SEARCH
PM lancar Talent Roadmap 2020

Putrajaya, 24 April 2012 - Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) hari ini membentangkan satu perancangan komprehensif yang menyenaraikan tumpuan dan inisiatif TalentCorp sehingga 2020 bagi memenuhi keperluan negara untuk modal insan berkemahiran tinggi untuk Program Transformasi Ekonomi.

Dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Najib bin Tun Abdul Razak, Talent Roadmap 2020 direka khusus untuk menyelesaikan isu-isu berkenaan ketersediaan modal insan di Malaysia. Ia juga termasuk memenuhi keperluan modal insan di dalam industri-industri khusus pemacu agenda perubahan ekonomi negara.

“Malaysia berwawasan untuk muncul sebagai sebuah negara yang maju dan tumpuan modal insan berkemahiran tinggi serata dunia. Perancangan ini menetapkan matlamat negara sehingga 2020, untuk menjadikan Malaysia sebagai satu daripada 20 destinasi utama modal insan berkemahiran tinggi,” ucap YAB Dato’ Sri Mohd Najib yang juga Pengerusi TalentCorp.

Di bawah Talent Roadmap 2020, TalentCorp akan memainkan peranan sebagai tumpuan isu-isu berhubung modal insan. Ia turut memainkan peranan sebagai peneraju inisiatif yang berasaskan tiga teraju strategik:

1) Mengoptimumkan Modal Insan Negara 2) Menarik dan Membantu Modal Insan Berkemahiran Tinggi Serata Dunia 3) Mewujudkan Satu Jaringan Modal Insan Berkemahiran Tinggi

Perdana Menteri meminta majikan-majikan utama di sektor korporat untuk bekerjasama dengan kerajaan di dalam memajukan agenda bakat negara. Pada masa yang sama, beliau turut memuji inisiatif yang termeterai di dalam Talent Roadmap 2020 yang dilancarkan hari ini sebagai bukti usahasama jitu sektor awam dan swasta.

“Kejayaan perubahan ekonomi negara bergantung kepada keupayaan kita untuk bersama-sama bertindak bagi menjana, menarik dan mengekalkan modal insan berkemahiran tinggi,” ucap YAB Dato’ Sri Mohd Najib.

OPTIMUMKAN MODAL INSAN NEGARA

Teraju strategik untuk ‘Mengoptimumkan Modal Insan Berkemahiran Tinggi Malaysia” turut merangkumi inisiatif TalentCorp meningkatkan pemahaman kerjaya, mempromosikan program latihan pelatih (intern), mengkoordinasikan program peningkatan keupayaan graduan serta mengoptimumkan graduan Kerajaan.

Oleh itu, TalentCorp telah memerterai Memorandum Persefahaman (MOU) hari ini dengan Kementerian Pengajian Tinggi yang merangkumi beberapa bahagian usahasama. Salah satu daripada inisiatif yang dibentangkan hari ini ialah MyLinE-4E, di mana kandungan dalam talian disediakan oleh majikan-majikan utama untuk mempertingkatkan pemahaman kerjaya dan kebolehpasaran graduan.

MyLinE (Sumber Dalam Talian Untuk Pembelajaran di dalam Bahasa Inggeris) merupakan satu portal sedia ada Kementerian Pengajian Tinggi yang diterajui oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Ia boleh diakses oleh semua pelajar di 20 universiti awam. Di bawah projek 4E (untuk pengambilan pekerja) dengan MyLinE, 10 majikan utama hari ini mengutarakan komitmen mereka untuk menyediakan sumber berasaskan industri kepada graduan untuk memberikan mereka pandangan dalam kemahiran teknikal dan kemahiran lain yang penting untuk kerjaya mereka. 10 syarikat tersebut adalah Accenture, Axiata, CIMB, Ernst and Young, Intel, PwC, Maybank, Motorola dan Telekom Malaysia.

Perjanjian Persefahaman dengan Kementerian Pengajian Tinggi turut merangkumi kerjasama untuk latihan pelatih (internship). Di dalam Bajet 2012, Kerajaan telah mengumumkan potongan cukai berganda untuk syarikat-syarikat yang mempunyai program latihan pelatih yang disyorkan oleh TalentCorp. Insentif ini turut diberikan kepada syarikat minyak dan gas di bawah PITA (Akta Cukai Pendapatan Petroleum).

TalentCorp hari ini juga telah mengesahkan enam program latihan pelatih berasaskan sektor yang merangkumi Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) melalui usahasama dengan perhubungan industri, pihak penguatkuasa dan universiti. Bersama dengan beberapa program latihan pelatih lain, ini akan memberikan 12,000 peluang kepada mahasiswa Malaysia di universiti awam dan swasta setahun.

Program enam sektor yang disahkan dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Telekomunikasi), Persatuan Bank Negara Malaysia (Kewangan), Institut Perakaunan Awam Bertauliah (Akaun), Universiti Teknologi Petronas (Minyak dan Gas), Universiti Kolej Teknologi dan Inovasi (Teknologi Informasi Maklumat) dan Taylor’s University (Hospitaliti).

