"Banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan modal insan kita mempunyai kemahiran yang tepat sebagai nilai tambah dan bertindak kreatif, empati dan interaktif dalam landskap yang dipacu oleh teknologi. Ia juga penting kepada sektor awam dan swasta untuk bekerjasama dengan erat bagi memacu pembangunan ekosistem Industri 4.0 di Malaysia, yang membolehkan kita mengoptimumkan semua sumber bakat di kalangan graduan tempatan, diaspora Malaysia, bakat asing yang mahir, atau bakat rentan (latent talent) yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya, " tambahnya.
Bertemakan "Memperkasa Tenaga Kerja Malaysia, Memupuk Bakat untuk Masa Depan", dialog tersebut merupakan yang pertama yang dirancang sebagai satu siri pembabitan antara Kerajaan dengan komuniti perniagaan asing dan bermatlamat sebagai satu platform khusus bagi kedua-dua pihak menyumbangkan maklum balas dan idea untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan asing.
Dialog yang dihadiri oleh 30 perwakilan dari 20 dewan perniagaan asing, termasuk perwakilan daripada Japanese Chamber of Trade & Industry Malaysia (JACTIM), American Malaysian Chamber of Commerce (AMCHAM) dan EU-Malaysia Chamber of Commerce and Industry (EUMCCI). Ini juga mengulangi komitmen Kerajaan untuk membangunkan sebuah ekosistem modal insan yang seimbang dan dinamik yang mampu menarik pelabur utama ke negara ini untuk menjalin kerjasama, pembiayaan dan pembinaan kapasiti untuk masa depan pekerjaan. Bagi memperkemas proses pengendalian tenaga kerja ekspatriat, kerjasama tiga pihak telah ditubuhkan antara Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan TalentCorp yang membawa kepada penubuhan Pusat Perkhidmatan Ekspatriat Malaysia (MYXpats Centre). Dengan menyediakan khidmat imigresen bagi para ekspatriat yang cepat, cekap dan berorientasikan pelanggan, MYXpats Center membantu memudahkan lagi urusan untuk menjalankan perniagaan di Malaysia dengan membolehkan syarikat dan pelabur menarik pekerja yang mereka perlukan untuk mengembangkan perniagaan.
"Sejajar dengan peralihan Malaysia ke arah globalisasi, adalah amat penting untuk mempunyai pelbagai kumpulan tenaga kerja tempatan dan global yang mahir dalam menangani keperluan industri yang pesat berkembang. Saya percaya adalah penting untuk memansuhkan beberapa syarat visa pekerjaan yang memberi kekangan ke atas ekspatriat, yang telah terbukti menjadi penghalang kepada syarikat-syarikat untuk memperoleh kemahiran yang mereka perlukan bagi mengembangkan perniagaan," menurut Menteri Sumber Manusia, YB M. Kula Segaran yang menjadi hos dialog tersebut.
Bagi menyokong usaha Kerajaan untuk meningkatkan imej Malaysia sebagai "pilihan utama" bagi pelabur asing, YB M. Kula menambah bahawa Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan membentangkan beberapa pindaan yang dicadangkan sebagai pembaharuan kepada pasaran buruh dan meningkatkan kecekapan serta produktiviti pekerja, selaras dengan bidang keutamaan yang diketengahkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11). Pindaan yang dicadangkan itu termasuk antara lain, meningkatkan perlindungan keseluruhan kepada para pekerja, meningkatkan produktiviti, mengurangkan waktu bekerja, dan mematuhi piawaian buruh antarabangsa.
"Perbincangan meja bulat ini adalah perhimpunan terbesar di kalangan ahli-ahli dewan perniagaan antarabangsa dalam dialog dengan Perdana Menteri sehingga kini, dengan 20 dewan perniagaan asing dari seluruh dunia berkongsi aspirasi untuk memperkayakan pelaburan mereka di negara ini serta memastikan pertumbuhan dan potensi modal insan Malaysia akan memberi manfaat kepada semua pihak", kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Sivakumeren A Narayanan semasa dialog tertutup.
Beliau seterusnya berkata bahawa untuk memperkukuh nilai penawaran Malaysia kepada bakal pelabur, TalentCorp bekerjasama dengan Kerajaan, industri dan institusi pengajian untuk membangunkan asas tenaga kerja kelas pertama. Ini dilaksanakan dengan meningkatkan bekalan tenaga kerja Malaysia bagi memastikan para graduan dan tenaga kerja baharu diperlengkapkan dengan kemahiran yang tepat yang diperlukan oleh industri, menggalakkan kepelbagaian dalam tenaga kerja dengan mengoptimumkan pelbagai sumber tenaga kerja Malaysia ke arah mewujudkan tenaga kerja yang lebih terangkum dan berkelayakan; dan memudahcara mobiliti tenaga kerja dengan memanfaatkan set kemahiran warga Malaysia yang belajar atau bekerja di luar negara, serta tenaga kerja ekspatriat yang berkemahiran tinggi di negara ini.
Sebagai sebuah agensi di bawah KSM, TalentCorp berfungsi untuk menarik, memupuk dan mengekalkan tenaga kerja terbaik dan tepat untuk merangsang pencapaian Malaysia ke arah status negara maju. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif TalentCorp yang dilaksanakan dengan kerjasama sektor awam dan swasta, sila layari: www.talentcorp.com.my/our-work/employer-partner.
DIKELUARKAN OLEH TALENTCORP
1 Ogos 2019
Kindly contact our Press Office team through email.
Please note that these contact details are strictly for journalist enquiries only.