Integrasi Xpats Gateway Permudah Kelulusan Ekspatriat, Kukuhkan Persekitaran Perniagaan Malaysia
YB Steven Sim Chee Keong, Menteri KESUMA (Tengah) bersama, dari kiri, Ketua Pegawai Eksekutif MEF, Encik Sheikh Farouk, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Encik Thomas Mathew, Timbalan Ketua Setiausaha KESUMA, Dr Mohd Shaharin, Ketua Pengarah Imigresen, Ybhg. Dato' Zakaria, Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr Norjayadi, dan Ketua Pegawai Eksekutif EuroCham, Encik Karl Godderis.
KUALA LUMPUR, 7 Julai 2025 – Malaysia telah melangkah setapak ke hadapan dalam pengurusan bakat ekspatriat dengan kejayaan integrasi keperluan pengambilan pekerja ekspatriat profesional – termasuk perakuan MYFutureJobs dan kelulusan ePPAx – ke dalam Xpats Gateway. Inisiatif ini mempermudah proses kelulusan bagi majikan serta memperkukuh tadbir urus digital negara.
Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim Chee Keong, mengumumkan perkembangan ini hari ini sambil menegaskan bahawa langkah ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk meningkatkan produktiviti, menambah baik keselarasan peraturan, dan memudahkan urusan perniagaan.
“Platform Xpats Gateway menghimpunkan jabatan dan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk menyediakan sistem yang lebih cekap dan mesra perniagaan,” kata YB Steven Sim Chee Keong. “Dengan memperkemas proses di PERKESO, JTKSM dan TalentCorp, kita memacu rekayasa penyampaian perkhidmatan kerajaan, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang kompetitif dan bersedia menerima pelaburan,” tambahnya.
Ketika sesi taklimat media tersebut, beliau turut memuji pencapaian TalentCorp yang membangunkan dan integrasi platform ini secara dalaman, mencerminkan kekuatan bakat sektor awam serta jaminan keselamatan data.
“Pengintegrasian platform ini yang dilaksakan oleh TalentCorp secara dalaman membuktikan keupayaan bakat dalam sektor awam negara, di samping memastikan data sensitif kekal dilindungi dan ditadbir urus sepenuhnya di dalam negara,” tambah beliau.
YB Steven Sim Chee Keong, Menteri KESUMA dan YBhg. Dato’ Zakaria bin Shaaban, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen semasa sesi Taklimat Media
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, YBhg. Dato’ Zakaria bin Shaaban turut menyatakan sokongan terhadap integrasi ini yang dijangka mempercepatkan masa pemprosesan dan membolehkan dokumentasi yang lebih telus serta berintegriti dalam kelulusan Pas Pekerjaan Ekspatriat di Malaysia.
“Kerjasama antara KDN melalui Jabatan Imigresen dan KESUMA ini mencerminkan pendekatan keseluruhan kerajaan untuk memperkukuh keyakinan pelabur, menjaga keselamatan negara dan mempertingkat ketelusan perkhidmatan awam,” katanya.
Memenuhi Keperluan Pematuhan Peraturan Utama
Dengan integrasi ini, majikan kini boleh memenuhi keperluan Akta Kerja seperti yang ditadbir oleh JTKSM dan mendapatkan surat pengesahan MYFutureJobs daripada PERKESO secara terus melalui Xpats Gateway. Proses ini merupakan langkah wajib bagi semua pengambilan ekspatriat, tanpa mengira sektor.
Pendigitalan & Penyelarasan Rentas Kerajaan
Xpats Gateway, yang dibangunkan oleh TalentCorp dan dilancarkan pada Jun 2023, merupakan platform sehenti yang memperkemas proses permohonan ekspatriat di Malaysia. Kini, ia menghimpunkan 26 agensi pelulus dan kawalselia rentas kerajaan. Pelaksanaan integrasi keperluan pematuhan pengambilan pekerja bukan warganegara di bawah MYFutureJobs dan ePPAx, yang bermula pada 1 Julai 2025, menandakan satu pencapaian penting ke arah mewujudkan ekosistem digital kelulusan ekspatriat yang menyeluruh.
Manfaat utama integrasi ini termasuk:
- Penghapusan proses berulang:
- Syarikat berdaftar ESD boleh mengurangkan pengisian data berulang sehingga 70%.
- Masa kelulusan yang dipendekkan:
- Tempoh pemprosesan untuk JTKSM dan MYFutureJobs dipendekkan kepada 10 hari bekerja bagi setiap permohonan.
- Permohonan boleh dilakukan serentak serta mempercepat keseluruhan proses dan meningkatkan kecekapan.
- Ketelusan dan pencegahan penipuan yang lebih baik:
- Piagam Pelanggan kini menetapkan garis masa lebih jelas dan majikan boleh menjejak status permohonan secara masa nyata.
- Semua data dan dokumen diambil terus dari sistem rasmi (seperti SSM, JTKSM, PERKESO), mengurangkan risiko pemalsuan dokumen.
YB Steven Sim Chee Keong delivers his keynote address during the Xpats Gateway Integration media briefing session.
Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama erat antara Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan TalentCorp di bawah KESUMA.
Pendekatan bersepadu Malaysia dalam kelulusan tenaga kerja telah mula menunjukkan hasil. Negara telah melonjak naik 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Kedudukan Daya Saing Dunia (WCR) Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) 2025, hasil peningkatan kecekapan perniagaan dan kesediaan digital. Xpats Gateway merupakan pemacu utama rangka kerja Ekonomi MADANI, yang menyasarkan Malaysia tersenarai dalam 12 ekonomi paling kompetitif di dunia menjelang 2033.
Untuk maklumat lanjut, layari: www.xpatsgateway.com.my.
Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad
7 Julai 2025