Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Press Releases

curve

TalentCorp Lancar Persidangan LIFE AT WORK 2025 Bersempena Anugerah Kelestarian Tempat Kerja Peringkat Kebangsaan

15 October 2025

  • Platform ini menetapkan hala tuju baharu Malaysia ke arah transformasi tempat kerja yang progresif dan berpusat kepada insan

 

KUALA LUMPUR, 15 Oktober 2025 – Selaras dengan Belanjawan 2026: Belanjawan Rakyat, agenda tenaga kerja negara terus berteraskan rakyat dengan memberi penekanan terhadap fleksibiliti, inklusiviti dan kesejahteraan sebagai asas kepada pertumbuhan yang mampan dan saksama.

Selaras dengan visi ini, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), selaku badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), hari ini menganjurkan Persidangan LIFE AT WORK (LAWA) 2025 sebuah platform nasional yang menghimpunkan pemimpin industri, majikan dan pembuat dasar untuk memacu fasa seterusnya transformasi tempat kerja yang progresif dan berpusat kepada insan di Malaysia.

Dengan tema “Driving the Future of Work: Sustainable, Inclusive & Human-Centred”, persidangan ini menzahirkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh amalan kerja yang saksama dan mesra penjagaan dalam agenda ekonomi negara, sekali gus menjadi landasan kepada Anugerah LIFE AT WORK 2025 yang akan berlangsung pada 30 Oktober 2025 bagi mengiktiraf majikan paling progresif dalam memperjuangkan fleksibiliti, inklusiviti dan kesejahteraan pekerja.

YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia menyampaikan ucaptama

Dalam ucapan pelancaran, YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia, menegaskan bahawa Belanjawan 2026 akan terus menempatkan rakyat di tengah-tengah pertumbuhan negara. Beliau menekankan bahawa peningkatan kualiti pekerjaan melalui dasar berpusat kepada insan, serta menghubungkan produktiviti dengan kesejahteraan dan inklusiviti, merupakan kunci untuk memastikan rakyat Malaysia terus makmur dalam dunia kerja yang pesat berubah.

“Apabila kita mewujudkan tempat kerja yang ambil peduli — di mana fleksibiliti dan kesejahteraan dihargai — produktiviti akan meningkat. Melalui inisiatif seperti LIFE AT WORK dan Aturan Kerja Fleksibel oleh TalentCorp, kita sedang membina ekonomi yang membolehkan setiap rakyat Malaysia menyumbang secara bermakna,” ujar beliau.

YB Steven Sim turut berkongsi bahawa lebih 900,000 pekerja telah mendapat manfaat daripada pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) di bawah inisiatif TalentCorp. Hasilnya, majikan melaporkan peningkatan produktiviti, penglibatan pekerja yang lebih kukuh serta kadar keluar masuk tenaga kerja yang lebih rendah — membuktikan bahawa produktiviti meningkat apabila pekerja diberikan kepercayaan dan sokongan.

Beliau turut berkata bahawa reformasi dasar tenaga kerja di bawah KESUMA, termasuk pindaan kepada Akta Kerja 1955 membolehkan permohonan AKF dibuat secara rasmi, pemberian insentif cukai khas untuk tempat kerja mesra penjagaan, serta inisiatif bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja, mencerminkan misi lebih besar Malaysia untuk membina ekonomi yang menghargai pertumbuhan dan nilai kemanusiaan.

Pengerusi TalentCorp, YB Wong Shu Qi, menyampaikan ucapan aluan

Pengerusi TalentCorp, YB Wong Shu Qi, menyifatkan Persidangan LAWA 2025 sebagai platform kolaboratif antara kerajaan, majikan dan tenaga kerja, bagi menterjemahkan dasar tenaga kerja nasional kepada tindakan sebenar di tempat kerja.

“Daya saing masa depan Malaysia bergantung kepada cara kita menghargai tenaga kerja kita. Apabila pekerja merasa disokong dan sejahtera dari segi mental, mereka kekal lebih lama dan bekerja dengan lebih baik. LAWA menghubungkan dasar nasional dengan amalan tempat kerja sebenar — membantu organisasi mengukuhkan nilai fleksibiliti, inklusiviti dan kepedulian dalam budaya kerja mereka,” katanya.

Lebih daripada 500 peserta menghadiri persidangan sehari ini, yang menampilkan sesi kepimpinan pemikiran oleh pemenang-pemenang Anugerah LIFE AT WORK sebelum ini. Perbincangan meliputi kepimpinan inklusif, neurodiversiti, reka bentuk tempat kerja, dan penggunaan digital untuk kesejahteraan pekerja, yang semuanya memperkukuh komitmen Malaysia terhadap tempat kerja yang mampan dan berpusat kepada insan.

Persidangan dan Anugerah LIFE AT WORK kini menjadi tonggak tahunan dalam agenda masa depan pekerjaan Malaysia, melengkapi langkah dasar kerajaan yang mengiktiraf majikan yang melabur dalam kesejahteraan pekerja dan amalan kerja progresif. Majlis Anugerah yang bakal diadakan hujung bulan ini akan mengiktiraf 33 majikan progresif dalam 13 kategori.

YB Menteri KESUMA bersama Para peserta Persidangan LAWA 2025

Melalui KESUMA dan TalentCorp, Kerajaan akan terus komited untuk:

  1. Menjadikan fleksibiliti dan kepedulian sebagai pemacu utama produktiviti dalam agenda tenaga kerja negara;
  2. Menggalakkan amalan tempat kerja inklusif melalui dasar dan sokongan fiskal; dan
  3. Membina ekosistem tenaga kerja masa depan yang selaras dengan nilai-nilai Malaysia MADANI — maruah, belas ihsan, dan kelestarian.

Untuk maklumat lanjut mengenai LIFE AT WORK 2025, sila layari  www.lifeatwork.my

Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad

15 Oktober 2025