Daripada Latihan ke Pekerjaan: KESUMA, TalentCorp Perluas Model Penempatan Kerja Belia India di Bawah Vetri MADANI

Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan bersama graduan MiSI 2.0
KUALA LUMPUR, 12 FEBRUARI 2026 – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), sebagai agensi dan badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), hari ini mengumumkan peruntukan tambahan yang digandakan bagi memperluas pelaksanaan pendekatan latihan dan penempatan pekerjaan berasaskan industri, yang diselaraskan di bawah kerangka Vetri MADANI dan diterajui oleh HRD Corp dan TalentCorp melalui ekosistem MyMahir.
Pendekatan ini dibangunkan berdasarkan kejayaan Program Malaysian Indian Skills Initiative 2.0 (MiSI 2.0) yang dilaksanakan oleh TalentCorp sebelum ini, dan kini diperkukuh sebagai komponen laluan kerjaya dan penempatan pekerjaan untuk belia komuniti India, khususnya daripada keluarga B40.
Peruntukan tambahan bagi tempoh Julai 2026 hingga Disember 2027 ini akan memberi manfaat kepada 500 peserta lagi, dengan tumpuan kepada latihan yang ditentukan oleh keperluan sebenar industri dan penempatan pekerjaan yang berkualiti, bagi meningkatkan kebolehpasaran dan mobiliti sosioekonomi jangka panjang.

YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia menyampaikan ucapannya
Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, berkata penyelarasan pelaksanaan oleh TalentCorp memperkukuh pendekatan pembangunan kerjaya yang berfokus kepada hasil sebenar.
“Pengalaman pelaksanaan sebelum ini membuktikan bahawa apabila latihan ditentukan oleh industri dan disusuli dengan penempatan pekerjaan sebenar, impaknya adalah nyata. Pendekatan inilah yang kita perluaskan supaya lebih ramai belia komuniti India dapat membina masa depan yang stabil dan bermaruah,” katanya.
Sebagai rujukan, pelaksanaan MiSI 2.0 sebelum ini telah merekodkan lebih 3,400 pendaftaran, dengan lebih 400 peserta menamatkan latihan dan hampir 300 peserta berjaya memperoleh pekerjaan. Kadar penempatan mencecah sekitar 75 peratus dalam tempoh tiga bulan selepas tamat latihan, melibatkan sektor bernilai tinggi seperti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Elektrikal dan Elektronik (E&E), Aeroangkasa serta Global Business Services (GBS).
Pendekatan yang diterajui TalentCorp ini menggunakan model train-and-place yang dipacu sepenuhnya oleh industri. Majikan mengenal pasti keperluan kemahiran sebenar, penyedia latihan membangunkan modul yang relevan, dan pembiayaan hanya disalurkan selepas peserta berjaya ditempatkan bekerja, bagi memastikan tumpuan berterusan kepada hasil pekerjaan.

YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan bersama graduan MiSI 2.0 dan keluarga
Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman bin Mohd Yusof, berkata pendekatan ini selari dengan hala tuju kementerian untuk memastikan setiap pelaburan pembangunan bakat membawa pulangan ekonomi dan sosial yang jelas.
“Penyelarasan antara dasar kementerian dan pelaksanaan oleh agensi seperti TalentCorp membolehkan pembangunan tenaga kerja dilaksanakan secara tersusun dan berfokus kepada keperluan sebenar pasaran buruh,” katanya.
Seiring pelaksanaan Vetri MADANI, TalentCorp menyokong agenda ini sebagai badan pemikir strategik KESUMA, dengan memanfaatkan ekosistem MyMahir untuk menyelaras penglibatan industri, pemilihan penyedia latihan serta penempatan pekerjaan secara hujung ke hujung.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Encik Edward Ling
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Edward Ling, berkata peranan TalentCorp adalah memastikan pelaksanaan ini memberi impak jangka panjang kepada peserta dan keluarga mereka.
“Kejayaan diukur bukan sekadar melalui bilangan peserta dilatih, tetapi melalui kualiti pekerjaan, kemajuan kerjaya dan kestabilan hidup jangka panjang,” katanya.
Majlis hari ini turut meraikan kejayaan 130 peserta fasa terdahulu yang telah menamatkan latihan dan berjaya melangkah ke alam pekerjaan, mencerminkan komitmen berterusan KESUMA dan TalentCorp untuk membina tenaga kerja masa hadapan yang inklusif, berdaya saing dan relevan dengan keperluan ekonomi negara.
Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad
12 Februari 2026






