Putrajaya, 8 Februari 2013 – Seramai 207 graduan program Graduate Career Accelerated Programme (GCAP) kelapan menerima sijil mereka pada hari ini dalam satu majlis yang diadakan untuk meraikan kejayaan mereka melengkapkan program latihan yang ditaja penuh oleh kerajaan. Program ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran dan mempersiapkan graduan ke alam pekerjaan khususnya industri perkhidmatan.
Dalam majlis tersebut, sijil tamat program telah disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin. Turut hadir ialah Johan Mahmood Merican, Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Omar Shariff Mydeen, Pengarah Urusan My-Partners Sdn Bhd.
"Sejajar dengan Pelan Tindakan Kebolehpasaran Graduan yang telah dibangunkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, GCAP mewakili usaha Kerajaan bagi memastikan bahawa graduan Malaysia bersedia sepenuhnya untuk memenuhi keperluan industri hari ini," kata Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin.
GCAP merupakan satu inisiatif usahasama antara Kementerian Pengajian Tinggi, TalentCorp, My-Partners serta rakan industri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.
"Strategi utama TalentCorp adalah untuk mengoptimumkan bakat dan kebolehan rakyat Malaysia terutamanya graduan. GCAP telah direka untuk meningkatkan kebolehpasaran serta prospek kerjaya para graduan, di samping membuka peluang kerjaya yang memenuhi kebolehan dan kecenderungan anak-anak muda Malaysia masa kini hasil dari pembangunan ekonomi negara yang pesat , "kata Johan Mahmood Merican.
"Graduan yang berjaya menamatkan program ini akan ditawarkan pekerjaan dalam pelbagai industri melalui karnival kerjaya yang dianjurkan oleh My-Partners. Sehingga kini, hampir 30% daripada graduan GCAP telah mendapat pekerjaan di syarikat-syarikat ternama seperti CIMB, Syarikat Prasarana, Malakoff, Celcom Axiata, dan beberapa syarikat lain "kata Omar Shariff.
Program GCAP ini yang berjalan selama 6 minggu bagi setiap pengambilan, turut mendedahkan graduan kepada latihan interaktif yang berasaskan keperluan industri, di mana input yang diberi oleh pihak industri akan digunakan untuk memperbaiki kemahiran menyelesaikan masalah dan etika perniagaan, di samping meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan bertulis.
Pelatih dianugerahkan Sijil Profesional dalam Pengurusan Perkhidmatan Global (PCGSM) setelah menamatkan program ini. Ini dapat meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan di PKS, GLC, dan syarikat multinasional dalam pelbagai sektor seperti Telekomunikasi, Pelancongan, dan Kewangan.
Program GCAP adalah terbuka kepada graduan Malaysia dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta tempatan dengan PNGK 2.3 dan ke atas dalam mana-mana bidang pengajian. Sejak tahun 2009, sebanyak 1536 pemegang ijazah telah menamatkan latihan GCAP mereka dan seramai 1052 graduan sedang menjalani latihan di pelbagai lokasi di negara ini.
GCAP adalah salah satu inisiatif untuk meningkatkan kemahiran di mana TalentCorp telah bekerjasama dengan sektor swasta. Pada tahun 2011, TalentCorp telah mengadakan kursus pantas di mana program tersebut dijalankan untuk meningkatkan kemahiran untuk mempercepatkan pembangunan Penyelidikan dan Pembangunan (R & D) bakat bagi sektor Elektrik & Elektronik Malaysia.