JAKARTA, 12 Jun 2017 –Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kamar Dagang dan Industri Indonesia (KADIN) untuk menggalakkan dan melaksanakan program latihan amali ‘MyASEAN Internship’di Malaysia dan Indonesia. Kerjasama tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran mengenai ASEAN dan Komuniti Ekonomi ASEAN dalam kalangan belia dari kedua-dua negara.
Direka bentuk untuk menggalakkan mobiliti modal insan di ASEAN di peringkat universiti, MoU tersebut akan membolehkan mahasiswa dari Malaysia menyertai syarikat-syarikat di Indonesia dan sebaliknya. Oleh kerana mobiliti modal insan kini merupakan komponen yang semakin penting dalam tenaga kerja moden, kerjasama antara TalentCorp dan KADIN akan membuka peluang kepada para pelajar ASEAN dari kedua-dua negara tersebut untuk menjadi warga global melalui pengalaman latihan amali di peringkat serantau.
MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Shareen Shariza Dato’ Abdul Ghani, dan Naib Pengerusi KADIN bagi Hubungan Antarabangsa, Shinta Widjaja Kamdani, dan disaksikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perkampungan, Wilayah Terpinggir & Transmigrasi, TYT Bapak Eko Putro Sandjojo, yang juga merupakan Menteri yang bertanggungjawab bagi Isu-Isu Pelaburan dan Perniagaan Malaysia di Indonesia, dan juga Pengerusi KADIN, Bapak Rosan Roeslani.
MoU untuk tangani keperluan Malaysia dan ASEAN terhadap tenaga kerja yang semakin meningkat dan kukuh
Oleh kerana tenaga kerja Malaysia semakin berkembang sejajar dengan trend di peringkat global, modal insan yang berkeupayaan untuk berfikir di peringkat perantauan dan juga global amatlah diperlukan, agar dapat kekal berdaya saing dan mampu menghadapi cabaran yang sewajarnya. Kerjasama TalentCorp dan KADIN akan membuka peluang kepada pelajar yang bakal menjalani latihan amali di samping membantu menangani isu kekurangan modal insan muda yang berkemahiran di seluruh rantau ASEAN.
YB Dato’ Sri Mustapa menerangkan bahawa program ‘MyASEAN Internship’ telah terbukti membuka peluang dan pengalaman kepada modal insan muda yang terbaik di rantau ini, serta meningkatkan persefahaman dan `kewarganegaraan’ ASEAN dalam kalangan pelajar yang menjalani latihan amali.
Beliau menambah bahawa “program tersebut turut memberi peluang kepada para majikan untuk meraih manfaat daripada modal insan berkaliber tinggi yang memahami ASEAN. Saluran modal insan ini adalah kritikal bagi syarikat-syarikat yang ingin mengembangkan perniagaan mereka di seluruh rantau ini.”
Memetik laporan TalentCorp-Bank Dunia pada 2014 yang melaporkan bahawa 90% daripada syarikat-syarikat di Malaysia berpendapat bahawa graduan universiti perlu mempunyai latihan industri sebelum mereka tamat pengajian, Shareen menjelaskan bahawa MoU antara TalentCorp dan KADIN menandakan detik permulaan yang bermakna bagi pelajar-pelajar cemerlang dari Malaysia dan Indonesia untuk membina kerjaya di peringkat antarabangsa di samping memenuhi syarat kredit bagi kursus latihan industri mereka.
“Tambahan pula, mobiliti modal insan ini boleh memperluas dan menambah kepelbagaian pengalaman sesebuah syarikat dan tenaga kerja sesebuah negara,” kata beliau, yang berpendapat bahawa modal insan di bawah program ‘MyASEAN Internship’ akan berpeluang untuk memperoleh set kemahiran baharu yang diperlukan oleh industri utama di samping mempelajari budaya kerja di pelbagai tempat di ASEAN.
Sementara itu, Bapak Rosan memperakui bahawa kedua-dua negara akan meraih manfaat daripada kerjasama antara TalentCorp dan KADIN serta gabungan kepakaran, sumber dan kemudahan mereka.
“Ketika ini, terdapat 33 KADIN Daerah (dewan perniagaan di peringkat rantau) dan 440 cawangan daerah yang mewakili lebih 10,000 syarikat di bawah kendalian KADIN, yang bakal memberi banyak manfaat kepada mahasiswa Malaysia yang menjalani latihan amali mereka di Indonesia,” tambah beliau.
Program Latihan Amali MyASEAN
Satu kerjasama antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan TalentCorp, program ‘MyASEAN Internship’ dilancarkan pada 26 Januari 2015 oleh YB Dato’ Seri Mustapa, dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran menyeluruh mengenai ASEAN dalam kalangan belia. Program tersebut membolehkan pelajar-pelajar cemerlang Malaysia dari universiti tempatan dan antarabangsa untuk menjalani latihan amali bersama majikan terkemuka di pelbagai lokasi di ASEAN, serta membolehkan pelajar-pelajar dari negara-negara ASEAN yang lain untuk mengambil bahagian dalam program ini. Program ‘MyASEAN Internship’ juga terbuka kepada graduan yang baru menamatkan pengajian mereka dalam tempoh enam bulan.
Pada 2016, program tersebut menyaksikan 71 pelatih ditempatkan di 24 syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat multinasional yang beroperasi di seluruh ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia, Brunei, Kemboja dan Vietnam. Antara syarikat-syarikat yang telah mengambil bahagian dalam program tersebut dan meraih manfaat termasuklah CIMB, Digi, UEM Group, BDO Unibank, KPMG, Deloitte, PWC dan Unilever. Syarikat-syarikat lain yang mempunyai operasi di Indonesia, seperti AirAsia, Axiata, GE, Maybank, MITI dan Zico Law, telah menerima belia Malaysia untuk menjalani pengalaman kerja secara praktikal.
Untuk maklumat lanjut atau memohon untuk program ‘MyASEAN Internship’, layari www.talentcorp.com.my/myaseaninternship
Kindly contact our Press Office team through email.
Please note that these contact details are strictly for journalist enquiries only.