Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Press Releases

curve

TalentCorp Umum Peralihan Kepimpinan: Thomas Mathew Tamatkan Tempoh Lima Tahun, Edward Ling Dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Baharu

03 November 2025

KUALA LUMPUR, 3 November 2025 – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) hari ini mengumumkan peralihan kepimpinan dengan tamatnya tempoh perkhidmatan Encik Thomas Mathew sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan pada 3 November 2025. Encik Edward Ling telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang baharu, berkuat kuasa mulai 4 November 2025.

Sejak memegang jawatan pada tahun 2020, Encik Thomas telah menerajui TalentCorp melalui fasa pembaharuan dan transformasi yang memperkukuh tadbir urus, kemampanan kewangan serta kerelevanan strategik organisasi. Di bawah kepimpinannya, TalentCorp berkembang daripada agensi berasaskan program kepada pemudah dasar (policy enabler) dan badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Antara pencapaian utama sepanjang tempoh kepimpinan beliau termasuk:

  • Memperkukuh tadbir urus, rangka kerja institusi dan daya tahan organisasi bagi meningkatkan ketelusan, akauntabilit, serta operasi yang mampan.
  • Memacu agenda kemahiran masa depan Malaysia melalui MyMahir dengan menubuhkan Future Skills Talent Council (FSTC) yang diiktiraf oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), menerbitkan Kajian Impak MyMahir peringkat kebangsaan serta melancarkan Majlis AI Nasional Industri MyMahir (MyMahir–NAICI).
  • Mendorong inovasi melalui pelaksanaan reformasi seperti Xpats Gateway, inisiatif utama (MyNext dan MyHeart) serta penubuhan Expatriate Services Centre (ESC) pertama di dunia di KLIA Terminal 1 dan 2 yang diiktiraf oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC) pada tahun 2024 sebagai Champion Leader dalam mempercepat kelulusan pas pekerjaan dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam penarafan bakat di bawah KESUMA.
  • Memperkasa penyertaan tenaga kerja dan keterangkuman melalui inisiatif seperti LIFE AT WORK, Career Comeback, Wanita MyWira dan Veteran MyWira yang menyepadukan dasar kepelbagaian dan fleksibiliti dengan pertumbuhan produktiviti.

Pengerusi TalentCorp, YB Wong Shu Qi menyampaikan penghargaan Lembaga Pengarah atas kepimpinan Thomas:

“Kepimpinan Thomas Mathew sepanjang lima tahun lalu telah memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan kredibiliti dan impak TalentCorp. Beliau telah mentransformasikan organisasi ini menjadi agensi yang berpandangan jauh, berasaskan data serta mampan dari segi kewangan, yang kini memainkan peranan utama dalam merangka strategi tenaga kerja negara. Bagi pihak Lembaga Pengarah, saya mengucapkan terima kasih atas komitmen dan khidmat bakti beliau.”

“Kami turut mengalu-alukan pelantikan Edward Ling untuk menerajui TalentCorp ke fasa baharu,” katanya.

Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim Chee Keong turut menyatakan bahawa di bawah kepimpinan Thomas Mathew, TalentCorp telah membina asas institusi strategik yang kukuh, sekali gus membolehkan agensi tersebut memainkan peranan yang lebih berkesan dalam merangka agenda bakat dan kemahiran negara. Beliau turut menyampaikan penghargaan atas dedikasi dan sumbangan Thomas dalam memperkukuh ekosistem bakat Malaysia.

YB Steven Sim turut menambah bahawa dengan pelantikan Edward Ling, kementerian berharap dapat meneruskan kerjasama erat bersama TalentCorp dalam memperkukuh agenda tenaga kerja masa depan Malaysia di bawah KESUMA.

“Saya yakin TalentCorp akan terus menggabungkan kepakaran industri dengan pandangan dasar bagi mengukuhkan hubungan antara Kerajaan dan industri, seterusnya memastikan strategi bakat negara kekal sejajar dengan keperluan ekonomi nasional dan global,” katanya.

Edward Ling mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam memacu transformasi perniagaan, inovasi digital dan perkongsian strategik merentasi syarikat multinasional serta organisasi berpotensi tinggi.

Pengalaman kerjaya beliau merangkumi pelbagai peranan kepimpinan di institusi ternama seperti LinkedIn, Waze, Google, dan L’Oréal Malaysia, di mana beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh keupayaan digital, memupuk kerjasama antara sektor awam dan swasta serta membangunkan ekosistem bakat serantau. Beliau juga pernah memegang jawatan kanan di Doctor Anywhere, Yinson Capital dan Fujitsu Malaysia, dengan pengalaman luas dalam membimbing organisasi melalui fasa pengembangan, inovasi dan pembangunan ekosistem.

Dikenali sebagai individu yang berupaya menghubungkan kepakaran korporat dengan keutamaan pembangunan nasional, Edward telah menerajui pelbagai inisiatif yang memperkukuh kolaborasi rentas sektor, kesiapsiagaan digital dan daya saing tenaga kerja. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Komputer (Cemerlang) daripada Universiti Monash Melbourne.

Dengan pelantikan beliau, TalentCorp berhasrat untuk terus memacu pelaksanaan agenda transformasi bakat negara melalui kerjasama yang lebih erat antara industri, kerajaan dan rakan global. TalentCorp turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik dan pihak berkepentingan atas sokongan berterusan yang menjadi tunjang kepada usaha memperkukuh ekosistem bakat Malaysia serta memacu pertumbuhan bersama pada masa hadapan.

 

Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad

3 November 2025