SEARCH
TalentCorp Melancarkan Penerbitan Laporan Industri-Akademia Berfokus Mengikut Sektor untuk Memperkukuh Pembangunan Tenaga Kerja Masa Depan Malaysia

YB Tuan V. Sivakumar, Menteri Sumber Manusia bersama Ybhg. Dato' Haji Amran Bin Haji Ahmad Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Manusia dan Encik Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp melancarkan Penerbitan Laporan Bengkel IAC Sektor Berfokus Bil 1.

KUALA LUMPUR, 7 Disember - Dalam usaha merapatkan jurang bekalan dan permintaan (Supply and Demand) terhadap bakat serta untuk memupuk tenaga kerja masa depan yang berkualiti tinggi, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) hari ini melancarkan Penerbitan Laporan Bengkel Kolaborasi Industri-Akademia (IAC) yang berfokus mengikut sektor.

Dalam majlis pelancaran itu, Menteri Sumber Manusia, YB Tuan V. Sivakumar memuji usaha TalentCorp yang menghimpunkan pemegang taruh berkepentingan dalam kalangan pemain industri utama dan akademia untuk menangani cabaran bakat serta mengenal pasti jalan penyelesaian melalui pertukaran idea, pandangan, dan pengalaman.

"Dapatan laporan Ini membolehkan Kerajaan untuk mengumpul perspektif yang pelbagai semasa membentuk dasar. Dapatan dari Laporan Bengkel IAC yang Berfokus kepada Sektor oleh TalentCorp adalah penting untuk membantu Kerajaan untuk memahami implikasi sesebuah polisi dan menggubal dasar yang lebih berkesan, praktikal, dan kondusif untuk merangsang pertumbuhan ekonomi," katanya.

Penerbitan ini turut menghimpunkan dapatan dari 10 bengkel IAC yang dilaksanakan oleh TalentCorp pada tahun 2022 dalam beberapa sektor termasuklah: Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), Pelancongan, Animasi & Permainan, Elektrik & Elektronik, Perubatan dan Penjagaan Kesihatan, Barang Pengguna Laris (FMCG), Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Bioteknologi, Logistik, dan Perkhidmatan dan Peralatan Minyak & Gas (OGSE).

YB Tuan V. Sivakumar, Menteri Sumber Manusia bersama Para Pemimpin Sumber Manusia.


Seramai 550 wakil dari industri, akademia, dan badan profesional telah menyertai siri bengkel tersebut, di mana setiap laporan daripada bengkel tersebut merangkumi gambaran sebenar sektor-sektor tersebut, cabaran terhadap bakat, kemahiran yang diperlukan, kajian kes, dan cadangan untuk masa hadapan.

Ketua Pegawai Kumpulan Syarikat TalentCorp, Encik Thomas Mathew, menyatakan bahawa motivasi untuk menangani kesenjangan bakat dalam ekosistem bakat Malaysia mendorong penciptaan 10 bengkel IAC awal.

"Laporan IAC ini merupakan dokumen rujukan bagi sesiapa yang ingin bekerjasama dengan Kerajaan, pemain industri, dan akademia dalam mencari penyelesaian isu bakat untuk negara. Di TalentCorp, kami telah mula menggunakan penemuan dan dapatan kajian untuk memastikan inisiatif baharu kami, seperti Pembentukkan Majlis Future Skills Talent Council yang berdasarkan sektor, secara strategik selaras dengan keperluan industri dan negara," katanya.

Encik Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, menyampaikan ucapan alu-aluan semasa majlis pelancaran.


YB Tuan V. Sivakumar juga merujuk kepada Majlis Future Skills Talent Council oleh TalentCorp sebagai strategi yang selaras dengan kenyataan YAB Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dimana pendekatan Kerajaan adalah untuk menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam pusat latihan kemahiran sebagai langkah penting untuk menyelaraskan kemahiran dan keupayaan tenaga kerja baharu yang mengikut keperluan industri.

Pelancaran tersebut telah diadakan semasa Majlis Makan Tengahari Pemimpin Sumber Manusia bersama YB Menteri Sumber Manusia dengan kehadiran lebih daripada 90 pemimpin Sumber Manusia. Turut hadir Dato' Haji Amran Bin Haji Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Antarabangsa, Kementerian Sumber Manusia.

Dalam acara itu, TalentCorp juga mengadakan sesi pertukaran Memorandum Persefahaman dengan Pertubuhan ASEAN Human Development Organisation (AHDO) bagi mengukuhkan rangkaian perhubungan agensi itu di peringkat serantau.

Untuk memuat turun salinan Laporan Bengkel IAC yang Berfokus kepada Sektor Jilid 1, sila layari www.talentcorp.com.my/resources/publications.

Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad

7 Disember 2023

IN THIS SECTION:

HAVE A MEDIA ENQUIRY?

Kindly contact our Press Office team through email.

Please note that these contact details are strictly for journalist enquiries only. 


share this page:
Ooops!
Generic Popup