Kuala Lumpur, 29 Mei 2012 – Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak hari ini mengumumkan langkah untuk mempromosi pengambilan kerja graduan muda Malaysia dan tenaga kerja kaum wanita, sejajar dengan Halatuju Bakat 2020 yang dilancarkan baru-baru ini, yang menyusun keutamaan strategi untuk mengoptimumkan bakat warga Malaysia.
Dalam ucap utama beliau di Invest Malaysia 2012, Dato’ Sri Mohd Najib juga menyeru badan-badan korporat Malaysia untuk bekerjasama dengan Kerajaan dalam menangani keperluan bakat negara.
“Pengumuman oleh Perdana Menteri hari ini menunjukkan tumpuan yang diberikan oleh pihak Kerajaan terhadap bakat warga Malaysia. TalentCorp komited dalam melaksanakan langkah-langkah tersebut melalui kerjasama dengan pihak korporat di Malaysia dan agensi-agensi yang berkaitan, ke arah mempromosi pengambilan kerja bakat muda dan kaum wanita Malaysia,” kata Johan Mahmood Merican, Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).
Wanita dalam pekerjaan
Di bawah Halatuju Bakat 2020, teras strategik untuk mengoptimumkan bakat warga Malaysia termasuk meraih potensi penuh dan ketersediaan tenaga kerja kaum wanita. Bakal bakat-bakat graduan wanita lepasan universiti adalah semakin meningkat, dengan pendaftaran di universiti awam melebihi 60% tetapi kadar penglibatan tenaga kerja wanita di Malaysia kekal rendah pada 46%. Tambahan lagi, menurut World Bank Malaysian Economic Monitor April 2012, tidak seperti yang berlaku di sesetengah negara, wanita di Malaysia biasanya tidak akan kembali bekerja selepas berkahwin dan melahirkan anak.
Di Invest Malaysia 2012, Perdana Menteri menyeru syarikat-syarikat tersenarai yang terkemuka menzahirkan dalam laporan tahunan mereka, dasar-dasar dan pencapaian mereka dalam menggalakkan penglibatan wanita dalam pekerjaan seperti melalui pengaturan waktu kerja fleksibel dan peruntukan kemudahan sokongan di tempat kerja. Penzahiran sedemikian akan membantu menyebarkan amalan terbaik bagi syarikat di Malaysia untuk mengguna pakai dan pada masa yang sama, menyediakan satu platform bagi menggalakkan lebih banyak syarikat di Malaysia melaksanakan dasar-dasar yang menyokong kaum wanita dalam bidang pekerjaan.
Bagi menyokong usaha-usaha pihak korporat untuk memudahcarakan kaum wanita yang berhasrat untuk kembali bekerja, Dato’ Sri Mohd Najib mengumumkan lagi bahawa bermula tahun 2013, insentif potongan cukai berganda akan diberikan ke atas perbelanjaan latihan oleh syarikat-syarikat dalam mengambil semula para profesional wanita yang telah berhenti bekerja.
Sehubungan dengan insentif tersebut, Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti (KPWKM) dan TalentCorp akan mengadakan pembabitan bersama kedua-dua pihak majikan dan bakat kaum wanita untuk mengenal pasti peluang pekerjaan yang sesuai dan membangunkan pangkalan data profesional wanita yang berhasrat untuk kembali bekerja.
Skim Latihan 1Malaysia (SL1M)
Ketika pelancaran Halatuju Bakat 2020 baru-baru ini, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa dalam usaha mengoptimumkan bakat warga Malaysia, TalentCorp akan bekerjasama dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri untuk meningkatkan proses peralihan bermula dari peringkat sekolah hingga ke peringkat kerja, termasuk melalui program meningkatkan keupayaan mendapatkan pekerjaan dalam kalangan graduan muda Malaysia.
Program SL1M, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sektor swasta, dilancarkan pada Jun 2011 untuk meningkatkan keupayaan mendapatkan pekerjaan para graduan, khususnya mereka yang datang dari luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah. Di bawah program tersebut, para graduan akan meraih manfaat daripada latihan kemahiran insaniah dan latihan ketika bekerja. EPU menyelaras program SL1M dan telah mendapatkan komitmen daripada 49 syarikat terkemuka untuk menyediakan penempatan pekerjaan bagi sejumlah 8,000 graduan.
Seperti yang diumumkan oleh Dato’ Sri Mohd Najib hari ini, syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam program SL1M akan layak untuk mendapatkan insentif potongan cukai berganda ke atas elaun dan perbelanjaan latihan bermula 1 Jun 2012. Kelayakan bagi insentif cukai tersebut adalah tertakluk kepada kelulusan oleh Unit Perancang Ekonomi, yang bertindak sebagai sekretariat kepada program SL1M.
Untuk maklumat lanjut mengenai TalentCorp, sila layari www.talentcorp.com.my. Untuk maklumat mengenai SL1M, layari www.epu.gov.my/SL1M dan laman-laman sesawang syarikat yang mengambil bahagian.