SEARCH
MYXpats Centre komited untuk perkukuh penguatkuasaan, pengawasan perkhidmatan imigresen ekspatriat

PETALING JAYA, 6 Februari 2017 – Sejajar dengan mandatnya untuk memastikan pengendalian lancar modal insan asing dengan kepakaran yang diperlukan oleh sektor keutamaan Malaysia, Malaysia Expatriate Talent Service Centre (MYXpats Centre) telah mengulangi komitmennya untuk melindungi keperluan keselamatan dan pembangunan ekonomi negara dengan mengukuhkan penguatkuasaan dan peranan pengawasan dalam penyediaan perkhidmatan imigresen ekspatriat yang cepat dan cekap. Pengumuman tersebut dibuat pada hari ini susulan lawatan kerja ke MYXpats Centre oleh Ketua Pengarah Imigresen YBhg Dato' Sri Haji Mustafar bin Haji Ali.

MYXpats Centre ialah pusat sehenti yang memproses dan mengeluarkan semua permohonan Pas Pekerjaan (EP) dan pas berkaitan EP lain bagi ekspatriat yang bekerja di Malaysia. Diuruskan bersama oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) dan diselia oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), pusat itu mula beroperasi pada Jun 2015 sebagai sebahagian daripada peningkatan yang lebih luas perkhidmatan imigresen bermula dengan Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat (ESD) pada tahun 2014.

Dengan mendaftar dengan ESD, syarikat-syarikat boleh menggunakan MYXpats Centre untuk memohon EP atau pas berkaitan EP yang lain bagi pihak pekerja ekspatriat mereka. Tapisan keselamatan permohonan tersebut kemudiannya dijalankan oleh Jabatan Imigresen, manakala TalentCorp menilai kesesuaian pemohon bagi jawatan-jawatan yang dipohon berdasarkan keperluan industri dan majikan. Proses ketat ini bukan sahaja menyeimbangkan keselamatan negara dan pembangunan ekonomi, malah sebelum ini, membolehkan kakitangan MYXpats Centre mengesan dan melaporkan pelbagai kes permohonan EP yang menggunakan surat sokongan dan dokumen lain yang palsu1.

MYXpats Centre sehingga kini telah meluluskan 82 peratus permohonan EP menurut piagam pelanggannya iaitu selama lima hari, meningkat daripada 71 peratus pada tahun pertama pengoperasiannya. Malah, lebih 13,220 syarikat dari sektor keutamaan (termasuk Pembuatan, Perkhidmatan Perniagaan, dan Pembinaan) telah didaftarkan dengan ESD. Ini bukan sahaja menekankan janji Kerajaan Malaysia untuk menyelaraskan dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan imigresen, tetapi juga menunjukkan betapa ramainya majikan yang mengiktiraf nilai perkhidmatan MYXpats Centre dalam memenuhi keperluan perniagaan mereka.

Bercakap kepada pemberita selepas lawatan kerja tersebut, Dato' Sri Haji Mustafar bin Haji Ali berkata, "Pertumbuhan ekonomi Malaysia telah membawa kepada pewujudan peluang profesional yang memerlukan kemahiran yang khusus, terutamanya dalam sektor berimpak dan bernilai tinggi. Walau bagaimanapun, keutamaan pertama dan utama Kerajaan adalah untuk memastikan kesejahteraan negara tidak terjejas dengan terlebih kebergantungan terhadap tenaga kerja asing atau sebarang risiko keselamatan yang timbul dengan memudahcarakan kemasukan modal insan asing."

"Oleh itu, dan melalui kerja keras dan dedikasi pasukan di MYXpats Centre, kami akan terus bekerjasama rapat dengan majikan utama untuk memenuhi keperluan perniagaan mereka dan pada masa yang sama mengimbangi keperluan keselamatan," tambah Dato' Sri.

Shareen Shariza binti Dato' Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp menambah, "Fokus utama TalentCorp selama ini ialah rakyat Malaysia di Malaysia. Pada masa yang sama, adalah penting untuk mengenal pasti kesan-kesan positif modal insan asing terbaik, terutamanya mereka yang mempunyai set kemahiran kritikal, dalam memacu daya saing dan inovatif keupayaan tenaga kerja di Malaysia. Dengan memanfaatkan hubungan yang kukuh dengan majikan dalam sektor industri utama di Malaysia, TalentCorp berbangga dapat bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk memudahcarakan lagi syarikat untuk memperolehi set kemahiran asing yang diperlukan melalui MYXpats Centre."

Untuk maklumat lanjut mengenai MYXpats Centre, sila layari https://esd.imi.gov.my/portal/ atau hubungi 03-8892 3939.

Kenyataan Akhbar MYXpats Centre (TalentCorp, Disember 2015) [pautan di sini]

IN THIS SECTION:

HAVE A MEDIA ENQUIRY?

Kindly contact our Press Office team through email.

Please note that these contact details are strictly for journalist enquiries only. 


share this page:
Ooops!
Generic Popup