SEARCH
PM lancar inisiatif utama bagi graduan tajaan JPA membina kerjaya dalam sektor keutamaan GTP dan ETP.

Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak hari ini melancarkan dua inisiatif bagi membolehkan graduan tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memainkan peranan utama sebagai pemacu dan penggerak transformasi negara.


Program Talent Acceleration in Public Service (TAPS) dan Scholarship Talent Attraction and Retention (STAR) telah dibangunkan untuk mewujudkan peluang yang lebih menarik kepada graduan tajaan JPA dalam membangunkan kerjaya mereka dalam bidang-bidang keutamaan di bawah Program Transformasi Negara (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) selepas tamat pengajian.

Program TAPS merupakan inisiatif kerjasama yang dipacu oleh JPA bersama Razak School of Government (RSOG) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) untuk menarik dan memupuk bakat-bakat terbaik di kalangan graduan tajaan JPA ke dalam perkhidmatan awam.

Graduan lain yang tidak terpilih ke sektor awam akan mengambil bahagian dalam program STAR. Program STAR merupakan kerjasama antara JPA dan TalentCorp, yang akan memberikan graduan JPA tersebut peluang untuk menunaikan kontrak perkhidmatan mereka di syarikat-syarikat terkemuka yang memacu ETP.

Dato’ Sri Mohd Najib turut menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman antara JPA dan TalentCorp untuk memeterai kerjasama dalam program STAR. Memorandum tersebut telah ditandatangani oleh Tan Sri Abu Bakar Haji Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Johan Mahmood Merican, Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp.

Dalam ucapan beliau kepada lebih 100 graduan, Dato’ Sri Mohd Najib mempelawa mereka untuk berkhidmat dengan Kerajaan dan sektor swasta, dan menjadi ejen perubahan ke arah merealisasikan pelan transformasi Malaysia.

“Warga Malaysia yang telah diberi keistimewaan dan peluang untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik mempunyai tanggungjawab bersama untuk memanfaatkan ilmu yang diperolehi bagi faedah orang lain,” ujar beliau kepada graduan tajaan JPA yang baru menamatkan pengajian di beberapa universiti terkemuka di dunia.

“Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan TalentCorp dan Razak School of Government dalam membangunkan inisiatif-inisiatif ini, yang merupakan sebahagian daripada usaha besar kami untuk menjadikan perkhidmatan awam sebagai kerjaya pilihan dan membolehkan para graduan kami memainkan peranan utama dalam memacu proses transformasi negara,” kata Tan Sri Abu Bakar.

Di bawah TAPS, graduan yang cemerlang akan dipilih untuk berkhidmat dalam projek-projek dan isu-isu polisi awam yang berkeutamaan tinggi. Graduan-graduan ini akan diberikan mentor yang terdiri daripada pegawai kanan Kerajaan di samping menjalani latihan di RSOG.

Graduan yang terpilih di bawah program TAPS pada peringkat permulaan ini akan dilantik secara kontrak selama dua tahun, di mana mereka yang berprestasi cemerlang akan diserapkan ke dalam perkhidmatan awam.

Kumpulan perintis pertama program TAPS terdiri daripada 40 graduan yang terbaik dan akan bermula pada bulan Oktober 2011. Program ini selanjutnya akan dilaksanakan secara berperingkat kepada graduan JPA dari institusi pengajian tinggi lain di Malaysia dan di luar negara.

Manakala program STAR merupakan kerjasama antara JPA dan TalentCorp, di mana TalentCorp akan bertindak sebagai pemudah cara antara graduan JPA dan pihak majikan. Program ini akan dilaksanakan selaras usaha temuseru TalentCorp bersama pelajar dan para profesional Malaysia di luar negara.

Program STAR telahpun menarik penyertaan pelbagai golongan majikan yang terdiri daripada lebih 50 buah organisasi seperti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Khazanah Nasional Berhad, CIMB Bank, Maxis, Intel, Shell Malaysia, PricewaterhouseCoopers dan Teach For Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai program TAPS dan STAR, sila layari www.jpa.gov.my dan www.star.talentcorp.com.my.

IN THIS SECTION:

HAVE A MEDIA ENQUIRY?

Kindly contact our Press Office team through email.

Please note that these contact details are strictly for journalist enquiries only. 


share this page:
Ooops!
Generic Popup