KUALA LUMPUR, 24 FEBRUARI 2014 – Sebagai sebahagian daripada teras strategiknya untuk mengoptimumkan modal insan Malaysia, serta memudahcarakan kesedaran awam mengenai peluang kerjaya yang tersedia dalam sektor-sektor keutamaan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dengan kerjasama Institut Akauntan Malaysia (MIA) menganjurkan Pameran Kerjaya Mini Sektor Tumpuan (Perakaunan) hari ini di Sunway University. Acara tersebut telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato’ Seri Abdul Wahid Omar.
Dato’ Seri Wahid berkongsi pandangan beliau berkata, “Permintaan bagi pembangunan modal insan di Malaysia sedang meningkat susulan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan wawasan Malaysia untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, berasaskan pengetahuan menjelang tahun 2020. Acara ini memberikan para majikan satu platform untuk mencari modal insan berkaitan industri mereka secara langsung dari universiti dan kolej di Malaysia, di samping menyediakan peluang bagi mereka untuk memainkan peranan dalam membangunkan dan meningkatkan modal insan tempatan bagi membantu negara mencapai matlamat transformasinya.”
Pameran Kerjaya Mini Sektor Tumpuan (Perakaunan) menyaksikan penglibatan para Pengamal Perakaunan Kecil dan Sederhana (Small & Medium Practices) termasuk Afrizan Tarmili Khairul Azhar, Salihin, CAS & Associates, Hals & Associates dan Folks DFK & Co. Universiti yang terlibat termasuk, Universiti Malaysia Terengganu, Sunway University, Monash University, Multimedia University, Universiti Institut Teknologi Mara, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pertanian Malaysia, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Sultan Zainal Abidin. Acara satu hari tersebut memaparkan Hari Pasaran Perakaunan, proses pemilihan program latihan dalaman, dan Sesi Dialog antara Dato’ Seri Abdul Wahid dan para pemimpin pelajar.
Sejajar dengan inisiatif strategik TalentCorp untuk mempromosi, meningkatkan, dan menambah kemahiran dan kecekapan graduan dan bakal graduan Malaysia, Pameran Kerjaya Mini Sektor Tumpuan (Perakaunan) ini diadakan untuk menghubungkan keupayaan pendasar dan minat warga muda Malaysia dengan peluang yang timbul daripada transformasi ekonomi negara. Acara tersebut juga memberikan graduan dan bakal graduan peluang untuk bertemu dengan pemimpin korporat dan wakil sumber manusia kanan firma-firma yang mengambil bahagian, di samping menyediakan majikan satu platform untuk mencari bakat-bakat yang berpotensi.
Menurut Johan Mahmood Merican, Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, “Malaysia sememangnya mempunyai penawaran modal insan muda yang kukuh. Kejayaan agenda transformasi negara bergantung kepada tersedianya kuantiti dan kualiti modal insan yang diperlukan oleh sektor keutamaan Malaysia. TalentCorp berbesar hati kerana dapat menyumbang dalam memastikan kumpulan modal insan yang kukuh dan mampan yang berupaya memenuhi keperluan ekonomi.”
Presiden MIA, Johan Idris menambah, “Aspirasi kita untuk menjadi negara berpendapatan tinggi mesti disokong oleh tenaga kerja berkemahiran, cekap dan profesional. Negara kita tidak kekurangan modal insan muda, apa yang diperlukan ialah usaha bersepadu oleh semua pihak untuk memupuk dan membangunkan bakat-bakat ini kepada tenaga kerja profesional.
“Inilah sebabnya kita bekerjasama dengan TalentCorp untuk mempromosi, meningkatkan dan menambah kemahiran kecekapan bakat dengan menggalakkan bakal-bakal akauntan untuk mengikuti program perakaunan profesional, iaitu ACCA, CIMA, CPA Australia, ICAEW dan MICPA.
Profesion perakaunan secara jelas mempunyai peranan penting dalam membantu usaha ke arah membina pasaran modal yang dipercayai, bereputasi baik dan berdaya saing di peringkat antarabangsa. Profesion perakaunan memberikan pengaruh yang besar dalam pasaran modal melalui peranan mereka – sama ada sebagai juruaudit, penasihat, jururunding atau ahli sektor korporat,” tambah beliau.
Untuk maklumat lanjut mengenai TalentCorp dan Pameran Kerjaya Bertumpu Sektor (SFCF) bagi sepanjang tahun ini, sila layari www.talentcorp.com.my atau www.facebook.com/SectorFocusedCareerFairSFCF