KUALA LUMPUR, 26 Mac 2014 – YB Dato’ Sri Abdul Wahid Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini mengumumkan semakan semula yang telah dibuat kepada Program Kepulangan Pakar (Returning Expert Programme atau REP):
1. Pengecualian cukai ke atas kereta yang disemak semula dari dua buah kereta buatan tempatan yang komponen-komponennya diimport dari negara pengeluar (CKD) kepada sebuah kereta buatan tempatan CKD atau kereta import sepenuhnya yang telah siap dipasang di negara pengeluar (CBU) bagi setiap pemohon REP yang diluluskan, tertakluk kepada nilai pengecualian cukai sebanyak RM150,000;
2. Menambah baik dan menaikkan had bagi kelayakan REP dengan set kriteria yang lebih menyeluruh agar lebih sejajar dengan keperluan ekonomi negara.
Semakan semula ini akan berkuat kuasa ke atas semua permohonan lengkap yang diterima selepas 15 April 2014.
“Kami mesti memastikan REP dioptimumkan bagi memudahcarakan kepulangan profesional Malaysia yang berbakat yang diperlukan untuk memacu Program Transformasi Ekonomi (ETP). Dalam lain perkataan, kita memerlukan insentif REP yang tepat, untuk menyasarkan modal insan yang sesuai,” kata Dato’ Sri Abdul Wahid yang merupakan ahli Lembaga Pemegang Amanah TalentCorp. Pengumuman tersebut dibuat di sidang akhbar yang diadakan selepas mesyuarat bulanan jawatankuasa REP di Parlimen hari ini.
Pengurangan insentif cukai kereta CKD
Peruntukan untuk membeli kereta yang dikecualikan cukai merupakan cara untuk memudahcarakan peralihan kepulangan profesional Malaysia dari luar negara, yang mengambil kira bahawa warga Malaysia di luar negara sering bekerja di negara-negara yang mempunyai cukai yang terhad ke atas kenderaan.
Ketika ini, pengecualian cukai adalah diberikan bagi dua kenderaan buatan tempatan CKD.
Di bawah semakan semula tersebut, seseorang pemohon REP yang berjaya hanya boleh memohon pengecualian cukai ke atas sama ada sebuah kereta buatan tempatan CKD atau sebuah kereta import sepenuhnya CBU, tertakluk kepada pengecualian cukai maksimum sebanyak RM150,000.
Kelonggaran bagi pengecualian cukai ke atas sebuah kereta import CBU diberikan untuk memudahcarakan kepulangan warga Malaysia yang berhasrat untuk membawa balik kereta yang mereka miliki sekarang. Lagi pula, pengurangan insentif kepada sebuah kereka adalah sejajar dengan sasaran yang semakin meningkat terhadap profesional Malaysia dengan nilai tambah tinggi, yang mana kemudahan utama hendaklah lebih kepada peralihan kadar cukai pendapatan.
Penambahbaikan kriteria kelayakan REP
Kerajaan juga telah memutuskan untuk menambah baik kriteria kelayakan REP agar ia lebih menyeluruh dan mengambil kira, bukan hanya kelayakan dan pengalaman kerja di luar negara tetapi juga:
a) Pengalaman kerja di Malaysia (sebelum pekerjaan di luar negara);
b) Gaji semasa di luar negara; dan
c) Pengalaman dan kepakaran yang relevan kepada sektor ekonomi keutamaan atau bidang jurang kemahiran kritikal.
Kriteria semasa yang digunakan dalam menilai permohonan REP adalah berdasarkan kelayakan (sama ada ijazah sarjana muda, sarjana atau Kedoktoran) dan tahun pengalaman kerja di luar negara.
Kriteria tahun pengalaman kerja di luar negara secara efektifnya digunakan bagi dua perkara: pertama, sebagai proksi bagi halangan untuk kembali semula ke Malaysia dan kedua, sebagai proksi bagi kepakaran seseorang individu. Walaupun tahun di luar negara lebih menunjukkan halangan untuk pulang, ia jelas tidak cukup untuk bertindak sebagai proksi bagi kepakaran.
[Sila muat turun lampiran bagi perbandingan kriteria semasa dan yang disemak semula]
Kriteria yang disemak semula akan bertindak sebagai garis panduan bagi pertimbangan yang digunakan oleh jawatankuasa REP untuk menilai pemohon REP berkaitan dengan faktor-faktor kualitatif bagi nilai pemohon kepada ekonomi negara.
REP telah diperkenalkan pada tahun 2001 untuk menangani keperluan bakat di Malaysia yang semakin meningkat dengan memudahcarakan kepulangan profesional Malaysia yang berpengalaman dari luar negara. Pengurusan program tersebut telah dipindahkan kepada TalentCorp pada Januari 2011.
Sejak tahun 2011, lebih 2,500 permohonan REP telah diluluskan sehingga kini. Ini melebihi bilangan 1,130 permohonan yang diluluskan sepanjang tempoh 10 tahun sebelum ini (2001-2010). Sebelum ini, permohonan REP hanya dibuat oleh individu yang pulang. Sejak tahun 2013, TalentCorp telah semakin banyak memudahcarakan permohonan daripada pihak majikan, bagi memastikan mereka yang dikenal pasti untuk pulang tersebut memenuhi keperluan bakat kritikal syarikat-syarikat terkemuka di Malaysia.
Warga Malaysia yang telah pulang di bawah REP terdiri daripada profesional dan pakar teknikal Suite-C bernilai tinggi terutamanya dalam sektor Minyak, Gas & Tenaga, Perkhidmatan Kewangan, Maklumat & Teknologi Komunikasi (ICT), Penjagaan Kesihatan, dan Perkhidmatan Perniagaan.
Untuk maklumat lanjut mengenai REP dan inisiatif TalentCorp yang lain, layari www.talentcorp.com.my.
Siaran akhbar ini hendaklah dibaca bersama-sama dengan kenyataan Menteri. Klik di sini untuk membaca