KENYATAAN TALENT CORPORATION MALAYSIA BERHAD (TALENTCORP) BERHUBUNG PROGRAM KEPULANGAN PAKAR (REP) BAGI PROFESIONAL PERUBATAN DAN PENJAGAAN KESIHATAN

TalentCorp menyambut baik arahan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sepertimana yang disampaikan oleh YB Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan, supaya proses permohonan bagi rakyat Malaysia di luar negara yang berhasrat untuk kembali ke tanah air dan menyumbang kepakaran kepada negara, termasuk profesional dalam sektor perubatan dan penjagaan kesihatan, diteliti secara menyeluruh.
Bagi profesional perubatan dan penjagaan kesihatan Malaysia diluar Negara yang memohon melalui Program Kepulangan Pakar atau Returning Expert Programme (REP), proses tersebut turut melibatkan keperluan pendaftaran profesional untuk menjalankan amalan perubatan di Malaysia. Ini termasuk, jika berkenaan, pendaftaran dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan National Specialist Register (NSR).
Memandangkan sektor perubatan dan penjagaan kesihatan tertakluk dibawah kawal selia badan profesional berkenaan, permohonan program REP bagi kategori ini turut melalui penilaian teknikal tambahan menerusi Joint Working Committee for Healthcare Talent (JWC-HT). Jawatankuasa ini menghimpunkan TalentCorp, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), MMC serta badan kawal selia dan profesional kesihatan yang berkaitan.
Permohonan melalui program REP bagi profesional perubatan dan penjagaan kesihatan yang lengkap lazimnya diproses dalam tempoh sekitar 60 hari bekerja, tertakluk kepada jadual mesyuarat jawatankuasa berkaitan. Dalam tempoh ini, TalentCorp akan menyemak permohonan serta dokumen sokongan yang dikemukakan bagi memastikan semua maklumat lengkap dan tepat sebelum permohonan dibawa ke peringkat penilaian dan keputusan.
Sejak pelaksanaan program REP pada 2011, TalentCorp telah menerima sebanyak 774 permohonan dalam kalangan profesional perubatan dan penjagaan kesihatan. Daripada jumlah tersebut, 495 permohonan telah diluluskan dan 351 pemohon telah kembali ke Malaysia. Sehingga Julai 2026, semua permohonan REP bagi kategori ini yang diterima untuk diproses oleh TalentCorp telah selesai diproses.
Namun, sekiranya pendaftaran MMC atau NSR yang diperlukan masih dalam proses, permohonan yang memenuhi syarat REP yang lain masih boleh diteruskan untuk penilaian dan dipertimbangkan bagi kelulusan bersyarat. Kelulusan penuh serta manfaat di bawah REP hanya boleh diberikan setelah pendaftaran MMC dan NSR yang berkenaan diselesaikan dan bukti pendaftaran dikemukakan.
TalentCorp telah melaksanakan libat urus bersama KKM bagi meneliti proses REP untuk pegawai profesional perubatan dan penjagaan kesihatan serta memperkukuh penyelarasan antara pihak berkaitan. Ini termasuk sesi libat urus bersama Ketua Setiausaha KKM pada 22 Jun 2026, serta mesyuarat bersama anggota JWC-HT yang dijadualkan pada 21 Ogos 2026.
Selaras dengan arahan YAB Perdana Menteri, TalentCorp akan terus bekerjasama rapat dengan KESUMA, KKM, MMC serta badan kawal selia dan profesional berkaitan bagi menambah baik keseluruhan proses kepulangan profesional perubatan dan penjagaan kesihatan Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada usaha ini, TalentCorp juga berhasrat untuk bekerjasama dengan KKM menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh penyelarasan dan membolehkan proses yang lebih pantas serta cekap untuk semua pihak berkaitan.
TalentCorp kekal komited untuk memudah cara kepulangan profesional Malaysia yang ingin kembali menyumbang kepakaran dan pengalaman kepada negara, di samping memastikan keperluan profesional serta piawaian kawal selia yang ditetapkan terus dipatuhi.
Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)
21 Ogos 2026






