SEARCH
IND-E-ZONE Dilancarkan Bagi Meningkatkan Kebolehpasaran Graduan

Meningkatkan khidmat kerjaya di universiti awam melalui kerjasama industri dan pihak akademia

Kuala Lumpur, 12 November 2014 – Sebagai sebahagian daripada langkah yang diambil oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, pusat khidmat kerjaya pembabitan industri (Industry Engagement Zone atau Ind-E-Zone) yang pertama telah dilancarkan hari ini oleh YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan II di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dengan beberapa lagi pusat dijangka dilancarkan pada tahun ini di seluruh Malaysia.

Dalam ucapan Bajet 2015 baru-baru ini, YAB Perdana Menteri telah menggesa kerjasama antara pihak industri dan akademia ditingkatkan bagi membangun para graduan yang memenuhi keperluan industri. Di samping itu, laporan Malaysian Economic Monitor June 2014 oleh Bank Dunia telah mengetengahkan keperluan untuk menambah baik keupayaan dan keberkesanan pejabat khidmat kerjaya bagi menyediakan pelajar untuk proses pencarian kerja. Sejajar dengan ini, Ind-E-Zone akan menggabungkan pihak universiti dan majikan ternama, untuk meningkatkan khidmat kerjaya di universiti awam dengan memberi lebih kesedaran kepada pelajar tentang peluang kerjaya yang wujud daripada Program Transformasi Ekonomi dan pengharapan para majikan.

Direka bentuk sebagai pusat yang khusus di dalam kampus universiti, Ind-E-Zone merupakan pusat sehenti bagi maklumat kerjaya yang akan menghubungkan pelajar dengan maklumat berkaitan industri dan memaklumkan kepada mereka mengenai peluang latihan kerja dan kerjaya dalam industri utama di Malaysia. Pusat itu juga akan menawarkan pelbagai aktiviti seperti Pembabitan Industri, Sesi Jaringan Kerja, Ceramah Kerjaya dan Sesi Perkongsian bagi membantu modal insan muda di Malaysia memperoleh kerjaya pilihan mereka.

  "Malaysia merupakan negara yang secara demografinya muda, dengan kumpulan modal insan yang kuat, ekonomi yang stabil, dan mempunyai peluang profesional yang semakin meningkat,” kata YB Dato’ Seri Idris Jusoh. “Dengan membina perkongsian yang lebih baik dan erat antara pihak majikan, universiti dan Kerajaan, kita secara bersama boleh memastikan Malaysia mempunyai graduan yang dapat memenuhi keperluan industri."

Ind-E-Zone merupakan sebahagian daripada program Kerjasama Industri Akademik yang diumumkan dalam Bajet 2015. Di bawah Kerjasama Industri Akademik tersebut, TalentCorp dan Kementerian Pendidikan akan bersama-sama melaksanakan inisiatif selanjutnya, dengan memberi tumpuan khususnya untuk memasukkan kurikulum yang berkaitan industri dan menambah baik latihan industri bagi para graduan.

  "Sementara Kerajaan sedang memacu ke arah peralihan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia, banyak lagi yang harus – dan perlu – dilakukan oleh pihak universiti dan syarikat-syarikat untuk bekerjasama menghasilkan graduan yang memenuhi keperluan industri,” kata Johan Mahmood Merican, Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp. “Ind-E-Zone menyediakan platfom yang ideal bagi para majikan untuk membabitkan para pelajar dengan peluang kerjaya menarik yang tersedia, dan juga mendidik mereka mengenai pengharapan pihak industri terhadap kemahiran, pengetahuan, dan pengalaman yang perlu dimiliki oleh para graduan."

Setakat ini, 11 lagi universiti awam telah dikenal pasti oleh TalentCorp untuk menyediakan pusat Ind-E-Zone selain daripada UPNM, termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Untuk maklumat lanjut mengenai TalentCorp dan usaha-usahanya untuk meningkatkan kebolehpasaran para graduan, sila layari www.talentcorp.com.my.

IN THIS SECTION:

HAVE A MEDIA ENQUIRY?

Kindly contact our Press Office team through email.

Please note that these contact details are strictly for journalist enquiries only. 


share this page:
Ooops!
Generic Popup