SEARCH
RM30 Juta Geran Padanan Latihan Industri TalentCorp untuk PKS dan Syarikat Pemula

YB Steven Sim Chee Keong bersama Encik Thomas Mathew dalam Majlis Pelancaran LiKES

  • Peruntukkan Dana RM30 juta untuk LiKES daripada TalentCorp bagi tempoh 3 tahun, dari 2024-2026
  • Geran bagi membantu PKS dan syarikat pemula untuk meneydiakan latihan industri yang berstruktur serta menjaga kebajikan pelajar
KUALA LUMPUR, 18 Mac – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) yang diberi mandat untuk memacu strategi bakat Malaysia oleh KESUMA hari ini telah melancarkan Inisiatif Geran Padanan Latihan Industri untuk Perusahaan Kecil & Sederhana (LiKES) bagi membantu menyokong penempatan latihan industri berstruktur dan mampan dalam PKS dan syarikat baharu Malaysia.

Inisiatif ini berada di bawah satu ekosistem besar iaitu Insentif Latihan Amali (ILHAM) KESUMA yang merangkumi 4 komponen utama termasuklah, Dasar Latihan Industri Berstruktur, Geran Padanan LiKES, Program Levi ITS HRD Corp, serta program-program sokongan seperti MyNext oleh TalentCorp dan sebagainya.

YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia (KESUMA) telah mengumumkan bahawa peruntukan daripada TalentCorp untuk inisiatif LiKES tersebut adalah berjumlah RM30 juta dan beliau turut menekankan kepentingan untuk memupuk persekitaran kerja yang mesra latihan industri terutamanya dalam sektor PKS.

“Buat pertama kalinya, Kerajaan telah memperkenalkan geran padanan latihan industri untuk menyokong sektor PKS dan syarikat pemula bagi memastikan lebih ramai majikan mengambil bahagian dalam usaha membina negara secara kolektif untuk memupuk bakat muda Negara. LiKES serta inisiatif sedia ada TaletnCorp, Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP) akan membantu memastikan kesediaan kerja dan menjaga kebajikan dengan menawarkan elaun semasa tempoh latihan.”

“Ia turut akan membantu mempertingkatkan latihan industri untuk PKS yang membentuk 97% daripada jumlah perniagaan di Malaysia, dan menyumbang 48.2% kepada pekerjaan negara pada 2022.” katanya.

Di samping itu, YB Steven Sim turut mengumumkan peningkatan dalam Skim Latihan Perindustrian (ITS) di bawah Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) sebagai sebahagian daripada pakej latihan industri holistik KESUMA yang bersesuaian untuk majikan. Berkuat kuasa serta-merta, majikan boleh menggunakan sehingga 50% daripada baki levi mereka pada Januari 2024 untuk tahun tafsiran ITS tersebut. Had siling untuk elaun latihan bulanan yang boleh dituntut untuk setiap pelatih di bawah skim ITS juga dibuka.

YB Steven Sim Chee Keong menyampaikan ucapan perasmian ketika Majlis Pelancaran LiKES


YB Menteri turut berkata bahawa sesi libat urus turut sedang dijalankan untuk membangunkan Dasar Latihan Industri Nasional sebagai garis panduan bagi majikan yang mengambil pelatih yang dijangka akan dilancarkan pada Mei 2024.

“Sebagai badan pemikir strategik KESUMA, TalentCorp bekerjasama dengan industri dan akademia untuk membangunkan garis panduan bagi majikan untuk mengutamakan peningkatan kemahiran dan kebajikan pelajar latihan industri. Usaha ini akan diterjemah di dalam Dasar Sumber Manusia Negara yang akan diumumkan kelak bagi membolehkan majikan menguruskan program latihan industri mereka dengan lebih bertanggungjawab," katanya.

Geran padanan LiKES merangkumi tempoh latihan sehingga 6 bulan dan dibuka untuk permohonan oleh PKS dan syarikat pemula yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Pemohon yang berkelayakkan perlu untuk menawarkan penempatan latihan sekurang-kurangnya selama 10 minggu dan menyediakan elaun minimum latihan industri yang digariskan.

Bagi pelajar yang mengikuti pengajian Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 hingga Tahap 3, Diploma, Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), elaun minimum adalah sebanyak RM500.00 sebulan, di mana TalentCorp akan membayar semula kepada majikan RM250.00 sebulan. Bagi pelajar yang mengikuti Diploma Kemahiran Lanjutan Malaysia (DLKM), Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana atau Sijil Profesional, elaun minimum yang perlu dibayar ialah RM600.00 sebulan, dan TalentCorp akan membayar semula RM300.00 sebulan.

Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, berkata bahawa aspek utama pengukuhan penyaluran permintaan dan bekalan tenaga kerja terletak pada pelaksanaan latihan industri yang berstruktur.

"Latihan industri yang berstruktur berperanan sebagai salah satu strategi utama untuk membangunkan bakat yang berkualiti, mengurangkan pengangguran belia, menangani ketidakpadanan kemahiran dan guna tenaga tak penuh, serta meningkatkan kemahiran bakat untuk memenuhi keperluan industri semasa dan masa depan," katanya.

Beliau turut menggalakkan PKS dan syarikat pemula terutamanya yang beroperasi di luar bandar untuk memohon geran LiKES dan menyediakan peluang latihan industri yang bermakna kepada tenaga kerja masa hadapan.

“Lebih penting lagi, kami berusaha untuk memudahkan peralihan bakat muda daripada institusi pendidikan ke alam pekerjaan secara strategik sambil turut menyediakan sokongan kewangan kepada PKS yang membolehkan mereka untuk mengambil langkah proaktif dalam memupuk bakat tempatan,” tambahnya.

Permohonan inisiatif LiKES dibuka mulai 18 Mac 2024. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.talentcorp.com.my/likes atau e-mel kepada: likes@talentcorp.com.my

Issued by Talent Corporation Malaysia Berhad

18 Mac 2024

IN THIS SECTION:

HAVE A MEDIA ENQUIRY?

Kindly contact our Press Office team through email.

Please note that these contact details are strictly for journalist enquiries only. 


share this page:
Ooops!
Generic Popup