SEARCH
TalentCorp Membangunkan Bakat Masa Hadapan Melalui Geran Kebolehpasaran Graduan untuk Institusi Pengajian Tinggi

Yang Berusaha Tuan S. Sivakumar, Setiausaha Bahagian Dasar KSM, menyaksikan Encik Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat TalentCorp, menyerahkan Surat Hasrat Geran Kebolehpasaran Graduan mynext kepada Prof. Madya Dr. Che Rozid Mamat, Pengarah Pusat Kerjaya UTM.

JOHOR BAHRU, 26 September – Ke arah memupuk kumpulan bakat Malaysia yang bersedia untuk masa hadapan serta berdaya tahan, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) hari ini memperkenalkan sebuah inisiatif yang inovatif dan dipacu data iaitu Geran Dana Kebolehpasaran Graduan mynext untuk Institusi Pengajian Tinggi Awam Malaysia (IPTA).

Majlis pra pelancaran Inisiatif tersebut yang dirasmikan oleh Tuan S. Siva Kumar, Setiausaha Bahagian Dasar Kementerian Sumber Manusia bagi pihak YB Menteri Sumber Manusia telah diadakan sempena Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia (KSM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa PERSADA di Johor Bahru hari ini.

Dalam ucapan YB Tuan V. Sivakumar, Menteri Sumber Manusia yang dibacakan oleh Tuan S. Siva Kumar berkata, pelaburan sebanyak RM 2 juta oleh TalentCorp menunjukkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kebolehpasaran pelajar dan kesediaan pelajar untuk pekerjaan bagi menangani isu pengangguran dan ketidakpadanan kerjaya.

“Saya menyeru kepada semua Institusi Pengajian Tinggi Awam untuk merebut peluang ini untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan tempatan kita dengan matlamat untuk menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja MADANI yang mampan,” tambahnya.

Geran Dana Kebolehpasaran Graduan mynext oleh TalentCorp menyediakan dana kepada IPTA yang aktif dengan amaun maksimum sebanyak RM100,000 dalam tempoh tiga tahun untuk setiap institusi. Pembiayaan dana ini akan disediakan kepada institusi yang memenuhi model kriteria kerjasama yang memberikan impak maksimum kepada pelajar.

Semasa majlis pra Pelancaran tersebut, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang diwakili oleh Prof. Madya Dr Che Rozid Mamat, Pengarah Pusat Kerjaya UTM menjadi IPTA pertama yang menunjukkan komitmen terhadap Geran Dana Kebolehpasaran Graduan mynext yang akan memanfaatkan lebih 32,000 pelajar mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat TalentCorp, Encik Thomas Mathew berkata, matlamat utama pembiayaan dana ini adalah untuk menggalakkan pelajar menggunakan platform mynext TalentCorp sepenuhnya di mana menyediakan penilaian psikometrik, peluang latihan dan alat pembelajaran sepanjang hayat untuk pembangunan peribadi dan profesional pelajar.

“Geran Dana Kebolehpasaran Graduan mynext oleh TalentCorp mewakili pencapaian penting dalam usaha Malaysia untuk memupuk tenaga kerja yang mahir serta boleh beradaptasi dengan keadaan semasa dan akan datang. Ia juga berfungsi sebagai sumbangan kami kepada institusi yang mempunyai rancangan untuk menjalankan aktiviti untuk pelajar namun mempunyai sumber kewangan yang terhad untuk melaksanakannya," katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan Geran Dana Kebolehpasaran Graduan mynext oleh TalentCorp, sila layari laman sesawang www.talentcorp.com.my/mynextgeg.

Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad

26 September 2023

IN THIS SECTION:

HAVE A MEDIA ENQUIRY?

Kindly contact our Press Office team through email.

Please note that these contact details are strictly for journalist enquiries only. 


share this page:
Ooops!
Generic Popup