Anugerah Life At Work 2017 saksikan lebih banyak organisasi tempatan laksana amalan keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih maju
KUALA LUMPUR, 20 November 2017 - Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) menyaksikan peningkatan bilangan organisasi di Malaysia yang melaksanakan amalan keseimbangan kerja dan kehidupan di tempat kerja masing-masing. Tinjauan Life At Work baru-baru ini oleh TalentCorp dan EY ke atas lebih 360 majikan sektor-sektor utama seperti pendidikan, kewangan, penjagaan kesihatan, pembuatan, minyak dan gas, perkhidmatan profesional, dan sebagainya, mendapati bahawa 90 peratus organisasi di Malaysia bersetuju mengenai kepentingan menawarkan amalan keseimbangan kerja dan kehidupan untuk pekerja.
Dalam usaha untuk menekankan kepentingan dan keperluan terhadap amalan keseimbangan kehidupan kerja serta impak positifnya ke atas pembangunan sumber manusia dan sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, TalentCorp terus memberi pengiktirafan kepada majikan yang mengungguli usaha-usaha kepelbagaian dan keterangkuman di tempat kerja dan amalan penyepaduan kerja dan kehidupan melalui anugerah Life At Work Awards 2017.
"Adalah penting bagi organisasi-organisasi di Malaysia untuk menyemak semula dasar-dasar sumber manusia mereka dan segera memenuhi tuntutan pekerja mereka terhadap fleksibiliti di tempat kerja. Produktiviti pekerja akan berada pada tahap tertinggi apabila mereka mempunyai motivasi dan diperkasa. Hasil tinjauan Life At Work mengesahkan perkara ini, di mana 80 peratus daripada majikan dalam tinjauan ini bersetuju bahawa amalan keseimbangan kerja dan kehidupan menyumbang kepada produktiviti yang lebih baik," menurut Dato' Sri Idris Jala, Ahli Lembaga Pemegang Amanah TalentCorp yang menyampaikan anugerah kepada para pemenang.
Anugerah Life At Work Awards 2017 mengiktiraf majikan yang gigih berusaha untuk menyediakan dasar-dasar di tempat kerja yang inovatif bagi membolehkan pekerja memaksimumkan produktiviti dan prestasi dengan mencapai keseimbangan dalam kehidupan korporat dan peribadi mereka. Pada tahun ini, lebih 30 syarikat mengemukakan penyertaan mereka dan kira-kira sepertiga daripadanya terdiri daripada organisasi tempatan.
"Kami berasa bangga kerana sepanjang tempoh lima tahun yang lalu, anugerah Life At Work Awards telah mengiktiraf majikan dan individu yang menerapkan amalan terbaik bagi memastikan keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi. Pada tahun ini, kami menyaksikan lebih banyak komitmen ditunjukkan oleh syarikat-syarikat dalam menyediakan fleksibiliti dalam dasar di tempat kerja dan peralihan budaya dalam memenuhi keperluan semasa dan masa depan modal insan. Dengan pengumuman yang dibuat ketika Bajet 2018 untuk menggalakkan aturan kerja fleksibel, kami yakin bahawa syarikat-syarikat akan terdorong untuk melaksanakan strategi yang lebih maju di tempat kerja pada masa depan," menurut Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp Shareen Shariza Dato' Abdul Ghani.
Pemenang tahun ini termasuk Kumpulan CIMB bagi Organisasi Terbaik Malaysia, PwC Malaysia bagi Organisasi Antarabangsa Terbaik, IHS Markit (Malaysia) bagi Organisasi Kejat Terbaik (Best Lean Organisation) dan Albern Murty bagi Juara Ketua Pegawai Eksekutif. Para pemenang diberi anugerah atas strategi maju di tempat kerja mereka yang bersesuaian dengan pekerjaan masa depan. Di samping empat pemenang tersebut, Shell Business Operations KL, Unilever Malaysia dan Wong & Partners juga menerima anugerah khas. Pada tahun ini, PwC Malaysia turut menerima anugerah khas selain anugerah Organisasi Antarabangsa Terbaik.
Anugerah Life At Work Awards merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan TalentCorp dalam membantu syarikat korporat agar bersiap sedia menghadapi pekerjaan masa depan. Sepanjang tempoh lima tahun yang lalu, sebanyak 18 syarikat korporat di Malaysia telah diberi pengiktirafan atas dasar dan amalan inovatif mereka untuk menarik dan mengekalkan modal insan.
Pemegang Anugerah Life At Work Awards 2017 adalah seperti berikut:
ANUGERAH | PEMENANG |
---|---|
Organisasi Terbaik Malaysia
(Best Malaysian Organisation) | CIMB Group |
Organisasi Antarabangsa Terbaik
(Best International Organisation) | PwC Malaysia |
Organisasi Kejat Terbaik
(Best Lean Organisation) | IHS Markit (Malaysia) |
Juara Ketua Pegawai Eksekutif
(CEO Champion) | Albern Murty (Ketua Pegawai Eksekutif Digi) |
Anugerah Khas
(Special Mentions) | PwC Malaysia
Shell Business Operations KL Unilever Malaysia Wong & Partners |
Kindly contact our Press Office team through email.
Please note that these contact details are strictly for journalist enquiries only.