KUALA SELANGOR, 25 Mei 2015 – Bagi memenuhi keperluan Malaysia untuk mempunyai 60,000 akauntan berkelayakan menjelang 2020, dua perjanjian persefahaman (MoU) telah dimeterai hari ini antara Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), Universiti Teknologi MARA dan dua badan perakaunan profesional - CPA Australia dan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) Australia.
Bagi mempercepat proses bagi pelajar perakaunan memperoleh kelayakan perakaunan profesional mereka, MoU tersebut akan membuka jalan bagi pelajar Malaysia di universiti tempatan untuk memulakan langkah mereka untuk bergelar akauntan berkanun ketika masih menuntut di universiti.
“Usaha Kerajaan untuk melahirkan graduan yang bersedia untuk industri adalah bagi memastikan tenaga kerja muda Malaysia berpeluang memperoleh pendapatan tinggi hasil daripada transformasi ekonomi,” menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Dato’ Sri Abdul Wahid Omar, yang menyaksikan majlis pemeteraian MoU tersebut di UiTM Kampus Puncak Alam.
MoU pertama antara TalentCorp, UiTM dan CPA Australia akan membolehkan seramai 300 pelajar perakaunan di UiTM memulakan perjalanan memperoleh kelayakan profesional mereka dengan mengambil satu kertas profesional di bawah program CPA ketika masih mengikuti pengajian ijazah mereka.
Manakala MoU kedua antara TalentCorp dan CIMA merupakan satu usaha sama pihak industri dan akademik yang mana pihak majikan yang mengambil bahagian dan TalentCorp akan bersama-sama membiayai 200 pelajar perakaunan Malaysia di universiti tempatan untuk menjalani latihan kerja berstruktur dan mengambil kertas-kertas profesional CIMA.
YB Dato’ Sri Wahid menambah, “Meningkatkan kemahiran para graduan kita dengan kelayakan profesional yang diiktiraf di peringkat industri akan membantu tenaga kerja Malaysia mencapai potensi mereka. Syabas saya ucapkan kepada Fakulti Perakaunan UiTM kerana menerajui inisiatif ini, menggalakkan para pelajarnya untuk memperoleh kelayakan profesional dan mula mengambil kertas profesional sebelum tamat pengajian.”
Sebelum itu, YB Dato’ Sri Wahid melancarkan Zon Pembabitan Industri (Ind-E-Zone) di UiTM Kampus Puncak Alam, yang bermatlamat menangani ketidakserasian kemahiran antara graduan baharu dan permintaan industri dan pada masa yang sama memberi kesempatan kepada graduan untuk mempersiapkan diri mereka untuk bekerja.
“Program meningkatkan kemahiran perakaunan profesional dan pusat-pusat Ind-E-Zone merupakan usaha TalentCorp untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui usaha sama antara pihak industri dan akademik,” jelas Johan Mahmood Merican, Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp.
Pusat Ind-E-Zone menyediakan bakal-bakal graduan dengan sukatan pengajian yang relevan dengan industri dan mendidik mereka mengenai program latihan kerja dan peluang kerjaya dalam industri utama di Malaysia. Di samping itu, pusat tersebut menawarkan pelbagai aktiviti seperti Pembabitan Industri, Sesi Jalinan Kerja, Ceramah Kerjaya dan Sesi-sesi Perkongsian bersama para majikan untuk membantu pelajar membuat keputusan kerjaya yang lebih bermaklumat.
Tan Sri Dato’ Sri Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar, Naib Canselor UiTM menambah, “Ind-E-Zone menandakan satu lagi pencapaian yang membanggakan bagi UiTM dalam usaha menghubungkan pihak akademik dan industri. Ini akan membolehkan kami meningkatkan tahap kebolehpasaran pelajar kami, dan dengan MoU antara TalentCorp dan CPA Australia, akan menambah bilangan akauntan berkanun yang berdaftar dalam kalangan Bumiputera yang kini hanya terdiri daripada lapan peratus sahaja.”
Ind-E-Zone di UiTM merupakan pusat kesepuluh yang ditubuhkan sejak ia pertama kali diperkenalkan pada penghujung 2014 bagi membantu bakal-bakal graduan dalam persiapan mereka untuk menceburi dunia pekerjaan. Menjelang penghujung tahun ini, 11 Ind-E-Zone akan wujud di universiti-universiti awam di seluruh Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai TalentCorp dan usaha-usahanya dalam meningkatkan kebolehgajian para graduan, layari www.talentcorp.com.my