Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Press Releases

curve

LAWA 2025 Buka 3 Kategori Baharu-Sekolah, Universiti Serta Organisasi Yang Membawa Perubahan Sempena Ulang Tahun ke-10

03 June 2025

Sesi Fireside Chat bertajuk “Menyeimbangkan Produktiviti dalam Dunia Teknologi” yang dikendalikan oleh Datuk Jake Abdullah, Ahli TalentCorp Felo 50, bersama barisan panel iaitu Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp; Adrita Datta, Ketua Sumber Manusia Kluster Malaysia & Singapura, British American Tobacco; dan Wai Yu See Toh, Ketua Pegawai Eksekutif, Central Force International.

KUALA LUMPUR, 3 JUN 2025 – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), hari ini melancarkan Anugerah Life at Work 2025 (LAWA 2025) bagi mengiktiraf majikan dan institusi yang cemerlang dalam memperjuangkan amalan tempat kerja progresif, mampan, keterangkuman serta pembangunan bakat di Malaysia.

Edisi tahun 2025 Anugerah LIFE AT WORK (LAWA) menandakan satu pencapaian penting sempena sambutan ulang tahun ke-10 penganjurannya, dengan tema “Memacu Inklusiviti, Memperkasa Kelestarian”.

Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, YB Wong Shu Qi, telah mengumumkan tiga kategori anugerah baharu menerusi ucapan pembukaanya. “LAWA 2025 bertujuan untuk mendorong perubahan bukan sahaja dengan mengiktiraf usaha kemampanan dan keterangkuman dalam industri, malah anugerah ini turut diperluaskan dengan memberi pengiktirafan kepada sekolah dan universiti. Sehubungan itu, LAWA 2025 memperkenalkan dua anugerah baharu untuk institusi akademik, bagi menyerlahkan peranan mereka dalam membentuk pelajar sebagai bakat masa depan,” katanya.

YB Puan Wong Shu Qi, menyampaikan ucaptama semasa sesi pelancaran LAWA 2025

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew berkata, sejak LAWA diperkenalkan pada tahun 2013, ia mempunyai fokus yang jelas – iaitu menyokong serta memacu majikan dalam mengamalkan nilai kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI) sebagai sebahagian daripada evolusi organisasi mereka.

“TalentCorp amat menggalakkan syarikat dan organisasi untuk mengamalkan prinsip keseimbangan kehidupan bekerja di tempat kerja. Kami percaya bahawa melalui amalan ini, kesejahteraan tenaga kerja dapat dipertingkat, kualiti kerja diperbaiki, produktiviti diperkasa, serta memupuk budaya kerja yang positif, inklusif dan menyokong kepelbagaian secara berterusan.,” katanya.

Anugerah LAWA 2025 akan mengiktiraf majikan dalam 13 kategori dengan 33 anugerah yang akan diberikan termasuklah:

  1. Anugerah Organisasi Terbaik
  2. Juara CEO
  3. Juara CHRO
  4. Wanita di Tempat Kerja & Kepimpinan
  5. Graduan Muda
  6. Kebajikan & Kesejahteraan Pekerja
  7. Kelestarian Bakat
  8. Inovasi Tempat Kerja
  9. Tanggungjawab Sosial Korporat
  10. Kecemerlangan Digital & Teknologi
  11. Universiti & Kolej Masa Depan (Baharu)
  12. Sekolah Masa Depan (Baharu)
  13. Pemangkin Perubahan: NGO, NPO, MSME & Lain-lain (Baharu)

Sejak awal penubuhannya, LAWA telah menunjukkan perkembangan yang ketara. Pada tahun 2024, anugerah ini telah menunjukkan pencapaian yang memberansangkan dengan lebih 713 penyertaan menerusi lebih dari 200 organisasi.

Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp ketika sesi Fireside Chat bersama ahli panel yang lain

Penyertaan ini merangkumi pelbagai entiti, termasuklah perniagaan kecil dan sederhana (SME) dan organisasi awam. Menerusi proses penilaian yang terperinci, 38 anugerah telah disampaikan dalam 14 kategori, meraikan kecemerlangan dan komitmen dalam bidang utama seperti kemampanan, keterangkuman dan pembangunan bakat.

Penyertaan Anugerah LAWA 2025 terbuka kepada semua majikan di Malaysia bermula dari 20 Jun hingga 3 Ogos 2025. Tempoh penjurian akan berlangsung pada Ogos dan September 2025 dan pemenang akan diumumkan serta diraikan di Majlis Anugerah LAWA 2025 pada bulan Oktober, tahun ini.

Untuk maklumat lanjut dan menyertai LAWA 2025, sila layari www.lifeatwork.my

 

Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad

3 Jun 2025