TalentCorp Buka Lebih 500 Peluang Latihan Industri dalam Sektor GBS

(Dari kiri) Encik Vigneswaran Sivalingam, Presiden, Contact Centre Association of Malaysia (CCAM); Encik Raymond Davadass, Pengerusi, Digital Global Business Services Council Malaysia (GBS Malaysia); Cik Biruntha Mooruthi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TalentCorp; Datuk Parmjit Singh, Ketua Pegawai Eksekutif, Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU); Encik Nazrul Aziz, Ketua Pegawai Strategi, TalentCorp.
KUALA LUMPUR, 25 Jun 2026 – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), agensi dan badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), hari ini menganjurkan GBS Internship Fair 2026 dengan kerjasama Digital Global Business Services Council Malaysia (GBS Malaysia), Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), dan Contact Centre Association of Malaysia (CCAM).
Program yang berlangsung di APU itu menghimpunkan lebih 5,000 pelajar daripada APU serta universiti dan institusi TVET di Wilayah Tengah, bersama lebih 40 majikan sektor Global Business Services (GBS) yang menawarkan lebih 500 peluang latihan industri.
Inisiatif ini bertujuan memperkukuh laluan daripada pendidikan kepada pekerjaan, khususnya dalam sektor GBS yang semakin berkembang merangkumi bidang bernilai tinggi seperti Kewangan dan Perakaunan, IT dan Digital, Data, Perkhidmatan Perniagaan, Operasi Pelanggan, analitik, penambahbaikan proses dan perkhidmatan berasaskan AI.

Puan Biruntha Mooruthi menyampaikan Ucapan Pelancaran GBS Internship Fair 2026
Menurut Puan Biruntha Mooruthi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, penganjuran GBS Internship Fair 2026 hadir pada masa yang tepat ketika isu kebolehpasaran belia, pengangguran belia dan ketidakpadanan kemahiran terus memerlukan kerjasama lebih rapat antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan.
“Pasaran buruh Malaysia kekal berdaya tahan, namun peralihan daripada pendidikan kepada pekerjaan masih menjadi cabaran, khususnya apabila pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun berada pada 10.2 peratus melibatkan lebih 290,000 orang, manakala 1.93 juta pekerja berpendidikan tertiari masih berada dalam guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran.
Ini menunjukkan bahawa kelayakan sahaja tidak mencukupi tanpa kemahiran, pendedahan dan kesiapsiagaan yang sepadan dengan permintaan industri,” katanya.
“Apabila kerajaan, universiti, institusi TVET dan majikan bergerak bersama, laluan daripada pendidikan kepada pekerjaan menjadi lebih jelas dan praktikal. Inilah pendekatan yang diperlukan untuk memastikan graduan Malaysia tidak ketinggalan dalam ekonomi yang sedang berubah,” katanya.
TalentCorp juga terus memperkukuh ekosistem latihan industri negara melalui pelbagai inisiatif seperti Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP), Geran Padanan Latihan Industri PMKS dan syarikat pemula (LiKES) serta pelaksanaan Dasar Latihan Industri 1:3. Inisiatif ini bertujuan membantu majikan menyediakan lebih banyak penempatan latihan industri yang berkualiti, mengurangkan halangan penyertaan khususnya bagi PMKS dan syarikat pemula, serta menggalakkan kerjasama lebih rapat antara industri dan institusi pendidikan agar pelajar mendapat pendedahan kerja yang lebih tersusun dan relevan dengan keperluan pasaran.

Pengerusi GBS Malaysia, Raymond Davadass berkata Karnival Latihan Industri GBS 2026 bukan sekadar penempatan latihan industri semata-mata tetapi satu pelaburan strategik untuk masa depan industri Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) Malaysia. Keutamaan kita adalah untuk membina kumpulan bakat yang mampan dengan melahirkan graduan yang sedia industri, serta dilengkapi kemahiran digital, analitikal dan profesional yang relevan dengan keperluan semasa.
“Sektor GBS Malaysia terus menunjukkan momentum positif, dengan peningkatan 66 peratus jumlah syarikat GBS sejak 2021, pertumbuhan pelaburan sebanyak 13.5 kali ganda, serta penciptaan lebih 36,000 peluang pekerjaan baharu. Bagi mengekalkan momentum ini, kerjasama antara industri, institusi akademik dan kerajaan perlu terus diperkukuh.
Kerjasama antara TalentCorp, APU, CCAM dan GBS Malaysia mencerminkan komitmen bersama untuk menghubungkan pelajar dengan pendedahan industri yang bermakna dan laluan kerjaya yang lebih jelas, sekali gus memperkukuh ekosistem bakat negara serta kedudukan Malaysia sebagai hab GBS digital yang kompetitif di rantau ini.” tambahnya.

GBS Internship Fair 2026 turut menyediakan platform langsung kepada pelajar untuk berinteraksi dengan majikan melalui sesi libat urus reruai, semakan resume, temu duga terbuka, ceramah kerjaya, aktiviti hackathon dan jaringan bersama pemimpin industri.
Antara syarikat disokong dibawah Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP) TalentCorp yang menyertai agenda ini termasuk Daythree Business Services, SLB, Experian Malaysia, Telecontinent, The Access Group, Transcosmos Malaysia, SCICOM dan Standard Chartered Bank. Syarikat-syarikat ini memainkan peranan penting dalam menyediakan pendedahan tempat kerja yang berkualiti kepada pelajar tempatan.
GBS Internship Fair 2026 mencerminkan usaha TalentCorp serta rakan strategik industri untuk terus menghubungkan dasar, data dan pelaksanaan bagi memperkukuh kebolehpasaran graduan, menyokong pembangunan bakat masa hadapan dan membantu Malaysia membina tenaga kerja yang lebih bersedia untuk sektor pertumbuhan tinggi.
Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad
25 Jun 2026






