SEARCH
TalentCorp Melancarkan Majlis Bakat Yang Dipacu Industri Bagi Menumpukan Pembangunan Bakat Yang Berkemahiran Dan Bersedia Untuk Masa Hadapan

YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Sumber Manusia dan Encik Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp bersama Ahli Majlis Future Skills Talent Council bagi Sektor E&E

KUALA LUMPUR, 1 Disember – Sebagai langkah yang signifikan dalam menangani isu bakat dan memperkukuh ekosistem bakat Malaysia, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) memperkenalkan Future Skills Talent Council (FSTC) sebagai inisiatif yang menggunakan pendekatan pacuan industri untuk memastikan bakat Negara memiliki kemahiran yang diperlukan untuk pekerjaan pada masa depan.

Dengan adanya FSTC, pemain industri memiliki peranan utama dalam mengenalpasti kemahiran yang diperlukan dalam permintaan yang berkembang bagi sektor masing-masing dan mendorong latihan yang diperlukan agar kemahiran bakat dapat ditingkatkan mengikut keperluan semasa dan akan datang.

TalentCorp berperanan dalam memacu dan memudahcara FSTC dengan melibatkan kerjasama berlandaskan kolaborasi sektor awam dan swasta, di mana agensi ini akan membawa rakan strategik seperti Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Institut Kebangsaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH), dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Sumber Manusia, semasa ucapan pelancaran menekankan kepentingan Negara memiliki tenaga kerja yang mahir, kreatif, serta boleh menyesuaikan diri untuk memenuhi keperluan masa depan.

YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Sumber Manusia menyampaikan ucaptama semasa Majlis Pelancaran Future Skills Talent Council


"Future Skills Talent Council TalentCorp akan menjadi kunci penyelesaian untuk cabaran bakat Malaysia, terutamanya isu pekerja dibawah kelayakkan atau ketidakpadanan bakat. Pemain industri merupakan pemacu utama untuk memiliki tenaga kerja yang kompetitif dan produktif," katanya.

"Ini akan memberi manfaat terutamanya kepada tenaga kerja daripada Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara dan memastikan penghasilan pekerjaan berpendaptan tinggi bagi mereka untuk menikmati taraf hidup yang lebih baik," tambahnya.

Negara seperti Singapura, India, New Zealand, Australia, dan Filipina telah merangkul pendekatan kemahiran berasaskan sektor untuk memperkukuh keupayaan tenaga kerja mereka dan memenuhi keperluan khusus industri yang berbeza. Pada masa yang sama, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menyokong pembentukan badan kemahiran mengikut sektor yang memberi fokus kepada bekalan dan permintaan kemahiran, serta mempromosi tadbir urus yang berkesan melalui usaha yang bersepadu.

Sebagai permulaan, FSTC TalentCorp bagi sektor Elektrik dan Elektronik (E&E) akan menjadi medan ujian bagi menyokong Rancangan Malaysia Ke-12 serta Pelan Induk Perindustrian Baru 2030. TalentCorp turut merancang utnuk memperkembangkan lagi Ahli Majlis FSTC ini dengan fokus kepada lebih banyak sektor, seperti ICT yang akan datang bagi mencipta tenaga kerja yang berkemahiran dan kompeten serta memberi impak positif kepada ekonomi negara.

Thomas Mathew, Ketua Pegawai Kumpulan TalentCorp menyifatkan bahawa inisiatif ini adalah tepat pada masanya sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi dan mencapai matlamat Ekonomi MADANI.

Encik Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, menyampaikan ucapan alu-aluan semasa majlis pelancaran.

"Malaysia mempunyai sumber bakat muda yang berpotensi bagi memenuhi keperluan pelabur. Melalui FSTC, industri akan dapat membentuk golongan bakat yang baharu serta melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk memacu industri," katanya.

"TalentCorp akan menyuntik inisiatif sedia ada seperti Senarai Pekerjaan Kritikal, National Skills Registry, mynext, Young Employable Students, dan YES! Rock the School, bagi menyokong sepenuhnya kewujudan majlis pelbagai sektor yang akan dibentuk nanti."

"Dengan ini, kami berharap TalentCorp dapat menyumbang kepada strategi pembangunan kemahiran yang menyeluruh, bersepadu, dan teratur, serta mempromosikan kerjasama antara kerajaan, industri, dan academia, bagi membina tenaga kerja yang produktif dan bersedia untuk masa depan," ujarnya.

Semasa acara pelancaran, TalentCorp turut merasmikan kerjasama dalam memacu FSTC dengan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pihak berkepentingan, termasuk JPK, JTM, NIOSH, PTPK, Microsoft Malaysia, Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC), Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC), Pusat Pembangunan Kemahiran Johor, Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kedah & Pengurusan (KISMEC), Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), PIKOM, dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

TalentCorp turut menyampaikan surat perlantikan FSTC kepada 19 wakil dari persatuan dan syarikat termasuk KISMEC, SHRDC, PSDC, Pusat Pembangunan Kemahiran Johor, MSIA, PIKOM, MDEC, Jabil Circuit, Flextronics Technology, Microsoft Malaysia, Micron Memory Malaysia, Denso Malaysia, NXP Malaysia, Motorola Solutions, JF Technology, QDOS Interconnect, Daikin Electronic Devices Malaysia, Inari Amertron, dan Bosch Rexroth.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif pembangunan negara oleh TalentCorp, sila layari www.talentcorp.com.my.

Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad

1 Disember 2023

IN THIS SECTION:

HAVE A MEDIA ENQUIRY?

Kindly contact our Press Office team through email.

Please note that these contact details are strictly for journalist enquiries only. 


share this page:
Ooops!
Generic Popup