SEARCH
Siaran Akhbar: Talentcorp Dan UNDP Kenal Pasti 8 Faktor Utama Dalam Memastikan Kejayaan Perlaksanaan Aturan Kerja Fleksibel

  • Perubahan persepsi yang tepat pada masanya terhadap Amalan Keseimbangan Kerja dan Kehidupan ekoran pandemik COVID-19
  • Majikan yang menerima pakai Aturan Kerja Fleksibel menyaksikan peningkatan produktiviti dan kualiti hidup para pekerja mereka

KUALA LUMPUR, 3 Ogos 2021: Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau United Nations Development Programme (UNDP) hari ini melancarkan laporan “Making Flexible Work, Work: Towards Better and More Inclusive Work-Life Practices” . Laporan bersama yang diterbitkan pada masa yang tepat ini, menunjukkan kaedah Aturan Kerja Fleksibel atau Flexible Work Arrangements (FWA) berjaya mewujudkan tenaga kerja yang lebih sihat dan meningkatkan keterlibatan pekerja, di sebalik pelbagai gangguan disebabkan oleh pandemik global COVID-19.

Sejak Mac 2020, rakyat Malaysia telah melalui pelbagai peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP/ PKPB/ PKPP/ PKPD), yang menyebabkan ramai pekerja merasai pelanjutan tempoh Bekerja Dari Rumah (BDR). Laporan terbitan TalentCorp-UNDP ini menghimpunkan dapatan kritikal dan menggariskan pelajaran utama yang diperolehi hasil Kajian Life at Work dan BDR yang dijalankan oleh kedua-dua organisasi ini untuk menyokong kejayaan pelaksanaan Amalan Keseimbangan Kerja dan Kehidupan atau Work-Life Practices (WLP) dan FWA di Malaysia.

“Penerbitan ini bertindak sebagai satu hala tuju dalam membolehkan dan memastikan majikan di Malaysia dapat menerajui usaha ke arah mewujudkan kesiapsiagaan tenaga kerja mereka untuk menghadapi masa depan kerja. Usaha TalentCorp dalam bidang ini adalah selaras dengan agenda Kementerian untuk membangunkan modal insan negara yang cekap, produktif, responsif dan berdaya tahan,” kata Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Seri M. Saravanan.

Walaupun pada awalnya terdapat banyak syarikat yang masih belum bersedia, namun kebanyakan majikan dan kakitangan berupaya menjayakan BDR, dengan ramai di antara mereka kini telah menerima pakai Model Hibrid BDR yang membolehkan para pekerja bekerja dari rumah secara bergilir-gilir. Mereka yang berjaya telah melaksanakan 8 pelajaran utama aturan FWA/ BDR berikut:

Untuk Majikan:
1. Peralihan kepada masa kerja berasaskan kepercayaan/ aturan berorientasikan hasil.
2. Memastikan semua peringkat pengurusan dari atas hingga ke bawah menerima dan menyokong FWA; pengurusan menerapkan pemikiran yang menghargai fleksibiliti dan dapat menerangkan nilai FWA dengan jelas kepada para pekerja.
3. Memastikan reka bentuk dan pelaksanaan FWA yang inklusif; mengutamakan pekerja yang ternyata memerlukan FWA (sebagai contoh, ibu bekerja), dan membolehkan semua pekerja untuk memilih FWA.
4. Paling penting, majikan perlu menyediakan dasar yang jelas dan dirancang dengan teliti yang merangkumi penyediaan bantuan teknikal, bantuan material dan garis panduan serta jangkaan yang jelas.

Untuk Pekerja:
5. Mengambil inisiatif untuk timbal balik FWA dengan penuh rasa tanggungjawab; menunjukkan komitmen dan produktiviti.
6. Memiliki kebertanggungjawaban - tumpuan kepada output dan hasil serta mengurus masa kerja dan keutamaan mereka dengan baik.
7. Pastikan sentiasa berkomunikasi dan berbincang secara konstruktif dengan penyelia dan rakan sekerja untuk mencari penyelesaian yang sesuai. Pekerja yang mempunyai anak-anak di rumah perlu menetapkan beberapa peraturan asas untuk mengurangkan gangguan.
8. Laporan ini turut menekankan keperluan untuk para pekerja meneliti dan memahami dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh majikan mengenai FWA. Mereka perlu memastikan kebertanggungjawaban, tetapi pada masa sama menetapkan had supaya membantu mengekalkan sempadan di antara ruang lingkup kerja dan bukan kerja.

