SEARCH
Siri SFCF TalentCorp Bermula Dengan Baik

Maklumat bagi lokasi SFCF selanjutnya diumumkan

KUALA LUMPUR, 8 FEBRUARI 2014 – Susulan kejayaan siri Pameran Kerjaya Sektor Tumpuan (SFCF) pada 2013, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) hari ini menganjurkan `SFCF Big Bang’ bagi memulakan siri SFCFnya bagi tahun ini. Majlis tersebut yang diadakan di Pusat Konvensyen TM, dilancarkan oleh Datuk Dr. Rahamat Bivi Yusof, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan ia adalah sejajar dengan usaha untuk meningkatkan kesedaran kerjaya mengenai peluang yang tersedia dalam sektor-sektor keutamaan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Sebagai salah satu inisiatif TalentCorp untuk meningkatkan kesedaran kerjaya dan memberi kefahaman yang lebih jelas terhadap sektor ekonomi utama Malaysia, siri SFCF menyediakan peluang kepada graduan untuk bertemu dengan pemimpin korporat dan wakil-wakil kanan sumber manusia syarikat-syarikat yang mengambil bahagian serta menyediakan platform bagi syarikat untuk mencari bakat yang berpotensi dari universiti-universiti di Malaysia. Siri pameran tersebut juga bertujuan menyokong Malaysia untuk menghasilkan graduan yang bersedia untuk industri dengan meningkatkan kebolehpasaran mereka dan membolehkan mereka membuat pilihan kerjaya yang tepat. SFCF Big Bang memberi tumpuan kepada sektor Kejuruteraan, Perbankan, Perakaunan, Kewangan, Perundingan, Perkhidmatan Perkongsian dan FMCG.

Berkongsi pendapat beliau mengenai SFCF Big Bang, Dr. Rahamat berkata, “Saya berbangga melihat sokongan yang diterima oleh SFCF, bukan hanya daripada orang ramai malah pihak majikan yang mengambil bahagian pada hari ini untuk mempamerkan peluang kerja yang luas yang tersedia di Malaysia bagi bakat muda tempatan kita. Adalah diharapkan melalui inisiatif seperti ini, kita akan berupaya mengoptimumkan modal insan Malaysia ketika kita berusaha ke arah mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.”

“Menangani keperluan yang semakin meningkat terhadap modal insan bertaraf dunia dalam landskap ekonomi Malaysia memerlukan sumber bakat tempatan yang kukuh. Ini akan tercapai dengan mudah melalui pembabitan bersama antara para pelajar kita dan majikan terkemuka di Malaysia, melalui platform seperti pameran kerjaya pada hari ini,” kata Johan Mahmood Merican, Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp.

TalentCorp juga mengumumkan maklumat lanjut mengenai kerjasamanya dengan universiti-universiti tempatan di sembilan siri SFCF sepanjang 2014, iaitu Universiti Teknologi Petronas, Universiti Sains Malaysia, Nilai University College, Universiti Malaysia Sabah (Kota Kinabalu), Universiti Malaysia Sabah (Labuan), Universiti Putra Malaysia, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Teknikal Melaka, dan Universiti Teknologi Malaysia.

Menurut Mohamad Zaini bin Hasbullah, Pengurus Kanan, Kumpulan Pengurusan Sumber Manusia, MK Land Holdings Berhad, “Malaysia sememangnya mempunyai modal insan muda yang kukuh dan siri SFCF menyediakan pendedahan untuk menarik para graduan Malaysia untuk mengkaji kerjaya menarik yang digariskan dalam 11 sektor NKEA. Beberapa industri penting amat memerlukan modal insan terbaik, dan bakal-bakal graduan akan menggunakan peluang ini untuk memahami dengan lebih lanjut perkembangan sektor-sektor ini di Malaysia. Pihak syarikat juga berpeluang untuk mendidik orang ramai mengenai perkembangan industri, penjenamaan sektor dan meningkatkan kefahaman mengenai sektor-sektor tersebut. MK Land ingin menerokai bidang baru dalam penyumberan modal insan dari pelbagai saluran tempatan sejajar dengan strategi dan dasar pengambilan kami.”

Acara dua hari tersebut mengandungi Hari Pasaran Latihan Bekerja, Temuduga Ringkas dan Sesi Jaringan Kerja.

Untuk maklumat lanjut mengenai SFCF Big Bang, sila layari www.talentcorp.com.my atau www.facebook.com/SectorFocusedCareerFairSFCF

IN THIS SECTION:

HAVE A MEDIA ENQUIRY?

Kindly contact our Press Office team through email.

Please note that these contact details are strictly for journalist enquiries only. 


share this page:
Ooops!
Generic Popup