- Sektor pelancongan dijangka terus mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia
- Kerjasama tiga pihak untuk meningkatkan penyelarasan usaha pembangunan modal insan antara akademia dan industri
KUALA LUMPUR, 20 Jun 2019: Ke arah penerimaan pendekatan berstruktur dan lebih kolaboratif bagi pembangunan modal insan industri hospitaliti Malaysia, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) bertukar Sijil Kerjasama bagi penubuhan
Konsortium Pembangunan Bakat Hospitaliti dan Pelancongan Malaysia (KPBHP) bersama Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti (JPPKK) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) – Cawangan / Sektor Perhotelan. Upacara pertukaran Sijil Kerjasama tersebut disaksikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Haji Mahfuz Bin Haji Omar.
Sektor pelancongan merupakan salah satu sektor utama yang menyumbang kepada ekonomi negara, maka kerjasama ini bertujuan menangani cabaran pembangunan modal insan yang dihadapi oleh sektor tersebut. Objektif ini akan dicapai melalui penyelarasan usaha antara akademia dan industri serta peningkatan akses majikan kepada kumpulan modal insan siswazah yang belum dirintis dari institusi pendidikan tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS) serta institusi Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Sektor pelancongan menyumbang RM84.1 bilion kepada pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2018, manakala guna tenaga industri tersebut juga menyumbang 23.2 peratus kepada jumlah guna tenaga di peringkat nasional pada tahun sebelumnya. Berlandaskan pertumbuhannya yang teguh serta disokong oleh pemangkin positif seperti kempen Melawat Malaysia 2020, sektor pelancongan Malaysia dijangka akan terus menjana pelbagai peluang pekerjaan bagi golongan rakyat terutamanya para pemuda,” YB Dato’ Haji Mahfuz berkata dalam ucapannya pada upacara tersebut yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) petang ini.
Beliau menambah bahawa penubuhan KPBHP sebagai kerjasama tiga pihak antara TalentCorp, JPPKK KPM dan MEF akan membuka pintu kepada pelaksanaan intervensi yang berkesan dan inisiatif pembangunan modal insan yang memastikan ketersediaan saluran modal insan mampan khusus untuk industri hotel dan pelancongan Malaysia.
Berikutan upacara pertukaran Sijil Kerjasama itu, YB Dato’ Haji Mahfuz mengadakan Sesi Dialog tertutup bersama wakil-wakil dari lebih daripada 50 rakan-rakan industri hospitaliti. Sesi Dialog ini menyentuh mengenai keadaan semasa, isu-isu, cabaran dan peluang yang berkaitan dengan pembangunan modal insan lestari bagi sektor pelancongan.
Bercakap kepada pemberita selepas upacara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Puan Mahuran Saro Sariki berkata, “Konsep KPBHP ini telah dipertimbangkan untuk memastikan pendekatan berstruktur dalam menangani isu lazim berkaitan pembangunan modal insan dalam sektor pelancongan, dan juga untuk memastikan keperluan tenaga mahir sektor ini disokong bagi pertumbuhan dan perkembangan yang berterusan.” Beliau seterusnya menekankan bahawa TalentCorp bertujuan memperluaskan inisiatif ini untuk merangkumi pelbagai pemain sektor pelancongan di dalam dan di luar Lembah Klang.
Sebagai agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM), TalentCorp berfungsi untuk menarik, memupuk dan mengekalkan modal insan terbaik dan berkualiti untuk mencarta laluan Malaysia ke arah status negara maju. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif TalentCorp yang dilaksanakan dengan kerjasama sektor awam dan swasta negara, sila layari:
www.talentcorp.com.my/our-work/employer-partner.
DITERBITKAN OLEH TALENTCORP
20 Jun 2019