Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Press Releases

curve

Malaysia Lancar Wanita MyWira Accelerator, Perkasa Lebih 100,000 Wanita Menjelang 2030

23 October 2025

KUALA LUMPUR, 23 Oktober 2025 – Malaysia telah mengambil langkah kehadapan ke arah merapatkan jurang gender dalam tenaga kerja melalui pelancaran Wanita MyWira Accelerator, sebuah inisiatif nasional yang dirangka untuk memperkasa sekurang-kurangnya 100,000 wanita dengan kemahiran dan peluang berimpak tinggi menjelang 2030 dan seterusnya.

 

Program ini diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui agensi dan badan pemikir strategiknya, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), dengan kerjasama Forum Ekonomi Dunia (Forum). Inisiatif ini juga menandakan penyertaan rasmi Malaysia dalam Rangkaian Forum Global Gender Parity Accelerator, menjadikan Malaysia negara ASEAN pertama yang menyertai platform global ini yang didedikasikan untuk memperkasa penyertaan ekonomi wanita.

 

Untuk tahun pertama, program ini akan melatih 1,000 wanita dibawah pengiktirafan MyMahir di bawah TalentCorp, dengan sasaran kadar penempatan pekerjaan sebanyak 80% dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan. Program ini disokong oleh model pelaburan bersama bernilai RM15 juta, dan melibatkan 1,000 syarikat yang komited untuk melaksanakan amalan kerja fleksibel, menyediakan peluang returnship kepada wanita yang pernah meninggalkan kerjaya, serta mengutamakan pengambilan graduan wanita terlatih.

 

Dalam jangka panjang, inisiatif ini menyasarkan untuk memperkasa lebih 100,000 wanita menjelang tahun 2030, seiring dengan hasrat Malaysia untuk meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita dan membina tenaga kerja yang inklusif dan bersedia untuk masa hadapan.

 

Berucap semasa pelancaran, YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia (KESUMA) menyatakan bahawa inisiatif ini mencerminkan komitmen negara terhadap aspirasi dan agenda keterangkuman. Beliau menyebut bahawa KESUMA melalui TalentCorp sedang melatih wanita Malaysia untuk menyertai sektor masa hadapan berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh diperbaharui, agar bakat mereka sejajar dengan keperluan ekonomi masa hadapan.

 

 

Data terkini menunjukkan jurang gaji antara gender telah menyusut secara ketara, dengan perbezaan median turun daripada RM211 pada tahun 2023 kepada hanya RM18 pada Mac 2025; sementara hampir separuh syarikat tersenarai awam di Malaysia kini mempunyai lebih 30% pengarah wanita pada 1 Oktober 2025.

 

YB Steven turut menyatakan bahawa KESUMA telah memperkenalkan beberapa dasar untuk menyokong keluarga bekerja, termasuk hak kepada Aturan Kerja Fleksibel (AKF), potongan cukai sehingga RM500,000 untuk majikan yang melaksanakan AKF, dan potongan cukai 50% bagi cuti bergaji untuk penjagaan. Belanjawan 2026 juga memperluaskan pelepasan cukai penjagaan anak kepada kanak-kanak berumur enam hingga dua belas tahun.

 

“Melalui Wanita MyWira Accelerator, Kerajaan berhasrat untuk menghapuskan halangan kepada penyertaan wanita dalam tenaga kerja dengan menawarkan latihan untuk pekerjaan fleksibel, mempromosikan tempat kerja yang mesra keluarga dan penjagaan, serta meningkatkan kadar penyertaan wanita, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

 

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata bahawa inisiatif ini mencerminkan keyakinan Malaysia bahawa apabila wanita berjaya, negara turut berjaya.

 

“Menerusi Wanita MyWira, bersama KESUMA dan TalentCorp, kita sedang membina laluan sebenar untuk wanita mendapatkan pekerjaan bermaruah dan menyumbang sepenuhnya dalam ekonomi Malaysia. Usaha ini memperkukuh ekosistem nasional untuk pemerkasaan wanita, selaras dengan Dasar Wanita Negara 2025–2030 dan visi MADANI yang berteraskan kasih sayang dan kemakmuran bersama,” ujarnya.

 

Kadar penyertaan tenaga kerja wanita Malaysia kini berada pada paras 56.2%, masih di bawah sasaran nasional 60% menjelang 2030, dan sedikit melebihi purata ASEAN iaitu 55%. Laporan Jurang Gender Global 2025 Forum Ekonomi Dunia meletakkan Malaysia di kedudukan 108 daripada 146 negara, meningkat berbanding tahun sebelumnya namun menunjukkan masih banyak perlu dilakukan untuk merapatkan jurang penyertaan ekonomi wanita.

 

Wanita MyWira Accelerator secara langsung menangani halangan ini melalui latihan tersasar, kerjasama dengan majikan dan pelaksanaan dasar tempat kerja yang mesra penjagaan anak untuk menjadikan penyertaan wanita lebih mudah diakses.

 

“Berdasarkan unjuran semasa, dijangkakan Asia Timur memerlukan 179 tahun untuk mmerapatkan jurang gender, sedangkan rantau ini memerlukan lebih banyak bakat dan kemahiran dalam sektor pertumbuhan tinggi. Wanita MyWira Accelerator Malaysia menawarkan jalan berbeza ke hadapan,” kata Saadia Zahidi, Pengarah Urusan Forum Ekonomi Dunia.

 

“Dengan memberi fokus kepada akses wanita terhadap peluang dalam sektor AI, digital, dan ekonomi hijau — di mana pertumbuhan dan permintaan paling tinggi — inisiatif ini menangani transformasi tenaga kerja dan kesaksamaan gender secara serentak. Pemerkasaan wanita dalam sektor berimpak tinggi ini akan meningkatkan daya tahan dan pertumbuhan Malaysia pada masa akan datang, serta menjadi asas kepada masa depan yang lebih saksama. Ia juga berpotensi menjadi kajian kes dan amalan terbaik untuk rantau ini,” tambahnya.

 

Malaysia kini menyertai Rangkaian Forum Accelerator Global yang telah ditubuhkan di lebih 35 negara. Accelerator ini merupakan platform kerjasama awam–swasta peringkat nasional yang membantu kerajaan dan sektor swasta menangani cabaran global. Negara yang turut serta termasuk Jepun, Chile, Colombia, Mesir, dan Mexico, yang telah melaksanakan reformasi seperti pelaporan jurang gaji gender, cuti ibu bapa yang diperluaskan dan program returnship.

 

 

Halatuju strategik Accelerator ini akan dibimbing oleh oleh Pengerusi Bersama dari sektor awam yang diwakili oleh YB Steven Sim Chee Keong dan YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri; serta dari sektor swasta yang diwakili oleh Yang Amat Mulia Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Tunku Besar Seri Menanti dan Pengerusi dan Pemegang Amanah Pengasas Teach For Malaysia; Ms Aireen Omar, CEO Kumpulan, BigPay, Dr Jasmine Begum, Pengarah Perundangan, Kerajaan dan Hal Ehwal Korporat – ASEAN dan Pasaran Baharu, Microsoft Corporation, Ms Nurul A’in Abdul Latif, Pengerusi Eksekutif, PwC Malaysia, dan Ms Anne Abraham, Pengasas dan Pengerusi LeadWomen.

 

Pelaksanaan inisiatif ini akan diterajui oleh TalentCorp, dengan sokongan kementerian yang berkaitan dan Forum.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai Wanita MyWira Accelerator, sila e-mel: women@talentcorp.com.my