LABUAN, 11 Jun - Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui agensinya, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), berjaya menganjurkan program
Young Employable Students (YES!) We Are Ready 2023. Program ini diadakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL).
Lebih 400 orang pelajar menyertai program selama 3 hari tersebut yang dipenuhi dengan aktiviti untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, termasuk kesedaran tentang prospek kerjaya masa hadapan, penjenamaan peribadi melalui kemahiran utama komunikasi, serta kaedah penyelesaian masalah kreatif melalui pemikiran inovatif.
Dalam majlis penutup program itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia YB Tuan Ts. Mustapha Sakmud menyatakan penghargaan kepada TalentCorp atas usaha mereka dalam memperkukuh ekosistem bakat Malaysia melalui inisiatif yang bertujuan membina graduan yang sedia industri.
“Dalam ekonomi berasaskan pengetahuan hari ini, bakat merupakan kunci kejayaan. Melalui perkongsian strategik dan inisiatif yang disasarkan, TalentCorp berusaha untuk memastikan Malaysia mempunyai bakat yang diperlukan untuk bersaing dalam ekonomi global,” katanya.
Inisiatif YES! oleh TalentCorp merupakan kaedah intervensi proaktif untuk pelajar dari sekolah ke alam pekerjaan bagi meningkatkan ketersediaan dan kebolehpasaran graduan masa hadapan serta dilengkapi dengan kemahiran dalam permintaan oleh Majikan. Pada tahun 2023, inisiatif tersebut diperluas dengan melibatkan institusi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai langkah strategik untuk menangani isu ketidakpadanan pekerjaan dalam tenaga kerja.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew berkata Malaysia mempunyai tenaga kerja muda yang memenuhi keperluan pelabur, maka selaras dengan hasrat untuk mewujudkan tenaga kerja yang sejajar dengan keperluan itu, TalentCorp terus berusaha berkolaborasi dengan rakan industri, institusi pendidikan dan agensi Kerajaan.
“Mana-mana majikan yang berkepentingan dalam menentukan keperluan kemahiran serta menyediakan peluang latihan industri, mereka boleh mengemukakan permohonan melalui Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP) TalentCorp. Menerusi inisiatif ini, mereka boleh membina kumpulan bakat mereka, dan majikan yang layak boleh menerima manfaat daripada insentif potongan cukai berganda MySIP.”
Untuk maklumat lanjut tentang TalentCorp dan inisiatif untuk pelajar sekolah, graduan, profesional dan bakat global, sila layari
www.talentcorp.com.my