind Singh Deo, menyampaikan ucapan perasmian
YB Tuan Gobind berkata transformasi digital Malaysia perlu disokong oleh tenaga kerja yang mempunyai pengetahuan, keyakinan dan keupayaan untuk menggunakan AI secara produktif dan bertanggungjawab.
“Kecerdasan buatan bukan lagi teknologi masa hadapan. AI sudah mengubah cara kita belajar, bekerja dan menjalankan perniagaan. Apa yang penting sekarang ialah memastikan setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira usia atau latar belakang, mempunyai peluang untuk memahami dan mendapat manfaat daripada teknologi ini.
“Kerjasama erat antara Kementerian Digital dan TalentCorp mencerminkan komitmen bersama kita untuk memastikan manfaat AI sampai kepada setiap lapisan masyarakat. Melalui inisiatif seperti MyMahir-NAICI dan Jelajah AI MyMahir, kita menterjemahkan aspirasi AI negara kepada peluang pembelajaran yang praktikal, memperkasa rakyat, memperkukuh perniagaan dan mempersiapkan tenaga kerja kita untuk masa hadapan,” katanya.
Program ini turut mendukung agenda pembangunan bakat nasional KESUMA di bawah kepimpinan YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia, khususnya dalam membangunkan tenaga kerja yang tangkas, berdaya saing serta mampu memenuhi perubahan keperluan ekonomi digital.

Ketua Pegawai Strategi Kumpulan TalentCorp, Encik Nazrul Aziz, menyampaikan ucapan alu-aluan.
Ketua Pegawai Strategi Kumpulan TalentCorp, Encik Nazrul Aziz, berkata sambutan menggalakkan terhadap program tersebut menunjukkan rakyat Malaysia bersedia menerima teknologi baharu apabila peluang pembelajaran disediakan dalam bentuk yang mudah diakses, praktikal dan relevan dengan kehidupan mereka.
“Jelajah AI MyMahir bukan sekadar program kesedaran tentang AI. Matlamatnya adalah untuk memberi rakyat kemahiran praktikal yang boleh membantu meningkatkan produktiviti, kreativiti dan kebolehpasaran mereka.
“Sama ada pelajar, pekerja, usahawan mahupun pesara, kami mahu setiap peserta pulang dengan keyakinan untuk menggunakan AI secara bermakna dalam kehidupan seharian.
“Ketika TalentCorp terus memperkukuh ekosistem bakat AI negara melalui MyMahir-NAICI, Jelajah AI MyMahir membawa agenda tersebut terus kepada masyarakat. Bersama Kementerian Digital dan rakan strategik, kami mahu memastikan peluang yang dibawa oleh AI dapat diakses dan dimanfaatkan oleh lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya.
JAM TalentCorp Edisi Damansara menampilkan modul praktikal merangkumi penggunaan AI untuk meningkatkan produktiviti, aplikasi AI kreatif, penggunaan AI secara bertanggungjawab, kesedaran keselamatan siber serta teknologi baharu yang semakin mempengaruhi dunia pekerjaan.mPeserta turut mendapat pengalaman secara langsung menggunakan AI dalam pembelajaran, pembangunan kerjaya, pekerjaan, keusahawanan dan produktiviti harian.

Jelajah AI MyMahir TalentCorp Edisi ke-16 telah memberi manfaat kepada lebih 400 peserta daripada pelbagai segmen.
Sebelum edisi Damansara, program Jelajah AI MyMahir TalentCorp telah memberi manfaat kepada hampir 7,000 rakyat Malaysia menerusi penganjuran di Kota Kinabalu, Sepanggar, Papar, Bangi, Sungai Buloh, Kluang, Parit Sulong, Sekijang, Paya Besar, Alor Gajah, Port Dickson, Bandar Tun Razak, Hang Tuah Jaya, Kota Melaka dan Batu Sapi.
TalentCorp akan terus memperluas Jelajah AI MyMahir ke lebih banyak kawasan Parlimen di seluruh negara bagi membawa pengetahuan AI, literasi digital dan kemahiran masa hadapan lebih dekat kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk membentuk tenaga kerja Malaysia yang berkemahiran tinggi, berdaya tahan dan bersedia menghadapi era AI.
Untuk maklumat lanjut mengenai program Jelajah AI MyMahir TalentCorp, layari www.talentcorp.com.my/jam.
Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)
8 Ogos 2026






