Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Press Releases

curve

TalentCorp Mengetengahkan Bakat Malaysia Bertaraf Dunia Menerusi ‘Homecoming’ Pemain Piano Antarabangsa, Vincent Ong

24 March 2026

Vincent Ong membuat persembahan semasa Vincent Ong: A Homecoming Recital

KUALA LUMPUR, 24 Mac 2026 – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyambut kepulangan pemain piano Malaysia bertaraf antarabangsa, Vincent Ong, menerusi program “Vincent Ong: A Homecoming”, dengan sokongan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), agensi dan badan pemikir strategik KESUMA dalam pembangunan bakat dan tenaga kerja, serta peneraju usaha penglibatan diaspora Malaysia.

Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, berkata program ini mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memperkukuh penglibatan rakyat Malaysia di luar negara serta mewujudkan laluan untuk mereka terus menyumbang semula kepada tanah air.

“Pencapaian Vincent Ong membuktikan keunggulan bakat Malaysia di pentas dunia. Program ’Homecoming’-nya menunjukkan bagaimana kecemerlangan antarabangsa boleh dikongsi secara bermakna melalui persembahan dan pembelajaran. Menerusi inisiatif MyHeart yang diterajui TalentCorp, rakyat Malaysia di luar negara dapat terus berhubung dan menyumbang semula dalam usaha memperkukuh ekosistem bakat negara,” katanya.

Program yang dianjurkan di bawah inisiatif MyHeart oleh TalentCorp ini membuka peluang kepada rakyat Malaysia di luar negara untuk berinteraksi secara langsung dengan bakat tempatan melalui persembahan, sesi bimbingan dan perkongsian ilmu.

Vincent Ong yang berusia 25 tahun, kini berpangkalan di Berlin, telah membina kerjaya antarabangsa yang cemerlang serta diiktiraf secara meluas atas pencapaiannya dalam bidang muzik klasik. Pada tahun 2024, beliau meraih Pingat Emas di International Robert Schumann Competition, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di persada antarabangsa. Pada tahun 2025, beliau melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama yang mara ke peringkat akhir serta memenangi pingat di International Fryderyk Chopin Piano Competition, yang digambarkan oleh The New York Times sebagai “Olimpik dunia piano” dan diiktiraf sebagai antara pertandingan muzik klasik paling berprestij di dunia.

Sebagai sebahagian daripada program ini, siri Homecoming Solo Recital serta bengkel intensif (masterclass) kendalian Vincent Ong telah menerima sambutan yang amat menggalakkan, dengan lebih 2,200 peserta dijangka hadir di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Vincent Ong bercakap kepada media semasa Sidang Media Khas Program Vincent Ong: A Homecoming

Pengerusi TalentCorp, YB Wong Shu Qi, berkata kepulangan Vincent mencerminkan nilai besar penglibatan rakyat Malaysia di luar negara secara bermakna.

“Vincent Ong mewakili yang terbaik dalam kalangan bakat Malaysia. Kepulangannya membuka ruang kepada pertukaran ilmu dan pengalaman yang bermakna, di mana pendedahan global dapat dikongsi untuk memberi inspirasi kepada generasi muda Malaysia serta memperkukuh ekosistem bakat negara,” katanya.

Vincent Ong berkata kepulangannya kali ini amat bermakna kerana memberinya peluang untuk kembali berhubung dengan Malaysia serta menyumbang melalui persembahan dan pembelajaran.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada TalentCorp atas peluang untuk menyumbang menerusi MyHeart. Kepulangan ini amat bermakna buat saya kerana ia membolehkan saya berkongsi muzik serta pengalaman saya dengan penonton dan pemuzik muda di Malaysia. Saya berharap ia dapat menggalakkan lebih ramai untuk mengejar cita-cita mereka dengan penuh keyakinan,” katanya.

Encik Edward Ling semasa ucapannya di Sidang Media Khas untuk Vincent Ong: A Homecoming

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Edward Ling, berkata MyHeart membolehkan rakyat Malaysia di luar negara menyumbang merentas pelbagai sektor melalui bimbingan, kerjasama dan perkongsian ilmu.

“Kita melihat semakin ramai rakyat Malaysia di luar negara menyumbang secara nyata merentas pelbagai sektor — daripada perkongsian kepakaran teknikal dan bimbingan kepada bakat muda, kepada jalinan kerjasama dengan institusi serta industri tempatan. Pertukaran berterusan ini memperkukuh ekosistem bakat negara dan membuka laluan baharu untuk rakyat Malaysia mempelajari amalan terbaik di peringkat global,” katanya.

Sejak 2023, MyHeart by TalentCorp telah memudahcara pelbagai kerjasama bersama rakyat Malaysia di luar negara merentasi sektor pendidikan, penyelidikan, penjagaan kesihatan, perniagaan dan industri kreatif. Antaranya termasuk inisiatif pendidikan digital dan AI yang memberi manfaat kepada ratusan guru dan pelajar, sesi perkongsian ilmu perubatan yang melibatkan lebih 1,000 profesional kesihatan, serta program inovasi yang melibatkan pasukan pelajar dari seluruh negara dalam teknologi baharu seperti AI dan IoT.

MyHeart turut menyokong kerjasama akademik antarabangsa dan pertukaran budaya merentas bandar utama dunia seperti London, Tokyo, Melbourne dan Dubai, sekali gus mengukuhkan rangkaian global Malaysia serta membuka peluang kepada bakat tempatan untuk mendapat manfaat daripada pendedahan dan kepakaran antarabangsa.

Melalui kerjasama dengan rakyat Malaysia berprestasi tinggi seperti Vincent, usaha ini merupakan pendekatan pengaliran bakat (brain circulation) yang lebih menyeluruh, di mana rakyat Malaysia di luar negara kekal berhubung dan menyumbang pengalaman global, rangkaian serta pengetahuan mereka bagi menyokong pembangunan bakat dan ekonomi Malaysia dalam jangka panjang.

Rakyat Malaysia di luar negara serta rakan strategik yang berminat untuk meneroka peluang kerjasama atau penglibatan menerusi MyHeart boleh mengetahui lebih lanjut di www.myheart.my.

 

Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad

24 Mac 2026