SEARCH
'VETERAN MyWIRA' TalentCorp membuka Laluan Kerjaya Pasca Persaraan Mampan Serta Meningkatkan Kemahiran Veteran ATM

YB Steven Sim Chee Keong dan YB Adly bin Zahari semasa pelancaran Program Veteran MyWIRA bersama dari kiri, Mejar Jeneral Dato' Azhan Bin Haji Md Othman (AKSPA), Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Dato' Hajah Norison, Timbalan Ketua Setiausaha KSM, Datin Roszanina. Timbalan Ketua Setiausaha MINDEF, Kapten Mohd Radzi, Pemangku Ketua Pengarah PERHEBAT, dan En Ramu Iyer, Naib Presiden, Micron Memory.

BAYAN BARU, 22 Januari – Dalam usaha untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi dan memastikan persaraan yang bermaruah veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), yang menggalas mandat dalam memperkukuh ekosistem bakat Malaysia telah menjalinkan hubungan kerjasama dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (PERHEBAT), yang bertanggungjawab sebagai penggerak kerjaya kedua untuk veteran ATM.

Inisiatif yang digelar Veteran MyWIRA itu akan menumpukan kemahiran dan pekerjaan yang dipacu industri dalam sektor swasta. Sebagai projek perintis, Micron Memory Malaysia Sdn. Bhd. (Micron), sebuah syarikat yang meneraju ekosistem semikonduktor Malaysia turut memberikan kerjasama dan akan memanfaatkan kemahiran unik veteran ATM untuk mengisi kekosongan jawatan dalam pasaran kerja.

Inisiatif Veteran MyWIRA ini merupakan kerjasama pertama rentas agensi antara TalentCorp di bawah Kementerian Sumber Manusia bersama PERHEBAT di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia. Majlis pelancaran yang diadakan di Pulau Pinang itu turut menyaksikan himpunan lebih 650 tetamu jemputan termasuklah pelatih ATM PERHEBAT, veteran ATM serta pemain Industri.


YB Steven Sim Chee Keong, menyampaikan ucapan perasmian pelancaran 'Veteran MyWIRA' 


Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif Veteran MyWIRA sejajar dengan prinsip pekerjaan yang bermakna dalam kerangka ekonomi MADANI. Selain itu, ia selaras dengan tiga tunjang asas yang telah beliau terapkan dalam kementerian, iaitu, memperkukuh kebajikan pekerja, meningkatkan kemahiran, dan meningkatkan produktiviti tenaga kerja.

"Veteran ATM kita memiliki kepakaran berharga dengan kemahiran khusus dan terpakai serta-merta yang diperlukan dalam sektor seperti E&E dan aeronautik," katanya semasa majlis pelancaran tersebut. "Gaya hidup mereka yang tersusun dalam ketenteraan telah menanamkan tahap disiplin yang tinggi, profesionalisme dan komitmen yang tinggi dalam diri mereka – yang merupakan antara kualiti yang sangat dicari oleh majikan."

“Melalui Program Veteran MyWIRA, veteran ATM akan dapat meningkatkan kemahiran mereka selaras dengan permintaan pasaran pekerjaan dan peralihan bagi penyesuaian dalam sektor swasta. Inisiatif ini memperkasa mereka untuk membuat sumbangan besar kepada ekonomi negara, meningkatkan kebolehpasaran mereka, dan meningkatkan kualiti hidup mereka secara keseluruhan. Pada terasnya, pendekatan ini merangkumi prinsip memastikan 'no one gets left behind'," tambahnya.

Pertukaran MOU Antara Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp Dan Kapten Mohd Radzi, Pemangku Ketua Pengarah PERHEBAT, disaksikan Oleh Menteri Sumber Manusia dan Timbalan Menteri Pertahanan.


Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari turut menekankan kepentingan inisiatif rentas kementerian yang diterjemahkan dalam inisiatif Veteran MyWIRA.

“Veteran MyWIRA boleh memberi impak yang cukup bermakna dalam kehidupan pesara tentera dan wanita serta memperkasakan mereka untuk mengharungi cabaran persaraan dengan bermaruah dan berdaya tahan,” katanya.

Berdasarkan data pentadbiran PERHEBAT, dianggarkan seramai 5,000 hingga 6,000 anggota ATM bersara setiap tahun. Sehingga Mei 2023, Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) melaporkan seramai 42,745 veteran ATM berumur 50 tahun ke bawah.

Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat TalentCorp berkata bahawa Veteran MyWIRA akan memanfaatkan inisiatif sedia ada TalentCorp termasuk mynext TVET dan Future Skills Talent Council dengan kerjasama pihak industri berkepentingan.

“Pendekatan berstruktur ini melibatkan pemprofilan dan peningkatan kemahiran veteran ATM Negara, memastikan mereka boleh menyumbang secara bermakna kepada tenaga kerja serta mewujudkan kepelbagaian dalam tenaga kerja sektor swasta,” katanya.


Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia (tengah) bersama YB Adly Zahari, dan semua Veteran ATM


Program perintis veteran MyWIRA dengan kerjasama Micron akan menyediakan latihan sambil bekerja untuk veteran ATM mulai Mac 2024, dengan penglibatan seramai 25 hingga 50 orang calon yang terpilih untuk ditawarkan pekerjaan dari Micron.

Amarjit Sandhu, Naib Presiden Korporat, Pengumpulan & Ujian Operasi NAND Micron Technology berkata, “Kami teruja untuk bekerjasama dengan TalentCorp dalam program berkerjaya semula untuk veteran Negara untuk membantu meningkatkan sosio-ekonomi komuniti setempat. Micron mencipta peluang yang sama bagi semua orang untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerjanya, dan dengan memanfaatkan kekuatan unik, pandangan serta pengalaman veteran ATM, Micron mencipta peluang untuk pertumbuhan, inovasi dan kejayaan."

Dalam masa yang sama, TalentCorp telah bekerjasama dengan pusat latihan negeri, termasuk Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC), Penang Skills Development Centre (PSDC), Johor Skills Development Centre dan Kedah Industrial Skills and Management Development Centre (KISMEC). Dengan kerjasama ini, rakan industri mereka akan mengambil bahagian dalam program perintis ini yang menawarkan sebanyak 500 peluang pekerjaan. Inisiatif ini mempunyai potensi untuk diperluaskan kerana dalam tempoh tiga tahun akan datang terdapat permintaan sehingga 50,000 pekerja separuh mahir dan mahir dalam industri untuk sektor Elektrik dan Elektronik (E&E).

Untuk makluman lanjut, sila layari www.talentcorp.com.my/veteranmywira.

Issued by Talent Corporation Malaysia Berhad

22 Januari 2024

IN THIS SECTION:

HAVE A MEDIA ENQUIRY?

Kindly contact our Press Office team through email.

Please note that these contact details are strictly for journalist enquiries only. 


share this page:
Ooops!
Generic Popup