KUALA LUMPUR, 8 Julai 2013 – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (MoWFCD) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) hari ini melancarkan flexWorkLife.my untuk mewujudkan lebih kesedaran mengenai kepelbagaian gender dan penyertaan dalam tenaga kerja melalui satu repositori idea-idea dan amalan terbaik mengenai pengaturan kerja yang fleksibel dan kemudahan yang mesra keluarga.
Pelancaran tersebut dirasmikan oleh YB Datuk Hajah Rohani Haji Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan YB Senator Dato’ Sri Idris Jala, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri di persidangan anjuran MoWFCD danTalentCorp yang bertemakan `Mengoptimumkan Kerja-Kehidupan’
“Sejajar dengan aspirasi Kerajaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mengambil langkah untuk menggalakkan penyertaan kaum wanita dalam pasaran kerja dengan menyediakan lebih banyak pilihan kerjaya kepada mereka yang sesuai dengan keperluan keluarga dan gaya hidup mereka,” kata Datuk Hajah Rohani.
“Walaupun terdapat kajian yang membuktikan kesan positif kepelbagaian tenaga kerja dalam sesebuah organisasi, tidak banyak Korporat Malaysia yang berpendapat kepelbagaian penyertaan sebagai sesuatu yang penting dalam perniagaan. Memandangkan aspirasi agenda transformasi Malaysia, meraih manfaat daripada kaum wanita adalah kritikal sekiranya syarikat-syarikat ingin memperluas dan menambah bilangan modal insan mereka,” kata Dato’ Sri Idris yang juga menganggotai Lembaga Pemegang Amanah TalentCorp.
Menyedari cabaran yang dihadapi oleh pekerja untuk mengimbangkan komitmen peribadi dan profesional mereka, flexWorkLife.my bertujuan membangunkan rangkaian bagi para majikan dan para modal insan bagi mengoptimumkan penyepaduan kerja dan kehidupan, sementara dapat memaksimumkan kecekapan kerja dan meningkatkan pembabitan pekerja. Di samping itu, para majikan boleh mengiklankan peluang kerja dengan pengaturan kerja fleksibel.
Berkuat kuasa pada hari ini, para majikan juga boleh memohon secara dalam talian bagi insentif cukai ke atas perbelanjaan latihan untuk melatih semula wanita yang kembali bekerja selepas berehat daripada kerjaya mereka. Insentif cukai tersebut dirangka bagi menggalakkan majikan untuk menyediakan latihan yang berkaitan bagi wanita yang diambil semula bekerja selepas berehat daripada kerjaya mereka, dengan tujuan membantu mereka menyesuaikan diri dengan peranan baharu mereka.
Portal baharu tersebut telah dibangunkan oleh MoWFCD dan TalentCorp secara perkongsian bersama myStarjob.com, dan disasarkan kepada mereka yang mencari kerjaya yang menawarkan pengaturan kerja fleksibel serta mereka yang menginginkan lebih keseimbangan dalam kerja-kehidupan untuk mengurus komitmen peribadi dan profesional mereka.
Menurut laporan bertajuk `Retaining Women in the Workforce Report’ yang diterbitkan oleh ACCA dan TalentCorp awal tahun ini, kaum wanita di Malaysia ternyata menginginkan pengaturan kerja yang fleksibel yang dapat memenuhi komitmen keluarga, menyokong keperluan keibuan, mengoptimumkan keseimbangan kerja dan kehidupan, serta peluang dan ganjaran yang sama. Bagaimanapun, hanya 30 peratus daripada majikan para responden kaji selidik tersebut mempunyai dasar pengaturan kerja fleksibel.
Oleh itu, persidangan tersebut juga disertai pameran kerjaya pertama di negara ini, flexFair, yang menonjolkan peluang kerja dengan majikan yang mempunyai pengaturan kerja fleksibel dan menawarkan amalan dan manfaat kerja–kehidupan. Lebih daripada 15 organisasi terkemuka mengambil bahagian di flexFair termasuk Accenture, AirAsia X, Dell, EY, Hewlett Packard, Intel, McDonald’s, PwC, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Telekom Malaysia. Di samping itu, persidangan itu juga mengetengahkan isu-isu yang berkaitan dengan pengurusan kepelbagaian dan kepelbagaian lembaga pengarah. Bercakap dalam sesi panel mengenai Kepelbagaian Sebagai Pemacu bagi Pengekalan Bakat, para penceramah seperti Stuart Dean (CEO ASEAN, GE Global Growth & Operations) dan Jenny Ooi (Pengarah Kanan Sumber Manusia, Agilent Technologies) berkongsi pengalaman mereka dalam melaksanakan pengaturan kerja fleksibel dan amalan kerja-kehidupan dalam usaha mereka untuk mengekalkan bakat.
Nora Abd Manaf (VP Eksekutif Kanan, Ketua, Modal Insan Kumpulan, Kumpulan Maybank) bercakap mengenai galakan kepelbagaian dengan mengambil langkah untuk menambah baik nisbah kepelbagaian gender dalam laporan tahunan mereka. Sementara itu, ahli panel, Datin Teh Ija Jalil (Pengarah Eksekutif, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia) dan Tengku Nurul Azian Tengku Shahriman (Pengarah, PEMANDU) menilai kemajuan Malaysia dalam memenuhi sasarannya iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus wakil kaum wanita dalam lembaga pengarah dalam sesi panel mengenai Kepelbagaian Dalam Lembaga Pengarah.
Untuk maklumat lanjut mengenai flexWorkLife.my, layari www.flexworklife.my.