MELAKA TERAJUI MASA DEPAN TEKNOLOGI & PENDIDIKAN: TVET & STEM DIPERKASA, KADAR PENGANGGURAN TERUS MENURUN
Yang Amat Berhomat, Ketua Menteri Melaka bersama-sama Pelajar Sekolah Melaka semasa YES! Rock The School Edisi Mega Melaka 2025
Melaka, 14 Ogos 2025 – Kerajaan Negeri Melaka terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkasa generasi muda apabila beberapa inisiatif besar pendidikan dan pembangunan modal insan diumumkan sempena Majlis Penutup Program YES! Rock The School Edisi Mega 2025 hari ini.
YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, dalam ucapannya berkata, negeri ini menyaksikan lonjakan ketara dalam prestasi akademik dan minat terhadap bidang teknikal apabila:
- Seramai 18 pelajar SPM 2024 memperoleh A+ penuh, meningkat lebih tiga kali ganda berbanding tahun lalu.
- Kemasukan ke institusi TVET meningkat hampir 40%, mencecah hampir 7,000 pelajar pada tahun 2025.
- Permohonan ke UTeM dalam bidang TVET melebihi 60,000, menunjukkan peningkatan ketara minat anak muda terhadap bidang teknikal.
- Melaka mencatat penyertaan tertinggi nasional dalam Malaysia Techlympics 2025, dengan lebih 450,000 penyertaan.
Dari sudut ekonomi, Melaka kini mula menuai hasil pelaburan berterusan dalam pendidikan apabila kadar pengangguran negeri terus menunjukkan penurunan ketara kepada hanya 1.9% pada suku pertama 2025 – jauh lebih rendah berbanding purata nasional iaitu 3.1%. Perkembangan ini dipacu oleh pertumbuhan pesat sektor industri yang kini melibatkan lebih 395 industri pembuatan, yang telah membuka lebih 400,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.
“Melaka sedang berada di landasan tepat – gabungan pendidikan berkualiti, peluang kerjaya dan dasar progresif,” tegas Ketua Menteri.
Program YES! Rock the School yang dianjurkan bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Pendidikan, dan TalentCorp berjaya menghimpunkan lebih 700 pelajar dari seluruh negara, sebagai platform untuk membimbing generasi muda mengenali potensi kerjaya dalam era ekonomi digital dan berteknologi tinggi.
Kira-kira 800 peserta menyertai YES! Rock The School Edisi Mega Melaka 2025
YBrs. Tuan Sutekno Ahmad Belon, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), KESUMA berkata bahawa dunia pekerjaan sedang berubah dengan pantas, dengan sesetengah peranan semakin pupus dan peranan baharu muncul setiap tahun. Melalui inisiatif seperti YES! Rock The School, KESUMA berhasrat membekalkan pelajar dengan kemahiran teknikal dan insaniah yang kekal relevan merentasi pelbagai industri.
Sementara itu, En. Mohd Khuzzan bin Abu Bakar, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp berkata, TalentCorp terus menyokong pembangunan bakat belia melalui penyediaan data pekerjaan kritikal serta unjuran kemahiran masa depan menerusi dapatan Senarai Pekerjaan Kritikal Malaysia (MyCOL) dan Kajian Impak MyMahir. Usaha ini bagi memastikan belia Melaka mampu mengisi peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang berkembang pesat di negeri ini.
Ketua Menteri turut menyeru agar semua anak muda Melaka bersiap sedia untuk berada di barisan hadapan industri masa depan serta diberi pendedahan yang luas berkaitan bidang STEM kepada generasi muda.
“Kita mahu melihat pelajar Melaka khususnya berada di barisan hadapan dalam sektor berteknologi tinggi, seperti mana Melaka dahulu menjadi pusat perdagangan yang disegani dunia.”
Tambah beliau lagi, program seperti YES! Rock the School memberikan pendedahan awal kepada pelajar tentang dunia kerjaya masa depan melalui input terus daripada pakar industri dalam bidang seperti AI, kejuruteraan, inovasi dan literasi kewangan sambil membina keyakinan diri menerusi interaksi secara langsung.
Untuk maklumat lanjut berhubung inisiatif ini, sila layari: www.talentcorp.com.my/rts/
Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad
14 Ogos 2025