Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Press Releases

curve

TALENTCORP DAN MCMC SATUKAN EKOSISTEM INDUSTRI UNTUK PERKUKUH BAKAT MASA HADAPAN

06 October 2026

 

Photo 1: (Dari Tengah) YB Dato' Seri Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi, YB Senator Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pengajian Tinggi, dan YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Sumber Manusia bersama para peserta Pelancaran Kerangka Kemahiran Masa Hadapan bagi Sektor Komunikasi

KUALA LUMPUR, 6 Oktober 2026 – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), agensi dan badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), memperkukuh kerjasama kerajaan, industri, akademia dan penyedia latihan bagi membangunkan bakat untuk keperluan masa hadapan sektor komunikasi dan multimedia.

Usaha ini disokong oleh Kajian Impak Kecerdasan Buatan, Digital dan Ekonomi Hijau terhadap Tenaga Kerja Malaysia bagi sektor Komunikasi dan Multimedia, kajian bersama TalentCorp dan SKMM yang dilancarkan pada 5 Oktober 2026. Kajian memetakan 268 peranan pekerjaan dan 748 kemahiran, serta mengenal pasti empat peranan baharu muncul dalam sektor ini.

Dapatan kajian turut menyokong pembangunan Communications and Multimedia Future Skills Framework (C&M FSF) oleh SKMM, dengan menyediakan asas data untuk menyelaras keperluan kemahiran, pembangunan bakat dan laluan kerjaya dengan keperluan industri.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata pembangunan bakat perlu bergerak seiring dengan perubahan ekonomi dan keperluan industri bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing.

“Usaha TalentCorp bersama SKMM ini penting kerana ia memberikan kita gambaran yang lebih jelas tentang keperluan kemahiran industri, bukan sahaja untuk hari ini tetapi juga untuk beberapa tahun akan datang.

“Malaysia perlu sentiasa berada selangkah ke hadapan dalam menyediakan tenaga kerja kita. Sebab itu KESUMA memberi penekanan kepada pembangunan bakat yang berasaskan data, dipacu keperluan industri dan dilaksanakan melalui kerjasama erat antara kerajaan, industri serta institusi pendidikan dan latihan.

“Matlamat kita adalah untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai kemahiran yang relevan untuk merebut peluang baharu, industri mempunyai bakat yang diperlukan untuk terus berkembang, dan negara mempunyai tenaga kerja yang mampu menyokong produktiviti serta pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan.”

Kajian turut mengenal pasti empat peranan baharu muncul iaitu Artificial Intelligence Engineer, Artificial Intelligence Ethics Officer dan Edge Computing Specialist dalam telekomunikasi, serta Head of Postal Inspectorate dalam pos dan kurier.

Sebanyak 748 kemahiran dipetakan merangkumi antaranya rangkaian masa hadapan, keselamatan siber, pengkomputeran awan, analitik data, penghasilan kandungan digital, penggunaan AI secara bertanggungjawab dan automasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Puan Biruntha Mooruthi, berkata kajian tersebut menyediakan asas untuk menterjemahkan keperluan industri kepada tindakan pembangunan bakat yang lebih bersasar.

“Melalui Future Skills Talent Council oleh TalentCorp, kita membawa majikan, kerajaan, akademia dan penyedia latihan bersama untuk memahami keperluan kemahiran industri dan menentukan tindakan yang diperlukan.

“Matlamatnya adalah untuk membangunkan kemahiran yang tepat, mewujudkan laluan kerjaya yang lebih jelas dan menghubungkan rakyat Malaysia kepada peluang dalam sektor yang terus berkembang.”

Kajian bersama TalentCorp dan SKMM turut mencadangkan 29 inisiatif strategik merentas tiga subsektor, termasuk pembangunan bakat teknologi masa hadapan, peningkatan kemahiran AI dan digital, penjajaran pendidikan dengan keperluan industri serta penerapan teknologi dan ekonomi hijau yang bertanggungjawab.

Kerjasama ini menyokong usaha KESUMA untuk membangunkan tenaga kerja berasaskan data dan keperluan industri, serta memastikan pembangunan teknologi bergerak seiring dengan pembangunan bakat Malaysia.

Untuk mendapatkan laporan penuh berhubung Kajian Impak sektor Komunikasi dan Multimedia, sila layari www.mymahir.my/publication.

 

Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad

6 Oktober 2026