ASEAN GREEN SKILLS FAIR 2025: Malaysia Memacu Transformasi Tenaga Kerja Hijau ASEAN Melalui Kemahiran, Pekerjaan dan Inovasi
(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Thomas Mathew, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman bin Mohd Yusof dan Ketua Pertubuhan Keselamatan Sosial Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (PERKESO), Dato’ Haji Asri bin Ab Rahman.
PUTRAJAYA, 28 OGOS 2025 – Malaysia mengukuhkan lagi komitmennya dalam membangunkan tenaga kerja yang mampan dan bersedia untuk masa depan dengan pelancaran ASEAN Green Skills Fair 2025, yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui agensi dan badan pemikir strategiknya, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema “Inklusiviti dan Kelestarian”, Malaysia meletakkan aspek kemahiran, pekerjaan dan inovasi di pusat kerjasama serantau dengan menyepadukan kelestarian dalam pendidikan, latihan, dan pembangunan tenaga kerja.
Seiring dengan ekonomi ASEAN yang bergerak pantas ke arah peralihan hijau dan digital, ASEAN Green Skills Fair 2025 menjadi medan pertemuan serantau bagi kerjasama dalam pembangunan kemahiran, membolehkan bakat tempatan berkembang maju dalam dunia pekerjaan yang sedang berubah.
Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah memberi amaran bahawa menjelang tahun 2030, kira-kira 60% belia di seluruh dunia mungkin kekurangan kemahiran untuk menyertai ekonomi hijau. Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman bin Mohd Yusof, berkata Malaysia menangani cabaran ini dengan menghubungkan skim perantisan dan latihan industri bersama dalam sektor pekerjaan hijau, sekali gus memberi pendedahan awal kepada kemahiran masa depan dan menjadikan golongan belia sebagai generasi pertama tenaga kerja hijau.
Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman bin Mohd Yusof semasa ucapan pelancarannya
“Kerana itu, KESUMA melalui TalentCorp menganjurkan ASEAN Green Skills Fair. Ia merupakan platform di mana kerajaan, industri, penyedia latihan, dan pekerja berhimpun bagi menonjolkan kemahiran yang akan membentuk masa depan ASEAN seperti tenaga boleh diperbaharui, reka bentuk mampan, inovasi hijau, kecekapan tenaga, dan pengurusan sisa,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew, menekankan bahawa peranan TalentCorp adalah bekerjasama dengan kementerian serta rakan antarabangsa untuk memastikan kemahiran hijau disepadukan secara sistematik dalam latihan dan pendidikan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Talent Corporation Malaysia Berhad Encik Thomas Mathew semasa ucapan alu-aluannya
“Melalui ASEAN Green Skills Fair ini, strategi tidak lagi sekadar di atas kertas, tetapi diterjemah menjadi peluang. Inilah pentas yang menghimpunkan penggubal dasar, majikan, ahli akademik dan belia untuk belajar, berkongsi, dan membina masa depan bersama. Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, membuktikan bahawa kepimpinan bermaksud memastikan masa depan bukan hanya milik kita, tetapi milik seluruh rantau,” katanya.
ASEAN Green Skills Fair turut menyokong usaha berterusan KESUMA dalam usaha penubuhan ASEAN Green Jobs Regional Centre of Excellence (AGJCOE), yang bertujuan memacu pelaburan hijau, penciptaan pekerjaan, dan pembangunan kemahiran di seluruh rantau ini.
Penganjuran ASEAN Green Skills Fair 2025 juga selaras dengan Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan sasaran untuk mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050, sambil memperkukuh prinsip kelestarian dalam perancangan dan pembangunan tenaga kerja.
Pameran selama tiga hari ini dijangka menarik lebih 5,000 pengunjung, termasuk pelajar universiti, golongan pencari kerja, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pegawai kerajaan, penyedia latihan serta wakil delegasi ASEAN.
Peserta semasa Pameran Kemahiran Hijau ASEAN 2025
Peserta berpeluang meneroka inovasi terkini, laluan kerjaya, dan kerjasama yang membentuk ekonomi hijau ASEAN. Antara pameran termasuk kenderaan elektrik oleh BERMAZ, sistem hidroponik berkuasa solar, serta inisiatif kelestarian berasaskan komuniti.
Program turut menampilkan sesi panel bersama Siemens Energy, PETRONAS, PwC, MGTC dan PERKESO, serta bengkel hands-on mengenai kompos, pertanian bandar (edible gardening) dan upcycling kreatif, dibawakan oleh rakan komuniti seperti Biji-Biji Initiative dan Kaki DIY.
ASEAN Green Skills Fair 2025 menandakan satu langkah besar ke hadapan dalam melahirkan tenaga kerja ASEAN yang dilengkapi kemahiran hijau, memastikan rantau ini mampu menunaikan janji terhadap alam sekitar dan membuka peluang pekerjaan baharu untuk generasi akan datang.
Organisasi yang ingin menjadi sebahagian daripada usaha membina tenaga kerja hijau Malaysia diseru bekerjasama dengan TalentCorp, bagi mewujudkan jaringan yang menghubungkan bakat, industri dan pendidikan ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan.
Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad
29 Ogos 2025