“Sebagai agensi Kementerian Sumber Manusia yang ditugaskan untuk membantu menerajui strategi modal insan negara, kami komited untuk menyokong pelaksanaan WLP dengan lebih meluas di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew. “Kami akan melipatgandakan kerjasama kami dengan sektor awam dan swasta untuk menyokong usaha Kerajaan ke arah meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia melalui inisiatif Kepelbagaian dan Keterangkuman.”

“Pandemik COVID-19 telah mengalih tumpuan ke arah isu-isu asas mengenai kerja jarak jauh, aturan kerja fleksibel, konfigurasi pejabat dan pengiraan kos yang berkaitan dengan infrastruktur ruang kerja. Keselesaan di tempat kerja tidak lagi boleh disamakan dengan keselesaan di ruang kerja, atau sekurang-kurangnya sedang diteliti semula. Turut diberi perhatian ialah perkara mengenai motivasi, produktiviti, beban kerja berganda, aliran kerja penyelia dan pekerja, interaksi mendatar/ sesama rakan sekerja dan banyak lagi. Ironinya, virus yang hampir menghentikan segala urusan, turut memberi peluang kepada kita untuk menilai semula dan mengambil langkah yang perlu untuk berubah mengikut evolusi aturan kerja. Kami mengalu-alukan kerjasama penting ini. Ini adalah sumbangan awal kami ke arah mencapai matlamat kerjasama yang relevan dan pada masa yang tepat ini, selaras dengan perkara yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Malaysia, sektor swasta dan rakyat keseluruhannya,” kata Wakil Residen, UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Niloy Banerjee.

Penerbitan laporan FWA secara bersama ini adalah salah satu daripada usaha TalentCorp untuk mengoptimumkan modal insan Malaysia melalui agenda Kepelbagaian dan Keterangkuman dengan menyediakan khidmat nasihat menyeluruh untuk membantu syarikat-syarikat melaksanakan WLP. Menerusi pelaksanaan langkah-langkah serta dasar-dasar yang dapat memastikan semua pekerja sektor awam dan swasta akan menerima manfaat daripada segala aturan WLP termasuk BDR, TalentCorp menyasarkan untuk melihat pengiktirafan yang lebih besar terhadap amalan tempat kerja berinovasi sebagai alat penting untuk memacu produktiviti, meningkatkan prestasi organisasi dan menyokong keperluan dan permintaan tenaga kerja di masa hadapan.

Muat turun salinan laporan terbitan bersama TalentCorp-UNDP “Making Flexible Work, Work: Towards Better and More Inclusive Work-Life Practices”, sila layari: www.talentcorp.my/TC-UNDP_FWAs_Making-Flexible-Work-Work_2021

Maklumat lanjut mengenai TalentCorp, sila layari www.talentcorp.com.my atau ikuti kami di www.facebook.com/TalentCorpMsia. Maklumat lanjut mengenai UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, sila layari www.my.undp.org atau ikuti kami di www.facebook.com/Myundp.


DIKELUARKAN OLEH TALENTCORP DAN UNDP MALAYSIA, SINGAPURA DAN BRUNEI DARUSSALAM
3 Ogos 2021


Mengenai Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)
Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang memacu strategi modal insan Malaysia ke arah menjadi sebuah hab modal insan yang dinamik. Kami bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk mencapai matlamat ini dengan melaksanakan inisiatif yang dapat menarik, memupuk dan mengekalkan kepakaran yang diperlukan untuk memenuhi tuntutan modal insan hari ini dan di masa hadapan. Program berteraskan pasaran kami menumpu kepada usaha pembinaan saluran modal insan Malaysia, mobilisasi dan menghubungkan modal insan dengan peluang-peluang yang ada, serta mempelbagaikan himpunan modal insan di Malaysia dengan mempengaruhi polisi tempat kerja.

Mengenai Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP)
UNDP adalah organisasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu termuka yang berjuang untuk menghapuskan ketidakadilan yang disebabkan oleh kemiskinan, ketidaksamaan, dan perubahan iklim. Bekerjasama dengan rangkaian pakar-pakar dan rakan-rakan kongsi kami yang meluas di 170 negara, kami membantu negara membina penyelesaian yang bersepadu dan mapan untuk semua manusia dan bumi.

IN THIS SECTION:

HAVE A MEDIA ENQUIRY?

Kindly contact our Press Office team through email.

Please note that these contact details are strictly for journalist enquiries only. 


share this page:
Ooops!
Generic Popup