TalentCorp Perkukuh Kesiapsiagaan AI Nasional, Jelajah AI MyMahir Bernilai RM110 Juta Diperluas ke Seluruh Negara

Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan bersama peserta Jelajah AI MyMahir @ Sungai Buloh
SUNGAI BULOH, 17 Januari 2026 – Bagi mempersiapkan rakyat Malaysia menghadapi ekonomi berteraskan AI, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperluas pelaksanaan program Jelajah AI MyMahir di seluruh negara, iaitu sebuah program peningkatan kemahiran AI berasaskan komuniti yang diterajui oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), agensi badan pemikir strategik Kementerian.
Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, ketika melancarkan program tersebut berkata bahawa pendekatan Malaysia terhadap AI perlu bersifat inklusif, berteraskan rakyat serta berpaksikan keperluan sebenar tempat kerja.
“AI kini sedang membentuk semula cara rakyat Malaysia bekerja merentasi pelbagai sektor. Tanggungjawab kerajaan adalah untuk memastikan rakyat tidak tercicir serta dilengkapi dengan kemahiran praktikal agar kekal produktif, berdaya saing dan mempunyai nilai kebolehpasaran pekerjaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa melalui TalentCorp, pelaksanaan inisiatif ini digerakkan secara langsung di peringkat akar umbi.
“Jelajah AI MyMahir menterjemahkan keutamaan pembangunan bakat negara kepada pembelajaran AI yang praktikal, serta dibawa terus kepada rakyat di tempat mereka tinggal dan bekerja,” tambah beliau.
Program Jelajah AI MyMahir peringkat nasional ini akan dilaksanakan di 60 kawasan Parlimen, dengan menyediakan latihan AI secara praktikal dan aplikatif kepada pelajar, pekerja, wanita, usahawan serta pemilik perniagaan kecil.
Program ini memberi tumpuan kepada aplikasi AI yang boleh digunakan serta-merta bagi menyokong peningkatan produktiviti, penjanaan pendapatan dan kebolehpasaran tenaga kerja, sejajar dengan perubahan pesat keperluan pekerjaan dan kemahiran akibat penggunaan AI.

Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara TalentCorp dan EY Malaysia, disaksikan oleh Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan
Kerjasama dengan Ernst & Young Consulting Sdn. Bhd. (EY Malaysia) dilaksanakan di bawah program tanggungjawab korporat global EY, iaitu EY Ripples. Melalui inisiatif ini, TalentCorp telah memeterai kerjasama strategik bersama EY Malaysia menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU), sekali gus memperkukuh kerjasama awam–swasta dalam memacu pelaksanaan kecerdasan buatan (AI) yang berteraskan insan bagi menyokong agenda MyMahir.
Kerjasama yang bernilai RM110 juta ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 22,000 rakyat Malaysia di seluruh negara, melibatkan sekitar 12,000 peserta melalui Jelajah AI MyMahir dan tambahan 10,000 peserta menerusi inisiatif TalentCorp yang lain melibatkan pelajar sekolah dan universiti, wanita serta veteran angkatan tentera.
Keperluan untuk mempercepatkan usaha peningkatan kemahiran AI diperkukuh oleh Kajian Impak TalentCorp mengenai AI, Pendigitalan dan Ekonomi Hijau, yang menganggarkan kira-kira 685,000 pekerja Malaysia berpotensi terkesan secara signifikan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang sekiranya usaha latihan semula dan peningkatan kemahiran tidak diperkasakan.
Dapatan kajian ini turut disokong oleh kajian Institute of Strategic & International Studies (ISIS) Malaysia, yang menunjukkan bahawa 45% tenaga kerja, atau sekitar 6.7 juta pekerja, mempunyai sekurang-kurangnya 40% tugasan kerja yang berpotensi digantikan oleh teknologi AI generatif sedia ada.
Sehingga kini, empat program perintis Jelajah AI MyMahir telah dilaksanakan di Sabah dan Selangor, sekali gus mencerminkan permintaan yang tinggi di peringkat nasional terhadap pembelajaran AI yang bersifat praktikal dan berasaskan aplikasi.

Ketua Setiausaha Sumber Manusia, Datuk Azman bin Mohd Yusof menyampaikan ucapan aluan
Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman bin Mohd Yusof, berkata inisiatif ini membuktikan peranan TalentCorp dalam menterjemahkan keutamaan nasional berkaitan bakat dan AI kepada pelaksanaan di lapangan.
“Melalui Jelajah AI MyMahir, TalentCorp melaksanakan dasar nasional dengan membawa latihan AI secara praktikal terus kepada komuniti, seterusnya memperkukuh kebolehsuaian tenaga kerja serta meningkatkan kebolehpasaran dan produktiviti jangka panjang,” katanya.
Selaras dengan Pelan Tindakan Teknologi AI Malaysia 2026-2030, Jelajah AI MyMahir mengguna pakai pendekatan berasaskan komuniti dan dipacu permintaan industri, bagi membolehkan peserta mengintegrasikan penggunaan alat AI dalam kerja kreatif, operasi perniagaan dan produktiviti harian.
Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, YB Wong Shu Qi, berkata inisiatif ini mencerminkan peralihan strategi pembangunan bakat negara daripada sekadar meningkatkan kesedaran kepada pembinaan keupayaan sebenar.
“Jelajah AI MyMahir membolehkan kami mendekati komuniti di tempat mereka berada, sambil membina keyakinan dan kesiapsiagaan untuk menyesuaikan diri apabila AI semakin diterapkan merentasi industri,” katanya.
“Pendekatan ini memperkukuh saluran bakat negara dan menyokong daya tahan ekonomi jangka panjang.”
Usaha ini turut menyokong matlamat Ekonomi MADANI untuk membina ekonomi yang berdaya tahan, berproduktiviti tinggi dan dipacu bakat, dengan memastikan tenaga kerja Malaysia mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi secara mampan.
Program Jelajah AI MyMahir akan diteruskan secara berperingkat di seluruh negara bagi memperluas akses kepada kemahiran AI praktikal serta peluang pembelajaran, dalam menyokong pembentukan tenaga kerja Malaysia yang inklusif dan bersedia menghadapi masa hadapan.
Bagi maklumat lanjut, sila e-mel ke: jelajah.ai@talentcorp.com.my
Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad
17 Januari 2026






