SEARCH
Bahagian Perkhidmatan Expatriat Tawar Penyampaian Perkhidmatan Sehenti

Perasmian Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat lakar satu lagi pencapaian dalam memudahcarakan bakat asing terbaik

PUTRAJAYA, 19 JUN 2014 – Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak hari ini merasmikan Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat (Expatriate Services Division atau ESD) yang baharu, bertujuan menyelaraskan dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan imigresen bagi bakat-bakat ekspatriat, khususnya mereka yang mempunyai kepakaran yang diperlukan oleh sektor-sektor keutamaan yang memacu transformasi ekonomi Malaysia.

Turut hadir ialah Menteri Dalam Negeri YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Dalam Negeri YB Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Dato’ Mohd Khalid Hj Shariff; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Dato’ Aloyah Mamat; dan Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) Johan Mahmood Merican.

Transformasi ESD yang dilaksanakan melalui usaha kerjasama antara Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen dan TalentCorp, menandakan satu lagi pencapaian dalam peningkatan penyampaian perkhidmatan awam dalam perkhidmatan imigresen.

Ia menawarkan perkhidmatan bersepadu yang merangkumi keperluan ekspatriat bagi Pas Pekerjaan, Pas Tanggungan, Pas Lawatan Sosial, Pas Lawatan Profesional dan Pas Residen - Bakat.

Bertindak sebagai pusat sehenti bagi para ekspatriat, ESD menyediakan saluran tunggal bagi ekspatriat atau syarikat-syarikat untuk melaksanakan semua urusan imigresen berkaitan ekspatriat melalui satu platform data bersepadu yang membolehkan permohonan dibuat secara dalam talian.

Pendekatan bertumpu pelanggan ini akan mengurangkan proses bagi permohonan ekspatriat. Semua perkhidmatan imigresen yang berkaitan dengan ekspatriat kini akan diuruskan di ESD, tanpa perlu pergi ke bahagian lain bagi produk yang berbeza-beza.

ESD akan diwujudkan di negeri-negeri lain, bermula dengan Johor dan Pulau Pinang dan akan diperluaskan bagi merangkumi agensi-agensi yang meluluskan hal-hal ekspatriat, seperti Malaysian Investment Development Authority (MIDA) dan Multimedia Development Corporation (MDeC).

YAB Perdana Menteri turut terlibat dalam satu sesi dialog bersama ketua-ketua Dewan Perniagaan asing dan ahli-ahli korporat terkemuka bagi membincangkan cara yang lebih baik dalam memudahcarakan pengekalan bakat asing terbaik di Malaysia.

Antara yang hadir termasuk American Malaysian Chamber of Commerce (AMCHAM), Malaysian International Chamber of Commerce & Industry (MICCI), Japanese Chamber of Trade & Industry (JACTIM), Intel, Shell dan Axiata.

Perdana Menteri juga menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Imigresen dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang memeterai kerjasama antara agensi yang terbabit bagi memastikan kelancaran dan keselamatan prosedur imigresen.

MoU tersebut ditukarkan oleh Dato’ Aloyah Mamat dan ketua pegawai eksekutif SSM Datuk Mohd Naim Daruwish dan timbalan ketua eksekutif (Pengurusan) LHDN Datuk Sabin Samitah.

Untuk maklumat lanjut mengenai ESD, sila layari www.esd.imi.gov.my

IN THIS SECTION:

HAVE A MEDIA ENQUIRY?

Kindly contact our Press Office team through email.

Please note that these contact details are strictly for journalist enquiries only. 


share this page:
Ooops!
Generic Popup