TalentCorp akan turut bekerjasama dengan Unit Perancangan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri untuk menyelaras program peningkatan graduan merentasi semua Kementerian. Program peningkatan ini dijangka akan memanfaat lebih kurang 10,000 graduan setahun, khususnya dalam bidang kejuruteraan dan akan melibatkan RM200 juta setahun.

Program ini akan tertumpu kepada bidang teknologi tinggi yang berkaitan dengan NKEA dan diimplimentasikan atas dasar kerjasama awam-swasta. Turut dibentangkan pada pelancaran hari ini adalah program FasTrack, yang berperanan untuk memajukan graduan jurutera terbaik negara ke dalam bidang kerjaya kaji-selidik. Program ini dibiayai dana sektor awam dan swasta dengan kurikulum yang disediakan oleh rakan kerja industri (Agilent, Altera, Intel, Motorola, Siltera).

Tambahan lagi, TalentCorp dan Jabatan Perkhidmatan Awam akan bekerjsama untuk memastikan graduan JPA dioptimumkan bagi menjayakan bidang khusus di dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi.

Sebagaimana yang diumumkan YAB Dato’ Sri Mohd Najib hari ini, bermula tahun ini, biasiswa kepada universiti-universiti akan diberikan dengan syarat semua pegangan biasiswa JPA berkhidmat untuk negara, samada di dalam sektor awam atau syarikat swasta yang diluluskan. Ini untuk memastikan negara mendapat pulangan pelaburan ke atas 12,000 pelajar yang akan ditaja tahun ini yang melibatkan dana berjumlah RM 2.44bilion. Sebelum ini, pemegang biasiswa JPA perlu berkhidmat dalam sektor awam.

Menarik dan Membantu Modal Insan Berkemahiran Tinggi Serata Dunia

Untuk menyelesaikan keperluan modal insan sektor utama ETP, TalentCorp akan memastikan ia menumpukan perhatian ke atas rakyat Malaysia di Malaysia dan juga rakyat Malaysia di luar negara serta modal insan berkemahiran tinggi serata dunia. Usaha untuk menarik bakat Malaysia di luar negara tertumpu kepada peningkatan fahaman peluang kerjaya profesional di Malaysia dan menyediakan platform buat majikan utama untuk berhubung dengan pelajar dan golongan profesional.

Satu platform utama untuk berhubung dengan pelajar adalah melalui Pesta Kerjaya. Di dalam Bajet 2012, Kerajaan telah mengumumkan insentif potongan cukai untuk syarikat-syarikat yang mengambil bahagian di dalam kerjaya luar negara yang disahkan oleh TalentCorp. YAB Perdana Menteri mengumumkan melalui ucapan beliau hari ini, insentif tersebut turut diberikan kepada syarikat minyak dan gas di bawah PITA. TalentCorp mengumumkan pengesahan Pesta Kerjaya di UK, Amerika Syarikat, Jepun dan Australia. Pesta Kerjaya Graduan-UKEC di UK pada Mac 2012 lepas telah menyaksikan pesta kerjaya luar negara terbesar dengan penyertaan oleh lebih 40 syarikat dan dihadiri oleh lebih 3,000 pelajar.

Hubungan dengan golongan profesional Malaysia di luar negara akan tertumpu mengikut sektor. Pada pelancaran hari ini, Kementerian Kesihatan (MoH) dan TalentCorp telah bertukar Memorandum Persefahaman untuk bekerjasama, di antaranya, membawa pulang golongan pakar perubatan. Awal bulan ini, TalentCorp dan Kementerian Kesihatan, bersama dengan hospital swasta KPJ, Pantai Parkway dan Mahkota telah berdialog dengan ahli profesional perubatan di UK dan di Ireland.

TalentCorp turut juga bertukar Memorandum Persefahaman dengan Kementerian Dalam Negeri hari ini. Perdana Menteri mengumumkan kerjasama ini termasuk penubuhan satu jawatankuasa bersama yang akan melibatkan Kementerian Dalam Negeri, TalentCorp dan agensi berkaitan untuk mengkoordinasikan dasar berhubung ekspatriat dan perkhidmatan inovasi luar negara. Residence Pass-Talent diperkenalkan pada tahun 2011 untuk memberikan golongan profesional luar negara pas bekerja dan menetap di Malaysia selama 10 tahun. YAB Perdana Menteri mengumumkan hari ini Residence Pass-Talent akan turut disediakan untuk ahli usahawan berasaskan pengetahuan.

Mewujudkan Satu Jaringan Modal Insan Berkemahiran Tinggi

Seperti yang terkandung di dalam Talent Roadmap 2020, TalentCorp bertujuan untuk mewujudkan jaringan modal insan berkemahiran tinggi yang turut termasuk bakal pemimpin korporat masa depan negara dan rakyat Malaysia yang berpengaruh di luar negara. Satu tumpuan utama dengan rakyat yang berpengaruh di luar negara adalah mencari jalan bagi mereka menyumbang ke arah pembangunan negara dari luar negara, sebagai penasihat.

Untuk memuat turun Talent Roadmap 2020, sila klik disini

IN THIS SECTION:

HAVE A MEDIA ENQUIRY?

Kindly contact our Press Office team through email.

Please note that these contact details are strictly for journalist enquiries only. 


share this page:
Ooops!
Generic Popup