Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Press Releases

curve

TALENTCORP DAN PERHEBAT TERUS PERKASA VETERAN ATM MELALUI KOHORT KEDUA

27 May 2025

Sesi libat urus bersama YB Adly bin Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan, yang turut disertai oleh Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp serta Encik Ramu Iyer, Naib Presiden, Micron Memory Malaysia.

PULAU PINANG, 27 MEI 2025 – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), agensi pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), meneruskan usaha memperkasa veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pelaksanaan kohort kedua inisiatif Veteran MyWira yang berlangsung hari ini di Micron Memory Malaysia.

Majlis turut menyaksikan kehadiran YB Adly Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan, yang buat kali pertama berinteraksi secara langsung dengan peserta kohort pertama dan kedua melalui Program Veteran MyWira. Beliau mengambil peluang untuk mendengar pengalaman para veteran dalam menyesuaikan diri ke alam pekerjaan awam selepas persaraan.

YB Adly turut menegaskan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan dalam menyokong inisiatif yang membuka peluang pekerjaan bermakna kepada veteran ATM dalam sektor masa depan.

“Dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia melalui TalentCorp, Kementerian Pertahanan menyokong penuh kerjasama strategik bersama Bahagian Perkhidmatan Anggota (BPA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dalam memetakan serta memperakui kemahiran anggota tentera. Penyelarasan tred dan lokasi dengan keperluan industri amat penting agar veteran dipadankan secara efektif dengan peluang kerjaya yang relevan — sekaligus memperkukuh tenaga kerja negara dan masa depan ekonomi Malaysia,” ujar beliau.

YB Adly bin Zahari, menyampaikan ucaptama semasa sesi libat urus bersama Veteran ATM menerusi program Veteran MyWira

Sesi libat urus Kohort kedua  bersama Timbalan Menteri Pertahanan ini dilaksanakan dengan kerjasama Micron Memory Malaysia, melibatkan seramai 24 veteran ATM yang memulakan latihan selama enam bulan pada Februari 2025 bagi persediaan dalam bidang teknikal dan penyeliaan. Secara keseluruhan, kohort pertama dan kedua telah menerima lebih 330 permohonan, dengan 133 calon telah ditemuduga, membuktikan iltizam tinggi para veteran untuk terus menyumbang kepada negara dalam peranan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew, menegaskan bahawa TalentCorp akan terus komited dalam menyokong usaha transisi kerjaya veteran ATM ke sektor swasta.

“Kami mengiktiraf pengalaman, disiplin dan kepimpinan yang dibawa oleh para veteran hasil perkhidmatan mereka, dan percaya kualiti ini amat berharga dalam pasaran pekerjaan masa kini. Menerusi program seperti Veteran MyWira, kami ingin mencipta laluan kerjaya yang bermakna untuk mereka terus menyumbang kepada negara dalam kapasiti baharu. Ini adalah cara kami menghargai pengorbanan mereka — dengan membantu membina kerjaya kedua yang stabil dan bermakna.”

Naib Presiden Korporat, Assembly & Test for NAND Operations, Encik Amarjit Sandhu, turut menyatakan komitmen syarikat dalam memperkasa bakat tempatan, “Di Micron, kami menyediakan ruang kerja yang menghargai setiap suara dan membina budaya ingin tahu. Dengan menyerap kemahiran unik para veteran ATM ke dalam industri semikonduktor, kami membina ekosistem bakat yang lebih tahan lasak dan bersedia untuk industri. Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk memastikan tiada pihak yang tercicir.”

YB Adly bin Zahari beramah mesra bersama En. Mohd Tarmizi, salah seorang peserta Veteran MyWira Kohort kedua

Program Veteran MyWira dilancarkan pada Januari 2024, merupakan sebuah inisiatif TalentCorp dan PERHEBAT yang menawarkan peluang kerjaya kedua serta latihan peningkatan kemahiran kepada veteran ATM, khususnya dalam sektor swasta dan bidang berasaskan kemahiran industri. Dengan lebih 300,000 veteran di Malaysia yang memiliki kemahiran boleh alih sesuai dengan keperluan Industri 4.0, program ini menempatkan mereka sebagai profesional berkemahiran tinggi yang bersedia menyumbang dalam sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor dan pembuatan termaju.

Dalam program perintis yang bermula pada September tahun lalu, seramai 25 veteran telah diterima bekerja sepenuh masa di Micron selepas menjalani latihan selama tiga bulan di Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) dan Walta Centre of Excellence (COE). Mereka kini berkhidmat sebagai juruteknik dan penyelia, menggunakan pengalaman dan kemahiran yang dimiliki dalam peranan baharu mereka.

Untuk maklumat lanjut, layari: www.talentcorp.com.my/veteranmywira

 

Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad

27 Mei 2025