SEARCH
TalentCorp Menerajui Persediaan Malaysia Untuk Pekerjaan Masa Depan

TalentCorp lancarkan platform memprofil modal insan dan rangka kerja tindakan untuk pekerjaan masa depan

KUALA LUMPUR, 20 November 2017 - Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) hari ini melancarkan dua inisiatif baharu sebagai respons kepada cabaran dan peluang daripada Revolusi Perindustrian Keempat (Industry 4.0) terhadap struktur pekerjaan, lokasi dan tenaga kerja.

Inisiatif pertama iaitu Nurturing Expert Talent (NEXT), merupakan platform analisis modal insan peringkat nasional yang mampu memperoleh dan menganalisis data berkaitan kualiti dan keupayaan tenaga kerja Malaysia bagi memenuhi permintaan pasaran yang pesat berkembang. NEXT berperanan sebagai penghubung utama antara pendidikan, majikan, dan kebolehpasaran, serta menawarkan maklum balas dalam membantu modal insan mengenal pasti kekuatan, minat dan pilihan kerjaya yang paling bersesuaian dengan set kemahiran mereka.

Inisiatif kedua merupakan laporan yang menggariskan lima syor utama bagi membolehkan tenaga kerja Malaysia bersedia untuk menghadapi masa depan. Laporan Visioning Malaysia’s Future of Work: A Framework for Action mencadangkan pewujudan ekosistem modal insan yang mantap; meningkatkan kemahiran dan keupayaan tenaga kerja; pembaharuan dasar tenaga kerja dan modal insan; menggunakan data untuk meningkatkan penyelarasan dasar modal insan; dan membangunkan Pelan Tindakan Pekerjaan Masa Depan Kebangsaan.

Datuk Seri Panglima Abdul Rahman bin Dahlan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, merasmikan kedua-dua inisiatif tersebut di persidangan Future of Work, Workplace, Workforce Conference yang dianjurkan oleh TalentCorp. Beliau menyatakan bahawa modal insan merupakan elemen penting dalam pertumbuhan ekonomi dan perniagaan, daya saing, serta inovasi. "Permintaan persekitaran global kini semakin berubah-ubah. Oleh itu, usaha bagi memastikan kemakmuran berterusan di Malaysia memerlukan pendekatan baharu dalam memanfaatkan semua sumber tenaga kerja dan ke arah menjamin masa depan modal insan kita," beliau berkata dalam ucap utama.

Mengenal pasti impak Industry 4.0 yang mengubah bentuk pekerjaan di seluruh sektor, geografi dan semua peringkat organisasi, laporan Visioning Malaysia’s Future of Work: A Framework for Action dan NEXT direka bentuk dengan mengambil kira kesan pekerjaan masa depan terhadap tenaga kerja Malaysia. Ianya juga berfungsi untuk menyeru semua pihak berkepentingan yang berkaitan dalam memastikan agar golongan pekerja generasi akan datang bersedia untuk masa depan. Walaupun Industry 4.0 menyaksikan lebih banyak pekerja digantikan oleh automasi, robot dan kecerdasan buatan, ianya juga berpotensi untuk mewujudkan pekerjaan baharu, meningkatkan tahap pendapatan dan meningkatkan kualiti hidup.

"Untuk berkembang maju, kita perlu menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, satu elemen penting yang akan menyokong keupayaan kita untuk berkembang maju bersama dengan masa depan pekerjaan. Demi mencapai matlamat pembangunan ekonomi negara, keupayaan tenaga kerja untuk menyesuaikan diri dan memenuhi permintaan yang meningkat terhadap kebolehan mahir yang berkualiti adalah amat penting," menurut Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Shareen Shariza Dato' Abdul Ghani.

Persidangan Masa Depan Pekerjaan, Tempat dan Tenaga Kerja

Persidangan Future of Work, Workplace, Workforce Conference menampilkan Andrew McAfee, Pengasas Bersama dan Pengarah Bersama Inisiatif MIT mengenai Ekonomi Digital, dan Sir Ken Robinson, pakar pendidikan dan kreativiti, sebagai penceramah-penceramah utama. Persidangan ini merupakan perkongsian strategik di antara TalentCorp dengan Maybank, bersama-sama CXS, IBM Malaysia dan Microsoft Malaysia sebagai rakan teknologi, dan membincangkan bidang pekerjaan, tempat dan tenaga kerja negara yang berkembang pesat. Persidangan ini dibahagikan kepada tiga sesi berasingan.

Sesi `The Disappearing Office’ membincangkan inovasi tempat kerja seperti bekerja di luar pejabat dan tele persidangan dan bagaimana ianya mengubah persekitaran kerja hari ini. Manakala sesi `Making Disruption Work’ memberi tumpuan kepada inovasi teknologi dan pemerkasaan pekerja, dan bagaimana ianya dapat membentuk tenaga kerja yang lebih terangkum pada masa depan, berikutan meningkatnya ekonomi perkongsian dan kolaboratif.

Satu sesi lagi, 'The Next Gen by Microsoft Malaysia', menampilkan empat kanak-kanak Gen Z yang memberi impak kepada komuniti mereka melalui teknologi. Sesi ini juga memberi pemahaman tentang faktor-faktor yang mendorong modal insan generasi akan datang, kerana mereka akan mempunyai pengaruh yang lebih besar terhadap perubahan yang bakal dihadapi oleh organisasi-organisasi di seluruh negara.

Malaysia kini berada di titik perubahan kritikal yang akan membentuk pekerjaan masa depan negara

Memandangkan jangka hayat kemahiran hari ini semakin berkurangan dengan kepesatan perubahan yang dibawa oleh Industry 4.0, TalentCorp berusaha untuk memastikan agar tenaga kerja Malaysia bersedia menghadapi pekerjaan masa depan.

Untuk tujuan ini, Talent Compact 4.0, satu panel penasihat industri yang terdiri daripada 10 pakar yang mewakili industri utama dan sedang membangun di Malaysia, baru-baru ini ditubuhkan untuk menangani keperluan strategi modal insan yang dipertingkatkan untuk pekerjaan masa depan. Talent Compact 4.0 akan membantu dalam pembangunan Pelan Tindakan Masa Depan Pekerjaan Kebangsaan, memandangkan Malaysia kini berada di titik perubahan kritikal yang akan membentuk pekerjaan masa depan negara.

Untuk memuat turun versi penuh laporan Visioning Malaysia’s Future of Work: A Framework for Action, sila layari https://www.talentcorp.com.my/.


IN THIS SECTION:

HAVE A MEDIA ENQUIRY?

Kindly contact our Press Office team through email.

Please note that these contact details are strictly for journalist enquiries only. 


share this page:
Ooops!
Generic Popup