SEARCH
TalentCorp Memperkukuhkan Usaha Bagi Modal Insan Muda Pada 2018

Pada 2018, TalentCorp akan: 

KUALA LUMPUR, 23 January 2018 – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) akan mempergiatkan usaha bagi para belia di Malaysia menerusi program-program utama yang mengutamakan modal insan muda, seperti ‘Nurturing Expert Talent’ (NEXT), ‘MyAPEC YouthConnect’, ‘MyASEAN Internship’ dan ‘Scholarship Talent Attraction and Retention’ (STAR), pada 2018. 

NEXT merupakan platform analisis modal insan negara yang menilai kerjaya dan nilai peribadi, minat serta keutamaan individu menerusi sistem profil modal insan. Ia berupaya merangka satu pangkalan data bekalan tenaga kerja Malaysia bagi memenuhi permintaan pasaran yang kian berkembang. 

Dilancarkan pada November 2017, TalentCorp telah bekerjasama dengan beberapa universiti tempatan untuk melaksanakan NEXT, di mana Universiti Teknologi MARA (UiTM) kini mewajibkan program NEXT ke atas semua pelajarnya. Pada 2018, TalentCorp akan terus membangunkan hab modal insan negara melalui lebih banyak kerjasama dengan universiti di Malaysia untuk memperoleh dan menganalisis data mengenai kualiti dan keupayaan mahasiswa di Malaysia. 

"Modal insan muda (berusia antara 15 dan 24 tahun) merangkumi 17.9 peratus daripada tenaga kerja Malaysia. Sebagai pendokong masa depan negara, adalah penting bagi kita memupuk mereka dengan baik agar mereka mampu menangani jurang kemahiran kritikal dalam sektor-sektor ekonomi utama," kata Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Shareen Shariza Dato' Abdul Ghani. 

Menggalakkan Mobiliti Modal Insan 
Di samping NEXT, TalentCorp akan terus mempertingkatkan program ‘MyAPEC YouthConnect’, yang bermatlamat untuk menggalakkan mobiliti modal insan dalam kalangan belia melalui penempatan kerja selama 4-12 bulan di syarikat-syarikat terkemuka yang mempunyai cabang perniagaan di rantau APEC. 

"Kami berasa bangga kerana dapat menghubungkan modal insan muda dengan peluang yang ada, di dalam mahupun di luar negara, kerana kami yakin dengan mobiliti modal insan, yang akan menggalakkan perkongsian kemahiran dan mengimbangi aliran masuk modal insan dalam negara. Kami boleh memanfaatkan modal insan yang mempunyai pendedahan antarabangsa untuk menangani jurang kemahiran kritikal dalam sektor ekonomi utama," kata Shareen. 

Pada tahun ini, TalentCorp bercadang untuk mengadakan lebih banyak perkongsian dengan agensi kerajaan asing dan syarikat-syarikat yang mempunyai operasi di rantau APEC untuk memanfaatkan modal insan muda mereka dan membolehkan golongan muda Malaysia di luar negara bekerja dalam tempoh masa yang singkat. Strategi ini disokong melalui penyertaan TalentCorp dengan jayanya di ‘ASEAN 5 Job Fair’ di Busan, Korea pada Oktober lalu, melalui kerjasama julung kalinya dengan agensi kerajaan asing, Perkhidmatan Pembangunan Sumber Manusia Korea. TalentCorp memperkenalkan program ‘MyAPEC YouthConnect’ kepada para belia Korea, dan juga memudahcarakan penyertaan tiga syarikat Malaysia, iaitu AirAsia Berhad, Osram Opto Semiconductors (Malaysia) Sdn Bhd dan Tech Mahindra ICT Services (Malaysia) Sdn Bhd, ketika pesta kerjaya tersebut, yang menyaksikan kehadiran lebih daripada 600 pencari kerja. 

Satu lagi aspek mobiliti modal insan muda yang boleh dicapai adalah melalui program ‘MyASEAN Internship’, di mana mahasiswa Malaysia berpeluang untuk bekerja dengan majikan terkemuka di beberapa negara ASEAN. Program ‘MyASEAN Internship’ merupakan salah satu usaha TalentCorp untuk meningkatkan kesedaran kerjaya dan pendedahan industri bagi mahasiswa. 

TalentCorp bercadang untuk bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan lebih banyak syarikat di rantau ASEAN untuk menawarkan program ‘MyASEAN Internship’, serta menjalin kerjasama erat dengan entiti asing untuk membolehkan lebih ramai pelajar Malaysia menjalani latihan amali di negara-negara ASEAN. Pada pertengahan 2017, TalentCorp telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Kamar Dagang Dan Industri Indonesia (KADIN) untuk mempromosi dan melaksanakan program ‘MyASEAN Internship’ di kedua-dua negara tersebut. Sejak itu, TalentCorp telah mengadakan perbincangan bersama CIMB Niaga, Indonesia dan juga beberapa organisasi lain untuk menempatkan pelajar Malaysia di sana. 

Memastikan Negara Mendapat Pulangan Pelaburan Ke atas Pemegang Biasiswa 
TalentCorp juga melaksanakan program ‘Scholarship Talent Attraction and Retention’ (STAR), melalui kerjasama erat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk memastikan bahawa negara mendapat pulangan pelaburan ke atas para pemegang biasiswa JPA. Sejak 2011, sejumlah hampir 4,000 orang pemegang biasiswa JPA menjalani tempoh perkhidmatan mereka dalam sektor swasta di Malaysia. 

Kebanyakan pemegang biasiswa program STAR memperoleh gaji permulaan antara RM2,000 dan RM3,000 selepas tamat pengajian. Tiga sektor teratas yang mengambil pemegang biasiswa STAR ialah sektor pembuatan, perbankan dan kewangan, serta minyak, gas dan tenaga, dengan lima pekerjaan teratas merangkumi: eksekutif, jurutera, associate, pelatih eksekutif siswazah dan ahli farmasi berdaftar sementara. 

Bagi memberi pendedahan awal kepada pemegang biasiswa JPA melalui peluang kerjaya dan program STAR, TalentCorp sering bekerjasama dengan JPA untuk membolehkan syarikat-syarikat di Malaysia yang berdaftar sebagai majikan program STAR menyertai pameran kerjaya mini di luar negara anjuran JPA. Pameran terkini adalah pada November lalu, di mana TalentCorp menjemput tiga syarikat di Malaysia - Infineon Technologies (Kulim) Sdn Bhd, PERI Formwork Malaysia Sdn Bhd dan Upeca Aerotech Sdn Bhd - untuk mengambil bahagian dalam pameran kerjaya mini JPA di Jerman, yang dihadiri oleh lebih daripada 60 pemegang biasiswa berada pada tahun akhir yang belajar di negara tersebut. 

Untuk maklumat lanjut mengenai program TalentCorp untuk modal insan muda, sila layari www.talentcorp.com.my.

IN THIS SECTION:

HAVE A MEDIA ENQUIRY?

Kindly contact our Press Office team through email.

Please note that these contact details are strictly for journalist enquiries only. 


share this page:
Ooops!
Generic Popup