Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Press Releases

curve

KESUMA, TalentCorp Perkukuh Hubungan dengan Bakat Malaysia di Indonesia menerusi Salam Dari Malaysia @ Jakarta

07 October 2026

 

KESUMA menerusi TalentCorp turut melancarkan Garis Panduan Permohonan Permit Masuk di bawah kategori Returning Expert Programme (REP) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN)

JAKARTA, 7 Oktober 2026 – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) terus memperkukuh hubungan dengan komuniti bakat Malaysia di Indonesia melalui program Salam Dari Malaysia @ Jakarta, yang berlangsung semalam sebagai sebahagian usaha memperluas penglibatan diaspora dalam pembangunan bakat dan ekonomi negara.

Sempena program tersebut, KESUMA menerusi TalentCorp turut melancarkan Garis Panduan Permohonan Permit Masuk di bawah kategori Returning Expert Programme (REP) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN). Garis panduan ini menyediakan rujukan yang lebih jelas kepada keluarga profesional Malaysia yang sedang mempertimbangkan untuk kembali ke tanah air.

Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, berkata penglibatan diaspora Malaysia penting dalam memenuhi keperluan bakat negara seiring perkembangan ekonomi dan pertumbuhan industri bernilai tinggi.

“Malaysia sedang menarik pelaburan dan membangunkan industri bernilai tinggi, tetapi pelaburan sahaja tidak mencukupi. Kita perlu memastikan negara mempunyai bakat, kemahiran dan kepakaran yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan tersebut serta mewujudkan pekerjaan yang lebih baik untuk rakyat.

“Di sinilah diaspora Malaysia mempunyai nilai strategik. Pengalaman mereka dalam pasaran dan industri antarabangsa boleh membantu Malaysia membina keupayaan, memperluas jaringan ekonomi dan mempercepat pembangunan bakat dalam bidang yang diperlukan negara,” katanya.

Garis panduan yang dilancarkan menyediakan rujukan lebih jelas dan tersusun mengenai proses permohonan Permit Masuk bagi pasangan warga asing dan anak kandung berumur bawah 18 tahun kepada penerima REP, termasuk syarat kelayakan, dokumen dan tatacara permohonan.

Melalui laluan ini, pasangan warga asing dan anak kandung yang telah dikeluarkan Permit Masuk boleh memohon taraf Pemastautin Tetap (Permanent Resident atau PR), tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

“Jika Malaysia mahu menarik pulang kepakaran yang diperlukan oleh ekonomi negara, kita juga perlu memahami faktor yang mempengaruhi keputusan seseorang untuk kembali. Ia bukan sekadar soal pekerjaan atau gaji. Bagi ramai profesional, keputusan itu turut melibatkan pasangan, anak-anak dan masa depan keluarga.

“Garis panduan ini memberikan kejelasan yang lebih baik kepada keluarga penerima REP supaya mereka yang mempertimbangkan untuk kembali dapat merancang kepulangan bersama keluarga dengan lebih yakin,” kata YB Dato’ Sri Ramanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Puan Biruntha Mooruthi, berkata Salam Dari Malaysia merupakan sebahagian daripada pendekatan TalentCorp untuk memastikan rakyat Malaysia di luar negara terus mempunyai hubungan yang bermakna dengan ekosistem bakat dan ekonomi negara.

“Rakyat Malaysia di Indonesia mempunyai perspektif yang unik kerana mereka memahami kedua-dua pasaran. Kita mahu menterjemahkan pengalaman, kepakaran dan jaringan mereka kepada hubungan yang lebih nyata dengan Malaysia, sama ada melalui industri, pementoran, perkongsian ilmu, peluang perniagaan atau kepulangan bagi mereka yang bersedia untuk kembali.”

Usaha ini digerakkan melalui Malaysia@Heart (MyHeart), termasuk MyHeart Global Connect, yang menghubungkan pengalaman, kepakaran dan jaringan rakyat Malaysia di luar negara dengan keperluan pembangunan bakat Malaysia.

Salam Dari Malaysia @ Jakarta turut melibatkan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Malaysia Chamber of Commerce Indonesia (MCCI), persatuan pelajar Malaysia serta rakan strategik bagi memperkukuh penglibatan berterusan dengan komuniti Malaysia di Indonesia.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.myheart.my.

 

Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)

7 Oktober 2026