TalentCorp Terajui Usaha KESUMA Bangunkan Ekosistem Bakat Berdaya Saing dan Inklusif

YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia dan YB Datuk Khairul Firdaus Bin Akbar Khan, Timbalan Menteri Sumber Manusia bersama delegasi Kesuma dan TalentCorp bertemu pelanggan sewaktu lawatan kerja YB Menteri dan Timb. Menteri
PETALING JAYA, 6 Januari 2026 – Selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI dalam Belanjawan 2026: Belanjawan Rakyat, agenda tenaga kerja negara terus berteraskan rakyat dengan memberi penekanan terhadap strategi pembangunan tenaga kerja yang holistik sebagai asas kepada pertumbuhan yang mampan dan saksama.
Selaras dengan visi ini, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) komited untuk memperkukuh ekosistem bakat negara melalui pendekatan berteraskan rakyat, selari dengan keperluan pasaran kerja semasa dan masa hadapan.
YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia, berkata semasa lawatan rasmi pertamanya ke Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) di Menara Surian hari ini, hampir separuh daripada tenaga kerja Malaysia berada dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), namun masih berdepan cabaran dari segi akses kepada latihan tersusun dan laluan kerjaya yang jelas.
“Pendekatan KESUMA bermula dengan rakyat. Apabila rakyat dipermudah untuk memasuki alam pekerjaan, diberikan kemahiran yang relevan dan disokong untuk kekal produktif, perniagaan akan berkembang dan ekonomi negara menjadi lebih berdaya tahan,” katanya semasa lawatan tersebut yang juga merupakan sebahagian daripada siri lawatan beliau ke agensi-agensi di bawah KESUMA.
Menurut beliau, sebagai badan pemikir strategik KESUMA, TalentCorp memainkan peranan penting dalam membangunkan ekosistem bakat negara yang merangkumi pelajar, graduan, profesional, wanita, veteran, diaspora serta bakat berkemahiran tinggi dari dalam dan luar negara, dengan matlamat menjadikan Malaysia sebuah hab bakat global yang dinamik dan berdaya saing.

YB Menteri mendengar penerangan berhubung insiatif MYXpats
Antara inisiatif utama yang diketengahkan termasuk penambahbaikan Geran Padanan Latihan Industri Kecil dan Sederhana (LiKES), di mana proses kelulusan kini dipercepatkan kepada 14 hari bekerja. Kerajaan juga memperkenalkan pemberian pendahuluan sebanyak RM2,000 bagi setiap pelatih bagi memberi kepastian kepada majikan serta peluang pembelajaran bermakna kepada golongan belia.
Dalam usaha memastikan latihan benar-benar membawa kepada peluang pekerjaan, MyMahir Future Skills Talent Council (FSTC) memperkenalkan pendekatan berasaskan industri, di mana keperluan kemahiran ditentukan oleh industri sendiri. Rangka kerja ini telah diiktiraf oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan terbukti mengurangkan ketidakpadanan kemahiran serta meningkatkan gaji permulaan peserta.
Seiring pengumuman Belanjawan 2026 oleh YAB Perdana Menteri, perusahaan mikro, kecil dan sederhana turut layak menikmati potongan cukai tambahan 50 peratus bagi perbelanjaan latihan dalam bidang kecerdasan buatan dan keselamatan siber di bawah inisiatif MyMahir–National AI Council for Industry (MyMahir-NAICI).
Dalam aspek pengekalan tenaga kerja, KESUMA melalui TalentCorp memberi tumpuan kepada inisiatif seperti Wanita MyWira bagi menyokong penyertaan wanita dalam pasaran kerja, serta pelaksanaan pengaturan kerja fleksibel untuk membantu pekerja berpengalaman kekal produktif. Kajian impak pengaturan kerja fleksibel di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Malaysia juga terus menarik bakat global melalui penambahbaikan platform Xpats Gateway, yang telah menyumbang kepada peningkatan kedudukan negara dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025, apabila melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23.
Selain itu, Kerajaan turut membuka laluan kepada chef dan pengurus antarabangsa berkemahiran tinggi untuk bekerja di restoran dan premis gastronomi premium di Malaysia, sekali gus menyokong pemindahan kemahiran dan memperkukuh sektor pelancongan bernilai tinggi.
Bagi majikan yang berdepan kekangan tenaga kerja, pengambilan veteran Angkatan Tentera Malaysia melalui program Veteran MyWira turut digalakkan, memandangkan disiplin dan daya tahan tinggi yang dimiliki oleh golongan tersebut.
“Keseluruhannya, ini merupakan satu ekosistem bakat bersepadu yang menyokong rakyat Malaysia daripada memasuki alam pekerjaan, membina kemahiran, hinggalah kekal bekerja. Kerajaan bersedia menyokong majikan yang melabur dalam bakat tempatan dengan dasar yang jelas dan pelaksanaan yang praktikal,” ujar beliau.
Inisiatif yang diumumkan hari ini melengkapkan usaha negara untuk muncul sebagai hab bakat global yang dinamik. Kementerian Sumber Manusia menggalakkan lebih banyak majikan dan rakan industri memainkan peranan aktif dalam membangunkan bakat tempatan, sambil memastikan modal insan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat menjelang tahun 2026.
Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad
6 Januari 2026






